SYURGA DAN NERAKA HAK MUTLAK ALLAH TAALA
(PakDa-Kelantan)
Disebutkan di dalam kitab “Jam’ul Fawa’id Wa Jawahirul Qala’id” karangan Syeikh Daud Fathani, m/s170 bahawa syurga dan neraka dijadikan Allah Taala pada hari khamis, oleh itu salah satu sebab disunatkan musafir pada pagi khamis.
Syurga dan neraka adalah hak makhluk Allah Taala. Syurga disediakan untuk hamba-hamba-Nya yang taat perintah-perintah-Nya. Manakala neraka pula disediakan untuk hamba-hamba-Nya yang melanggar dan mengingkari perintah-perintah-Nya.
Diriwayatkan bahawa tatkala Allah Taala selesai mencipta syurga, maka Allah menyeru malaikat para untuk menyaksikan kehebatannya. Para malaikat yang melihatnya terpesona dengan kecantikan syurga lalu berkata “Nescaya semua orang akan mahukannya”. Lalu Allah melindungkan syurga itu dengan kemiskinan, kepayahan dan ujian. Maka berkata pula malaikat, “Nescaya tiada yang akan berjaya”.
Kemudian Allah menciptakan neraka dan sekali lagi menyeru para malaikat untuk melihat betapa azab siksaan para penghuninya. Malaikat yang melihatnya berasa gerun dengan penderitaan yang terkandung di dalamnya sambil berkata “Nescaya tidak akan ada orang yang mahukannya”. Tetapi kemudian Allah lindungkan ianya dengan emas, kekayaan dan keseronakan, berkatalah mereka “Nescaya tidak akan ada yang terlepas”.
Riwayat itu menjelaskan sesuatu yang perlu kita fahami secara asas bahawa jalan ke syurga itu dilitupi dengan ujian dan kesusahan. Manakala jalan ke neraka pula dipenuhi kesukaan dan kenikmatan yang disukai hawa nafsu yang jahat.
Keperitan ujian dan kesusahan jalan menuju ke syurga menjadikan sesetengah kita seakan terlupa kehebatan nikmat di dalamnya. Begitu juga jalan ke neraka sehingga sesetengah kita terlupa hakikat sebenarnya neraka itu yang dipenuhi dengan azab penderitaan, nyalaan api hitam dan biru, lautan peluh, nanah dan darah dan pelbagai lagi siksaan yang menggerunkan bukan sahaja manusia, bahkan malaikat sendiri yang melihatnya.
Maksiat dan dosa itu memang menyoronokkan apa saja bentuknya. Riba, rasuah, zina, mencuri, minum arak, mengumpat, memaki, mencaci, menghina, mengutuk dan sebagainya, memang menyeronokkan. Apatah lagi pada zaman moden yang serba canggih ini bahkan ada orang yang berbangga dengan kemungkaran yang diperbuatnya serta ada banyak penyokong pula.
Sedangkan jalan ke syurga sangat susah dan memeritkan. Siapa yang sanggup bangun malam untuk bertahajjud, berzikir, berselawat, bertasbih, beristighfar, membaca al-Quran dan sebagainya.
Maka benarlah ungkapan malaikat tadi; tiada siapa yang akan terlepas daripada siksa neraka dan tiada siapa yang akan berjaya untuk memasuki syurga.
Rasulullah s.a.w. juga menceritakan kepada Saidina Ali di dalam wasiatnya yang bermaksud: “Wahai Ali: Tatkala Allah menjadikan syurga dan neraka, syurga bertanya Allah Taala: Wahai Tuhan-Ku, untuk apakah dijadikan aku? Allah menjawab; untuk orang-orang dermawan dan taqwa. Lalu syurga berkata: Aku rela. Dan neraka bertaya Allah Taala: Wahai Tuhanku untuk apakah dijadikan aku? Allah menjawab; untuk orang-orang yang bakhil dan takbur. Lantas neraka berkata: Aku menerima untuk kedua jenis orang itu.”
Wasiat Rasulullah s.a.w. kepada Saidina Ali ini jelas kepada kita betapa Allah SWT menyediakan syurga itu kepada sesiapa sahaja daripada hamba-hamba-Nya yang beriman yang bersifat dengan sifat-sifat yang mulia(mahmudah) seperti dermawan kepada mereka yang berhajat dan kepada sesiapa sahaja daripada hamba-hamba-Nya yang bersifat taqwa iaitu sungguh-sungguh takut kepada Allah Taala dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan menjauhkan segala larangan-Nya.
