Thursday, July 30, 2009

IBADAT DALAM ISLAM

Segala pujian dan pujaan hanya bagi Allah SWT. Selawat dan salam ke atas Rasulullah s.a.w. sebagai Rasul pilihan. Mana-mana individu yang bersyariat dengan syariat Islam, faedahnya akan kembali kepada hamba Allah. Maka sebab itu ilmu syariat ini wajib dipelajari oleh setiap individu Muslim. Melalui syariat Islamlah akan menentukan seseorang itu akan beruntung atau di sebaliknya apabila berhadapan dengan hari Akhirat nanti

Untuk kepentingan para ahli jemaah Parlimen Bachok khususnya, saya mempersembahkan Risalah ini secara percuma, semoga berguna untuk anda sekalian.

IBADAH DAN KEHIDUPAN

Islam adalah agama yang meliputi dua perkara asas, iaitu AKIDAH dan SYARIAT atau IMAN dan AMAL. Natijah daripada perjalinan antara iman dan amal itulah melahirkan pula akhlak atau peribadi mulia yang layak disebut muslim sejati. Antara akidah dan syariat tidak dapat dipisahkan laksana kaitan buah dengan pokoknya, atau semacam manis dengan gula atau pertalian sebab dengan musababnya. Pemisahan antara keduanya akan membawa kepincangan, kerugian, dan gagal untuk hidup bahagia. Allah berfirman:

Maksudnya: “Sesiapa yang beramal soleh daripada kalangan orang lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan memberi pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan” (An-Nahl:97)

Sesungguhnya amal, merupakan Furu’uddin(cabang-cabang agama) yang mempunyai berbagai-bagai rantingnya pula, sebagaimana firman Allah berfirman:

Maksudnya: “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhamad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)” (Ibrahim:24)

Ibadah adalah salah satu cabang besar yang selalu disebut oleh ulama di samping tiga lagi cabang Fiqh yang asasi, iaitu:

1) Muamalat

2) Munakahat dan

3) Jenayah

Kami mengharapkan semoga anda dapat mengikuti rancangan bersiri dalam bulan Ramadan ini dari satu risalah ke suatu risalah lain di samping Tazkirah, Kuliah, Tazkiraul-Lail dan lain-lain program kegiatan yang dianjurkan oleh Unit Agama ini.

Kepada Allah jua kami pohon restu untuk memberi bimbingan kepada kita semua kerana kalau tidak kerana Maunah-Nya, maka mustahil kita dapat mencari jalan yang benar.

KONSEP IBADAH

Ibadah bererti ‘Ketaatan’ ‘Ketundukan’ ‘Kerendahan diri’ ‘Penyembahan atau ‘Perhambaan’

Perkataan Ibadah, dalam penggunaan dan sebutan biasa, tidak menunjukkan perbezaan sama ada yang ditaati dan yang disembah itu Allah atau lain-Nya. Ada pendapat lain yang mengatakan “ibadah’ itu

hanya digunakan bagi menunjukkan penyembahan kepada Allah sahaja, sementara pemujaan atau kesetiaan kepada yang selain daripada-Nya tidak dianggap dan disebut sebagai ibadah. Namun pandangan kedua ini agak kurang tepat kerana al-Quran turut menyifatkan orang-orang kafir itu sebagai penyembah “taghut”. Yang memberi erti bahawa ada juga Ibadah itu digunakan untuk menyembah selain daripada Allah, oleh itu lafaz Ibadah adalah lafaz umum bukannya lafaz khas untuk menyembah Allah semata-mata. Lihat firman Allah:

Maksudnya: Katakanlah: “Mahukah, aku khabarkan kepada kamu tentang yang lebih buruk balasannya di sisi Allah daripada yang demikian itu? Ialah orang yang dilaknat oleh Allah dan dimurkai-Nya, dan orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi, dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan yang lebih sesat dari jalan yang betul” (Surah al-Maidah ayat 60)

