Syariat atau ‘Perundangan Islam’ diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. bertujuan untuk mewujudkan keadilan di muka bumi ini, dengan menjaga kemaslahatan manusia keseluruhannya. Syariat ini berbentuk menyeluruh iaitu kekal selama-lamanya, tidak sebagaimana syariat nabi-nabi terdahulu yang syariat mereka terhad dan sementara sahaja, syariat tersebut hanyalah untuk umat mereka dan pada masa tertentu sahaja. Perundangan Islam merupakan perundangan yang besifat tetap dan anjal (fleksibal). Maksud tetap di sini ialah setiap apa yang disyariatkan oleh Allah melalui dalil-dalil qatei daripada al-Quran dan al-Sunnah tidak boleh berubah, wajib dilaksanakan sebagaimana hukum asalnya. Suruhan atau larangan yang bersangkutan dengannya, wajib dilakukan oleh seseorang mukallaf tanpa alasan lagi. Di samping sifatnya yang tetap itu, perundangan Islam juga bersifat anjal atau pun fleksible. Keanjalan ini membawa maksud bahawa undang–undang Islam boleh berubah daripada hukum asal kepada hukum-hukum yang lain, tertakluk kepada situasi semasa atau keadaan umat Islam pada masa tersebut. Contohnya Allah mewajibkan berpuasa pada bulan Ramadhan (hukumnya tetap) namun terdapat kelonggaran (fleksibel) kepada orang yang sakit atau sedang bermusafir. Mereka diberikan rukhsah untuk berbuka puasa dan menggantikannya semula pada masa yang lain. Keanjalan ini adalah untuk menjaga kemaslahatan umat manusia dan kesejahteraan hidup mereka. Keanjalan ini juga memberikan daya untuk menghadapi aneka permasalahan hidup yang datang silih berganti “sibghah” atau cara ini memberikan Islam keupayaan untuk berijtihad menyimpulkan hukum-hakam terhadap hal-hal yang tidak ada nas, sama ada melalui ijmak, qias, masolih mursalah, istihsan, urf dan sebagainya. Keanjalan perundangan Islam akan berjaya menyelesaikan pelbagai permasalahan baru yang dihadapi oleh umat Islam pada setiap masa dan keadaan.
Syariat atau perundangan Islam
Syariat Islam atau perundangan Islam adalah ajaran Islam yang membicarakan amal manusia. Ini memberi makna bahawa seorang manusia itu adalah diperintahkan dengan hukum-hukum Islam. Dia diperintahkan secara langsung tanpa perantaraan. Allah memerintahkan manusia; ada yang berbentuk individu dan ada yang berbentuk kumpulan. Oleh itu manusia mempunyai tanggungang-tanggungan kewajipan yang bercorak individu dan juga yang bercorak kumpulan.
Ulama telah menyimpulkan kandungan ajaran Islam dengan kata-kata berikut:
Urusan agama meliputi bahagian-bahagian: Iktikad, adab, ibadat, muamalat dan uqubat. Bahagian Itikad atau akidah meliputi persoalan-persoalan mengenai keimanan kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari akhirat dan Qada Qadar. Persoalan mengenai hukum dan kekuasaan pun termasuk dalam bahagian Iktikad. Persoalan akhlak adalah termasuk dalam bahagian adab, persoalan solat, zakat, puasa, haji dan jihad termasuk di dalam ibadat. Persoalan mengenai urusan harta, nikah kahwin, pertikaian, amanah dan perwarisan termasuk di bawah muamalat. Persoalan kisas, hukuman ke atas pencuri, penzina, penuduh zina (qazaf) dan murtad adalah termasuk di bawah ‘uqubat“ (Said Hawa, al-Islam, hlm.6)
Firman Allah SWT.
Maksudnya: Tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, sama ada lelaki mahupun perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan sesuatu keputusan atau hukum mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. (Surah al-Ashzab ayat 36)
Asas Syarak
Iaitu perkara yang sudah ada dan jelas ketentuannya dalam al-Quran atau al-Hadis. Pokok Syariat Islam pertama ialah al-Quran, kedua: al-Hadith ketiga: Ijmak Ulama dan keempat Qias.