Ramai daripada kalangan kita menyeleweng fahaman mengenai ahli syurga dan ahli neraka. Mereka menentukan ahli syurga itu kepada orang-orang yang menyokong puaknya atau partinya sahaja walaupun orang-orang itu banyak melanggar titah perintah Allah Taala. Manakala orang-orang yang tidak sealiran dengan puak atau partinya maka mereka itu adalah ahli neraka. Kalau benarlah tanggapan atau jaminan mereka itu, maka sangatlah mudah untuk menjadi ahli syurga. Sebaliknya pula sangat ramailah orang yang akan menjadi ahli neraka termasuklah mereka yang berada di negara luar, kerana tidak kesemua negera luar itu yang sama puak atau parti dengan mereka. Fahaman seperti ini adalah jelas menyeleweng daripada aqidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang wajib dijauhi.
Di dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w. memberikan garis panduan untuk ahli syurga ialah mereka yang beriman dan beramal soleh bukan berdasarkan fahaman parti politik. Sebaliknya bagi mereka yang tidak beriman dan tidak beramal soleh pula adalah penghuni neraka walaupun parti mereka bernama “Parti Islam”. Tiada siapa daripada hamba-hamba ini sama ada ia bernama Tok Guru, Tok Imam, Tok Lebai, Ustaz, Ustazah, Muslimat, Tok Wakil, Tok Wali, Menteri, Datuk, Datin atau lain-lainnya menentukan seseorang itu ahli syurga atau ahli neraka kerana syurga dan neraka itu hak mutlak Allah Taala yang tidak boleh orang lain pandai memandai menentukannya. Ketahuilah bahawa hamba-hamba Allah hanya boleh merancangkan sahaja, tetapi Allahlah yang menentukan.
Harapan kita dengan sifat Rahim dan Ghafur Allah, InsyaAllah kita akan dapat masuk ke syurga-Nya selagi kita beriman. Tetapi, apakah neraka akan menjadi tempat persinggahan kita sebelum kita ke syurga? Inilah yang sering menghantui pemikiran kita.
Kita memang takut untuk masuk ke neraka kerana tergambar pada fikiran kita melaui pengajaran al-Quran dan al-Hadith bagaimana siksanya ahli neraka termasuk apa yang disaksikan sendiri oleh Nabi Muhammad s.a.w. ketika peristiwa Isra’ & Mi’raj.
Kebanyakan kita mengakui keimanan kepada Allah dan Nabi-Nya serta hari akhirat tetapi berapa ramaikah yang benar-benar bersedia untuk bertemu Allah dan Syafaat Nabi s.a.w. pada hari Akhirat kelak?. Cuba kita perhati dan fikirkan setiap hari dari pagi sampai ke pagi esoknya, yang selalu keluar dari bibir mulut kita, apakah mendapat pahala atau dosa?. Kalau ianya mendapat pahala maka bersyukurlah kita kepada Allah Taala dan sekira ianya mendapat dosa maka segeralah bertaubat kepada Allah Taala.
Ingatlah siksa neraka begitu hebat, tidak ada satu jiwapun yang mampu menahannya walaupun iblis.
Sesungguhnya, seandainya syurga dan neraka itu dizahirkan, tidak akan ada orang di dunia ini yang akan melakukan pekerjaan lain selain beribadat yang disuruh Allah Taala dan menjauhkan diri daripada maksiat dan dosa-dosa..
Ya Allah Ya Tuhan ku, aku tidak layak untuk syurga-Mu. Tetapi aku pula tidak sanggup menghadapi siksa neraka-Mu. Terimalah taubatku, ampunlah dosa-dosaku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun segala dosa kami.
Pada ketika dan musim tertentu kita kedengaran ramai orang bercakap-cakap tentang seseorang itu masuk syurga dan neraka. Cakapan itu begitu panas pada musim pilihanraya lebih-lebih lagi disaat-saat hampir pilihanraya. Pada ketika itu berlakulah pertegangan lidah di antara ustaz-ustaz, tok-tok imam, tok-tok lebai, dan masyarakat kampung kerana masalah yang timbul itu mencabar keimanan dan keilmuan seseorang Islam.
Masalah ini bukanlah satu masalah yang rumit untuk difahami tetapi oleh kerana diputar belit oleh sesetengah pihak maka masalah itu menjadi pertikaian di kalangan ustaz-ustaz, tok-tok imam, tok-tok lebai, dan masyarakat kampung.
Untuk mencari penyelesaian yang sebenar mengenai apa-apa sahaja masalah yang dihadapi maka kembalilah kepada Allah dan Rasul sebagaimana firman Allah Taala:
bÎ*sù ÷Läêôãt»uZs? Îû &äóÓx« çnrãsù n<Î) «!$# ÉAqߧ9$#ur
Maksudnya:
Jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, Maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Quran) dan Rasul (sunnahnya),
(An-Nisaa’: 59)
No comments:
Post a Comment