Maksudnya: Dan mereka menyembah yang lain daripada Allah, sesuatu yang tidak dapat mendatangkan mudarat kepada mereka dan tidak dapat mendatangkan manfaat kepada mereka dan mereka pula berkata: “Mereka (yang kami sembah itu) ialah pemberi-pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah”. Katakanlah (Wahai Muhammad): “Adakah kamu hendak memberitahu kepada Allah akan apa yang Ia tidak mengetahui adanya di langit dan di bumi (padanya)*? Maha Suci Allah dan tertinggi keadaan-Nya dari apa yang mereka sekutukan.” ( Ayat 18: Yunus)

Hakikat Ibadah Menurut Perspektif Islam

Mengikut Abdullah bin Muhammad Basmih, Pengarang kitab Mustika Hadith, Jilid 2, JPM, Kuala Lumpur, hlm. 16 telah menerangkan bahawa definisi ibadah dapat dirumuskan seperti berikut: Taat atau tunduk patuh dengan sepenuh-penuh khudu’(merendah diri) mengerjakan suruhan Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Menurut Lujnah At-Ta’lif Dan At-Tauhid: Ibadah di dalam Islam ialah setiap apa yang lahir daripada diri seseorang muslim sama ada perkataan, perbuatan, perasaan atau sebagainya kerana menjunjung perintah Allah serta selaras dengan kehendak-Nya. Bagi mereka, ibadah tidak terbatas hanya kepada amalan-amalan tertentu sahaja dan tidak juga khusus kepada buah fikiran, kata-kata atau perasaan-perasaan tertentu sahaja, malah ibadah itu sendiri mencakupi setiap aspek keperluan dan kehidupan seseorang hamba. Sembahyang, puasa, sedekah, jihad, meneliti sesuatu atau mengkaji kejadian Allah, menolong orang lemah, memperbaiki kerosakan masyarakat, melaksanakan amanah, berlaku adil, menentang kezaliman, tidak minum arak, anti riba, anti raswah dan berbagai-bagai lagi, semuanya dianggap ibadah selagi manusia melakukan sesuatu atau meninggalkan sesuatu pengharaman Allah semata-mata kerana menjunjung perintah Allah.

Menurut Prof. Dr. Mahmood Zuhdi, yang menaqalkan(memindahkan) daripada Ibnu Taimiyyah bahawa ibadah itu di samping ketaatan dan ketundukan, perlu mengandungi unsur-unsur kasih dan cinta. Tanpa rasa cinta tidak ada apa yang dinamakan ibadah, sebaliknya apa yang ada hanyalah kepatuhan dan ketaatan sahaja.

Daripada keterangan ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa setiap tindakan insan mukmin yang menyintai Allah sama ada melalui anggota zahir(jasmani) atau batin(rohani) dengan niat memperhambakan diri kepada Allah serta bertepatan pula dengan kehendak Allah(syariah-Nya) maka dikira ibadah.

CIRI-CIRI IBADAH

a) Dimulakan dengan niat. Mana-mana perbuatan atau tindakan yang lahir secara kebetulan atau tidak sengaja(tanpa niat) seperti dilakukan dalam keadaan lalai atau tidak sedar, tidaklah dianggap ibadah.

b) Pelaku adalah Muslim. Tindakan atau perlakuan yang dilakukan oleh orang kafir atau orang munafik tidak dikira sebagai ibadah, walaupun pada zahirnya nampak bagus sekalipupun. Namun seseorang mukmin yang kasih dan cintakan Allah akan melakukan suruhan Allah atau meninggalkan pengharaman Allah hanya berpaksi kerana ketaatan kepada Allah semata-mata.

c) Segala perlakuannya hendaklah selaras dengan kehendak syariah. Oleh itu apa-apa tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan hukum yang ditetapkan oleh Allah tidak boleh dianggap sebagai ibadah, walaupun mungkin pada anggapan orangramai itu suatu perbuatan yang bagus dan elok

Komitmen dan Kecintaan.

Komitmen dan kecintaan adalah sebagai satu unsur dalam ibadah. Komitmen yang dimaksudkan di sini ialah terhadap segala ketentuan daripada Allah baik yang bersifat suruhan ataupun larangan, halal atau haram. Tanpa komitmen seperti ini maka ibadah itu sendiri tidak wujud, bahkan yang wujud ialah kesombongan.