Keadaan darurat dalam istilah agama Islam diertikan sebagai suatu keadaan yang memungkinkan umat Islam tidak mentaati syariat Islam, iaitu suatu keadaan yang terpaksa atau dalam keadaan yang membahayakan diri sama ada secara lahir mahupun batin, dan keadaan tersebut tidak diduga sebelumnya atau tidak diinginkan sebelumnya, demikian pula dalam memanfaatkan keadaan tersebut serta tidak berlebihan. Jika keadaan darurat itu berakhir, maka segera kembali kepada ketentuan syariat yang asal. Sebagai contoh; Islam melarang memakan bangkai, daging babi dan sebagainya, tetapi dimaafkan sekiranya mengalami darurat yang memungkinkan kematian sebagaimana ayat berikut:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang Yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda Yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Ayat 173 surah al-Baqarah)
Furu' Syarak
Iaitu perkara yang tidak ada atau tidak jelas ketentuannya dalam al-Quran dan al-Hadis. Kedudukannya sebaga Cabang Syariat Islam. Sifatnya pada dasarnya tidak mengikat seluruh umat Islam di dunia kecuali diterima Ulil Amri setempat menerima sebagai peraturan / perundangan yang berlaku dalam kekuasaanya pada zamannya. Perkara atau masalah yang termasuk dalam furu' syarak ini juga disebut sebagai perkara ijtihadiyah. Dalam hal ini pernah terjadi fatwa Qaul Qodim dan qaul Hadis (Bahkan ada fatwa pada zaman dulu mengkategorikan uzur untuk bersolat Jumaat jika berlaku hujan, kini fatwa tersebut sudah tidak releven lagi kerana Masjid sekarang semuanya tidak terdedah dengan hujan, panas dan sebagainya)
Ijtihad adalah satu usaha untuk menetapkan hukum Islam berdasarkan al-Quran dan Hadis. Ijtihad dilakukan setelah Nabi Muhammad s.a.w. wafat lalu tidak boleh menanyakan sesuatu hukum. Walau bagaimanapun hukum dalam bab ibadah yang ada nas qatee tidak boleh diijtihadkan lagi.
HUKUM ISLAM BERSIFAT TETAP DAN ANJAL
‘Azimah dan Rukhsah adalah termasuk ke dalam rangkaian hukum Taklifi, oleh itu salah satu daripada akibat hukum Taklifi ia berpindah daripada hukum yang haram kepada hukum yang mubah(harus), atau daripada hukum yang wajib kepada hukum yang ja’z(boleh ditinggalkan) pada waktu-waktu yang tetentu. Oleh itu, ianya satu perpindahan dari satu hukum Taklifi kepada yang lain.
Hukum syarak yang berbentuk Taklifi adalah satu tuntutan kepada orang-orang yang mukallaf untuk mengerjakan sesuatu perbuatan dan tuntutan untuk meninggalkan sesuatu perbuatan. Kadang-kadang orang-orang mukallaf berada di dalam sesuatu keadaan yang sulit yang tidak memampukannya untuk memenuhi hukum tersebut kecuali dengan amat berat sekali - meskipun di dalam keadaan yang biasa mereka mampu melakukannya sehingga Allah SWT memberikan satu kelonggaran atau keringanan kepada orang yang mukallaf ini untuk meninggalkan perbuatan yang pada mulanya diperintahkan. Contohnya adalah seperti orang yang sakit di dalam bulan Ramadan, mereka diberi kelonggaran untuk tidak berpuasa, tetapi wajib mengqadakan puasanya pada waktu yang lain bila sihat. Apabila mereka tidak berpuasa dalam waktu sakitnya itu maka ini bererti bahawa mereka memanfaatkan kelonggaran (rukhsah) yang telah diberikan kepadanya. Sedangkan perbuatan yang mula-mula dituntut oleh Allah agar ianya dikerjakan dinamakan ‘Azimah.
Sebahagian ulama memberikan takrif ‘Azimah seperti berikut:
‘Azimah: ialah hukum yang pada mula-mulanya diharuskan pekerjaannya lantaran tidak ada sesuatu yang menghalanginya.
Rukhasah: ialah suatu hukum yang dikerjakan lantaran ada suatu sebab yang memperbolehkan untuk meninggalkan hukum yang asal.
