MEMBERI RUANG KEPADA ORANG LAIN
MAKSUD AYAT 11 SURAH AL-MUJADALAH
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu untuk orang lain, sama ada dalam majlis Rasulullah s.a.w. atau pada majlis-majlis lain, maka lapangkanlah seboleh-bolehnya, supaya Allah melapangkan dalam serba serbinya untuk kamu pula nanti. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan agama daripada kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam Pengtahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan. (KEFAHAMAN AYAT (11) AL-MUJADALAH)
Imam Ar-Razi menyatakan: Yang dimaksudkan dengan ayat “supaya Allah melapangkan kepada kamu” itu merangkumi semua yang memerlukan kelapangan seperti tempat, rezeki, dada, tanah kubur, dan syurga. Ketahuilah bahawa ayat ini memberi pengertian bahawa sesiapa sahaja yang memberikan kelapangan kepada sesama hamba Allah untuk mendapatkan kebajikan dan kerehatan nescaya Allah SWT akan memberi kemudahan kepadanya mendapakan kebaikan dunia dan Akhirat.
Yang dimaksudkan: “Dan apabila diminta kamu bangun, maka bangunlah” ialah apabila diminta bangun dari tempat duduk dalam suatu majlis untuk memberi kemudahan kepada orang lain, maka bangunlah.
Al-Alamah Ibnu Kathiir telah membuat huraian yang panjang mengenai masalah ini dengan membuat tajuk HUKUM BERDIRI MEMBERI TEMPAT KEPADA ORANG YANG BARU TIBA: Dengan menyatakan: “Para fuqaha(ahli feqah) telah berbeza pendapat mengenai hukum boleh tidaknya berdiri dari tempat duduk untuk memberi keselesaan kepada orang yang baru tiba” di dalam beberapa pendapat. Ada pendapat yang menyatakan bahawa perbuatan itu sangat baik bedasarkan Hadis yang maksudnya: “Bangunlah sebagai tanda memberi hormat kepada pemimpin kamu”. Manakala pendapat lain ada yang melarang melakukan perbuatan sedemikian berdasarkan Hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang suka supaya orang memberi penghormatan kepadanya dengan cara bangun berdiri, maka hendaklah dia menempah tempat kediamannya di dalam neraka”. Ada pula para ulama yang memberikan hukum yang berlainan mengenainya dengan mengatakan: Perbuatan berdiri seperti itu boleh dilakukan ketika menyambut tetamu yang baru tiba dari perjalanan jauh dan juga bagi menyambut penguasa dan pemimpin negeri dan kawasannya seperti kisah sambutann yang diberikan kepada Sa’ad bin Mu’az ketika tiba untuk membuat keputusan hukuman ke atas puak Yahudi Bani Quraizah yang Rasulullah s.a.w. sendiri telah bersabda maksudnya: “Berdirilah kamu semua sebagai tanda hormat kepada pemimpin kamu” dengan tujuan supaya hukum dan keputusannya dilaksanakan. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda lagi maksudnya: “Adapun berdiri kerana memberi hormat yang berlebihan kepada pemimpin maka itu adalah salah satu simbol kebesaran orang ‘Ajam bukan Arab. Manakala mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. pula ialah bahawa baginda duduk di hujung majlis, tetapi kemudian baginda di lingkungi oleh orang ramai sehingga baginda menjadi berada di tengah-tengah majlis.
Ibnu Abbas menyatakan: Jika kamu diminta berdiri dan beredhar, maka berdiri dan beredharlah. Manakala disebutkan di dalam kitab Al-Bahr bahawa pada mulanya mereka diminta memberi kelapangan kepada majlis, kemudian diminta mematuhi sebarang arahan. (Al-Bahrul Muhiit:8/237).
Manakala pengertian ayat tentang “Allah meninggikan darjah orang-orang yang beriman dan berilmu di antara kamu beberapa darjat” ialah orang-orang yang beriman yang mematuhi suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya, dan orang-orang yang berilmu itu beberapa murtabat yang tinggi di dalam syurga.
Ibnu Mas’ud menyatakan: Allah SWT memuji orang-orang berilmu di dalam ayat ini dengan mengatakan: Wahai manusia! Fahamilah ayat ini dan cintailah ilmu kerana Allah befirman bahawa Dia akan mengangkat darjat orang yang berilmu itu melebihi orang yang beriman yang kurang berilmu.
Al-Qurtubi pula menyatakan: “Ayat ini menyatakan bahawa ketinggian taraf dan darjat di sisi Allah itu adalah berdasarkan ilmu dan iman, bukan berdasarkan tempat duduk di hadapan di dalam majis-majlis perjumpaan.
Maksud Hadis:
I. Janganlan salah seorang kamu meminta orang lain berdiri dari tempat duduknya dengan tujuan kamu hendak duduk di tempatnya, tetapi hendaklah kamu bersikap saling hormat menghormati dengan meluaskan tempat duduk supaya dapat orang lain duduk sama, nescaya Allah akan memberi kelapangan kepada kamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim).
II. Allah akan sentiasa menolong seseorang hamba-Nya selama hamba-Nya itu selalu suka menolong saudaranya sesama seagama. (Tafsir Ar-Razi:29/269).
III. Kelebihan orang yang berilmu ke atas orang ahli ibadat itu ialah seperti kelebihan bulan purnama mengatasi bintang-bintang lain.
IV. Yang dapat memberi syafaat pada hari Kiamat ialah tiga: Nabi-nabi, para ulama dan para syuhadaa. Maka alangkah besarnya murtabat orang-orang berilmu itu, terapit di antara para nabi dan para syuhada’ dengan pengiktirafan Rasuullah s.a.w. sendiri. (Tafsir al-Qurtubi:17/300.
No comments:
Post a Comment