Oleh sebab itu, orang yang menolak penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah dan bersikap ingkar terhadap syariah-Nya bukanlah ia seorang hamba yang sanggup melakukan ibadah terhadap Allah dalam ertikata yang sebenarnya. Dalam keadaan seperti itu, walaupun pada zahir melalui kata-katanya; kononnya ia percaya kepada Allah dan kekuasaan-Nya, tidak membawa apa-apa erti. Kerana orang-orang musyrikin Arab pada zaman Rasulullah s.a.w. juga percaya tentang adanya Tuhan yang menjadikan dan memberi rezeki kepada mereka. Walau begitupun keadaan mereka maka al-Quran tetap tidak menganggap mereka sebagai orang-orang mukmin yang beribadah kepada Allah. Ini disebabkan tidak ada komitmen mereka terhadap syariat Allah sebagaimana yang diturunkan melalui Rasul-Nya Nabi Muhammad s.a.w.. Firman Allah:

Yang bermaksud: Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhluk-Nya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintah-Nya)? (Ayat 61: Al-Ankabut)

Antara asas penting bagi komitmen terhadap segala ketentuan daripada Allah ialah kepekean terhadap keesaan Allah dan keagongan-Nya. Hanya Dia sahaja Yang Berkuasa, sedangkan semua yang lain hanya makhluk yang diciptakan oleh-Nya sahaja yang tidak mempunyai kuasa mutlak. Firman Allah:

Yang bermaksud: Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang (Yakni semuanya tunduk menurut di bawah kuatkuasa Allah dan peraturan-Nya yang telah ditetapkan, samada mereka suka atau tidak; samada disedari atau tidak disedari. (Ayat 15 Ar.Rad)

Ibadah dan Agama.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 21:

Yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Beribadahlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang yang) bertakwa. (Ayat 21 al-Baqarah)

Apabila ditanya Ibnu Taimiyyah tentang pengertian ibadah yang terkandung dalam ayat 21 surah al-Baqarah di atas ini, maka beliau menjawab: “Ibadah itu suatu istilah yang merangkumi semua kata-kata dan perbuatan, sama ada yang lahir atau yang batin asalkan ia disukai dan diredai Allah seperti bersolat, berpuasa, berzakat, menunaikan haji, bercakap benar, bersikap amanah, berbuat baik kepada kedua ibu bapa, mempunyai hubungan baik dengan sanak saudara, menunaikan janji, melakukan amar makruf dan nahi munkar, berjihad menentang orang-orang kafir dan munafiq yang mengancam keselamatan orang Islam, berbuat baik kepada jiran, anak yatim, orang miskin, orang musafir, orang-orang di bawah milik dan binatang, berdoa, berzikir dan membaca al-Quran. Semuanya itu ialah contoh-contoh ibadah.

Termasuk juga ibadah ialah mencintai Allah dan Rasul-Nya, takutkan Allah dan berserah diri kepada-Nya, bersikap tunduk dan ikhlas kepada-Nya, bersabar, bersyukur, rela hati dengan takdir-Nya, bertawakkal kepada-Nya, mengharapkan rahmat-Nya dan takutkan azab-Nya. Semua itu juga merupakan contoh-contoh ibadah”

Berasaskan huraian Ibnu Taimiyyah di atas, menunjukkan bahawa ibadah itu mempunyai erti yang luas dan ruang lingkup yang besar.

Bahkan amalan-amalan berzikir, membaca al-Quran, berdoa, beristighfar, bertasbih, bertahlil, bertahmid, bertakbir dan sebagainya juga dikira beribadah.

Ibadah juga mencakupi keperibadian yang baik terhadap anak, isteri, dan akhlak yang mulia terhadap umat manusia seperti bercakap benar, tidak menghina dan mencaci makhluk lain serta beramanah, tidak mungkir janji dan sebagainya. Seterusnya ibadah juga merangkumi dua kewajipan besar umat Islam, iaitu amar makruf nahi mungkar dan berjihad pada jalan Allah.

Lebih jauh daripada itu, menurut Ibnu Taimiyyah lagi, agama itu sendiri secara keseluruhannya tercakup dalam ruang lingkup ibadah, kerana agama atau Ad-Din itu mengandungi erti ketundukan dan merendah diri, iaitu suatu konsep yang jelas bagi ibadah.