Daripada kedua-dua takrif di atas dapatlah difahani bahawa ‘Azimah adalah hukum asal yang bersifat wajib yang semua manusia diperintahkan untuk melaksanakannya. Sedangkan Rukhsah bukan merupakan hukum asal bahkan ia termasuk ke dalam hukum baru lantaran adanya penghalang untuk melaksanakan hukum asal tersebut. Pada umumnya Rukhsah adalah perpindahan hukum daripada keharusan, menjadi boleh (mubah) untuk dikerjakan, bahkan kadang-kadang berpindah kepada wajib ditinggalkan, yang bererti gugurlah hukum asal.
Adapun factor-faktor yang menyebabkan adanya rukhsah antaranya:-
Darurat: Seperti seseorang yang dalam keadaan sangat lapar dan dikhwatirkan akan mengakibatkan kematian dan di dalam keadaan mereka tidak mempunyai makanan kecuali bangkai, maka memakan bangkai itu diperbolehkan, bahkan dalam keadaan ini mereka diwajibkan memakan bangkai tersebut demi menjaga nyawa, tugasan kepada keluarga dan sebagainya sebagaimana ayat 173 surah al-Baqarah di atas.
Pembahagian Rukhsah
Rukhsah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Rukhsah untuk mengerjakan sesuatu perbuatan dan Rukhsah untuk meninggalkannya. Pembahagian tersebut berdasarkan hukum dalam ‘Azimah. Jika hukum dalam ‘Azimah itu berupa larangan, maka rukhsahnya berupa kelonggaran untuk mengerjakannya. Sebaliknya jika hukum ‘Azimah itu berupa kewajiban melaksanakan sesuatu perbuatan, maka Rukhsahnya berupa kelonggaran untuk meninggalkannya.
Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas bahawa kelonggaran untuk mengerjakan sesuatu perbuatan adalah apabila hukum asal tersebut berupa larangan yang diharamkan. Kemudian wujudnya darurat maka larangan tersebut boleh dikerjakan. Contohnya adanya keperluan untuk melihat aurat perempuan bagi doktor yang memeriksanya. Adapun faktor yang membolehkan melihat aurat perempuan yang pada hukum asalnya diharamkan adalah keharusan dan masyaqqat yang mengharuskan doktor melihat aurat perempuan tersebut. Namun dalam kes ini, mesti diperhatikan dan dipelihara akan hukum hakam mengenai aurat perempuan dalam kes wujudnya keperluan untuk diperiksa oleh doktor.
Contoh-Contoh Rukhsah
Jika si mukallaf mengerjakan hukum ‘Azimah, maka jiwanya akan terancam(umpamanya dibunuh) tetapi tetap diperbolehkan untuk berpegang teguh kepada hukum ‘Azimah. Seperti seorang muslim yang dipaksa untuk mengucapkan kalimah (kata-kata) yang boleh menyebabkan mereka menjadi kafir di bawah ancaman senjata tajam. Oleh yang demikian, si mukallaf itu diperbolehkan mengucapkan kalimah yang menimbulkan kekufuran, asalkan hatinya masih teguh dalam keimanan, ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah an-Nahlu ayat 106.
Maksudnya: Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab daripada Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan daripada Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. (Surah an-Nahlu ayat 106)
Perkara tersebut jelas berlaku kepada seorang Sahabat bernama ‘Ammar bin Yasir ra telah mengucapkan kalimah kufur setelah disiksa oleh orang-orang kafir dengan kejam. Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepada beliau: “Wahai ‘Ammar, apakah yang menyebabkan engkau mengucapkan kalimah tersebut?” ‘Ammar menjawab; “Ya Rasulullah! Mereka tidak akan memberhentikan penyiksaan ke atasku kecuali jika aku menyebutkan nama-nama Tuhan mereka dengan baik, “Rasulullah bertanya lagi: “Bagaimana keadaan hati mu?” ‘Ammar menjawab: “Hatiku tetap teguh dalam keimanan ya Rasululah.” Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: ”Jika mereka mengulanginya lagi, maka ulangilah perbuatan kamu itu”
Keadaan ini menunjukkan bahawa hukum ‘Azimah tetap ada dan boleh dikerjakan, manakala hukum Rukhsah pun juga boleh dikerjakan yang merupakan kelonggaran Allah SWT terhadap hamba-hambaNya yang berada di dalam keadaan terpaksa. Dan itulah realiti sebenar bahawa perundangan Islam bersifat tetap dan anjal.
No comments:
Post a Comment