Ibadah Mencakupi Seluruh Kegiatan Hidup

Berasaskan hakikat bahawa agama Islam ini sendiri secara keseluruhannya ialah ibadah sebagaimana pandangan Ibnu Taimiyyah yang dihuraikan di atas, nyata sekali bahawa ibadah itu mencakupi seluruh kegiatan hidup manusia. Ini kerana agama atau Ad-Din merangka dasar hidup manusia dan menentukan cara penghayatannya berdasar kepada dasar yang disebut tadi. Oleh kerana itu ibadah merangkumi semua hal kehidupan manusia seperti hal-hal makan minum, tidur, pakai, memenuhi keperluan hidup berkeluarga, membangun negara, melaksanakan pemerintahan, menguatkuasakan undang-undang, menghubungkan silaturrahim antara individu dan masyarakat antarabangsa dan sebagainya.

Oleh itu segala arahan dan tugasan dalam al-Quran mencakupi pelbagai bidang hidup. Malah dalam banyak hal tugasan-tugasan itu meskipun mengenai aspek-aspek hidup yang berbeza tetapi menggunakan penekanan yang sama. Dalam surah al-Baqarah, misalnya terdapat ungkapan ‘diwajibkan ke atas kamu “Kutiba ‘alaikum” telah digunakan bagi menerangkan kewajipan berpuasa, memberi wasiat, melaksanakan hukuman qisas dan berperang melawan kafir yang memusuhi Islam. Penekanan yang setara seperti ini menunjukkan bahawa semua suruhan yang perlu dilakukan oleh setiap orang Islam bagi memenuhi tanggungjawab ibadah mereka terhadap Tuhan.

Dengan ini nyatalah bahawa ibadah itu bukan hanya berkisar pada sekitar sembahyang, puasa, zakat, haji, membaca al-Quran, berzikir, berdoa, beristighfar dan sebagainya sahaja sebagaimana tanggapan sesetengah orang, tetapi ibadah merangkumi semua kegiatan hidup. Hakikat sebenarnya, ibadah-ibadah yang disebutkan di atas tadi merupakan ibadah-ibadah asasi yang mesti dilakukan oleh setiap muslim.

Walau bagaimanapun ia bukanlah keseluruhan daripada apa yang disebut ibadah dalam Islam. Ertinya dengan melakukan semua ibadah-ibadah asasi yang dinyatakan bukan bermakna seseorang itu telah menunaikan keseluruhan kewajipan beribadah secara sepenuhnya kepada Allah, Begitupun, tanpa ibadah-ibadah itu tadi usaha-uasaha lain tidak bererti.

Sifat ibadah yang syumul atau komprehensif ini memberi kesan yang besar terhadap diri dan kehidupan yang dapat dirasakan oleh setiap muslim yang taat kepada Allah.

Antara kesan-kesan yang paling penting ialah: -

1. Ia mewarnakan kehidupan dan segala tingkah laku seseorang muslim dengan corak ketuhanan. Dengan ini setiap muslim akan terikat dengan hukuman Tuhan dalam segala tindak tanduknya. Segala langkah yang diambilnya adalah berdasarkan kedudukannya sebagai seorang hamba yang berabdi kepada Tuhannya. Begitu juga di bawah ikatan berkenaan, setiap muslim akan lahir sebagai orang yang sentiasa mengutamakan kualiti dalam kerja-kerjanya. Ini kerana semua kerja yang dilakukan itu adalah persembahan untuk Allah bagi mendapatkan keredaan dan ganjaran daripada-Nya sahaja. Justeru, ia perlu dilakukan dengan cara yang paling baik sekali.

2. Ia mewujudkan matlamat dalam hidup setiap muslim, Segala apa yang mereka lakukan sama ada secara sendiri atau bersama-sama adalah untuk Tuhan yang satu. Kepada Tuhan yang satu itulah sahaja segala kerja ditujukan, baik yang bersifat keduniaan atau yang bersifat keakhiratan. Dengan itu tidak akan ada pertarungan atau pertentangan dalam diri atau pencabulan personaliti dalam hidup seseorang muslim. Dengan kata lain, mereka tidak akan menjadi penyembah Allah pada waktu malam tetapi menjadi penyembah makhluk atau masyarakat pada siang harinya. Tidak menjadi penyembah Tuhan di masjid, tetapi juga penyembah dunia atau harta dalam hidup seharian. Tidak menjadi penyembah Allah pada hari-hari tertentu dalam seminggu sementara pada hari-hari yang selainnya memuja yang selain daripada Allah. Sebaliknva mereka akan terus menjadi penyembah Allah di mana sahaja mereka berada dan dalam keadaan apa juga pun, mereka sentiasa di dalam beribadah.

Keseluruhan hidupnya menjadi satu dan tidak berbelah bagi, sama ada di masjid, di universiti, di rumah, di kedai atau di pasar-pasar besar, di kilang, di ladang, di darat, di laut, di udara, di bandar mahupun di hutan belantara. Dasarnya ialah beribadah (pengabdian diri) kepada Allah, matlamatnya ialah mencapai keredaan Allah, dan petunjuk sepanjang jalan ialah wahyu Allah.

PERBEZAAN ANTARA IBADAH DAN ADAT MENURUT FEQAH ISLAM

· IBADAH MENCAKUPI SEMUA GERAK GERI MANUSIA

· TUJUAN BERIBADAH DALAM SYARIAT ISLAM

· IBADAH MERUPAKAN HAK ALLAH DAN MATLAMAT HlDUP MANUSIA

· BERIBADAH HANYA KEPADA ALLAH

· BERIBADAH TANPA PERANTARA

PERBEZAAN ANTARA IBADAH

DAN ADAT MENURUT FEQAH ISLAM

Pokok pangkal ibadah adalah pengabdian diri tanpa melihat kepada ma’ani (pencapaian akal), sementara adat pula berpokok pangkal kepada pencapaian akal (al-Ma’ani). Maksudnya bahawa segala ibadah itu tidak ada ruang bagi akal manusia menciptanya, malah cara pengambilannya hanya terhenti kepada nas-nas dan tindakan yang jelas daripada Rasulullah s.a.w., kerana itulah setiap pengamal mesti berhati-hati dengan keterangan terhadap kelakuan dan penjelasan Rasulullah sendiri. Berlainan dengan adat, dia boleh dihasilkan oleh akal fikiran dan diselenggarakan mengikut hukum-hukum adat dan tujuannya.

Di atas prinsip inilah maka dalam perkara adat boleh digantikan oleh orang lain seperti dalam usaha mendapatkan apa-apa kepentingan dan menolak keburukan dengan cara wakil atau pertolongan. Contoh yang jelas seperti menjual, membeli, menyewa, berniaga dan sebagainya. Sedangkan ibadah pula tidak boleh sama sekali dilakukan oleh orang lain seperti sembahyang, puasa, bertaharah(bersuci) dan sebagainya. Ini disebabkan ibadah itu mesti tunduk kepada Allah, menghina diri di hadapan-Nya, menumpu dan mernatuhi hukum-Nya, sehingga seseorang hamba itu benar-benar melakukan pengabdian dengan hati dan seluruh anggotanya hadir bersama Allah dan khusyu’ terhadap-Nya.

Segala adat memang boleh bertukar menjadi ibadah sekiranya ia lakukan secara ikhlas dan bertepatan pula dengan apa yang ditentukan oleh Islam(syarak). Begitu juga ibadah boleh bertukar menjadi adat, jikalau dilakukan tanpa niat atau tidak cukup syarat-syarat kesahihan ibadah. Sebagai contoh; berhariraya, berqurban, dan berpakaian menutup ‘aurat sekiranya dilakukan tanpa berniat kerana Allah dan tanpa mengetahui bahawa ia adalah suatu hukum agama maka perlakuannya itu akan bertukar sebagai kelakuan adat sahaja.

Pada hakikatnya bahawa ibadah yang dilakukan oleh manusia itu hendaklah dilakukan hanyalah berpusat kepada Allah semata-mata. Atau boleh diertikan bahawa segala urusan hidup manusia itu mestilah selaras dengan kehendak dan keredaan Allah. Kerana seseorang yang mengabdikan diri kepada Tuhanya akan sentiasa akur dan patuh setia dengan apa sahaja suruhan dan larangan Allah.

Berasaskan nilai seperti inilah perbezaan boleh dibuat antara orang-orang mukmin dengan orang yang bukan mukmin. Seorang mukmin akan membebaskan dirinya daripada apa saja bentuk penghambaan terhadap sesama manusia atau sesuatu benda dan akan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah. Malah dia akan membebaskan diri daripada nafsunya sendiri bagi tujuan mentaati dan mematuhi Allah. Dengan itu seseorang muslim bukanlah seorang pragmatis yang boleh mengikut arus masyarakat atau kehendak diri sendiri. Malah sebaliknya dia seorang yang komited dengan perjanjian dan dasar yang lahir daripada kehendak keimanannya.

Kehendak keimanan yang dimaksudkan ialah ia perlu menyerahkan kepimpinan hidupnya kepada Allah untuk dipimpin oleh Rasul-Nya dengan berpandukan wahyu. Dia juga perlu sentiasa akur dan menerima apa saja perintah Tuhannya. Dia perlu membebaskan dirinya daripada pengaruh hawa nafsunya sendiri untuk sentiasa berada di bawah pengaruh syariat Tuhan. Sehubungan dengan itu Allah berfirman:

Maksudnya: Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, sama ada lelaki mahupun perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan bagi sesuatu perkara (ia mempunyai hak untuk) memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya, maka beralaku kesesatan yang jelas.” (Surah al-Ahzab ayat 36)

Dalam suatu ayat yang lain Allah berfirman:

Maksudnya: “Sesungguhnya jawapan orang mukmin apabila mereka dipanggil kepada kitab Allah dan sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka hanyalah ucapan “kami mendengar dan kami patuh”. Dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan”.

Oleh kerana itu ia bukanlah dianggap seorang yang mengabdikan diri kepada Tuhannya jikalau ia bersembahyang, mengeluarkan zakat, dan menunaikan haji tetapi dalam waktu yang sama ia memakan riba, menolak ketentuan-ketentuan Islam yang tidak disukainya dan melaksanakan ketentuan-ketentuan lain yang bukan diturunkan oleh Allah. Begitu juga bukan ahli ibadah namanya jikalau seseorang itu di samping melaksanakan ibadah-ibadah yang tersebut di atas tadi tidak patuh kepada tata susila Islam dan tradisinya baik untuk dirinya sendiri, mahupun untuk keluarga dan masyarakatnya.

Ibadah dan Sistem Hidup.

Sistem hidup juga ada kedudukan yang tersendiri dalam ibadah. Seseorang yang bersembahyang, berpuasa, menunaikan haji dan sebagainya tetapi merelakan diri hidup berdasarkan sistem hidup yang langsung tidak berasaskan syariat Allah. Dia sebenarnya pengabdi kepada yang lain, bahkan ia telah memberikan hak Allah kepada pihak yang lain jikalau ia merasa bahawa sistem hidup yang dirika ciptakan oleh manusia itu sebagai yang terbaik.

Oleh kerana alam ini ciptaan Allah, bererti ia adalah kepunyaan Allah dan semua manusia di dalamnya adalah hamba-hamba Allah, kerana itu Allah sahajalah yang berhak menentukan sesuatu sama ada pada pandangan manusia perkara itu baik atau buruk. Oleh itu, sekiranya ada manusia yang mendakwa dirinya boleh menentukan nilai atau peraturan mengikut nafsunya sendiri dan tidak terikat dengan nilai-nilai atau hukum-hukum yang ditentukan oleh Allah, dia sebenarnva telah melampaui batas dan tidak lagi bersikap sebagai hamba Allah yang setia. Malah orang-orang yang menerima baik sikap dan pandangan seperti itu ia boleh dianggap sebagai memperhambakan diri kepada nilai berkenaan dan telah menafikan kedudukannya sebagai hamba Allah yang setia. Dalam al-Quran Allah telah menempelak Ahlul-Kitab sebagai manusia musyrikin disebabkan mentaati arahan-arahan atau peraturan-peraturan

yang digobal oleh paderi-paderi mereka sedangkan peraturan itu bertentangan dengan perintah Allah. Firman Allah:

Maksudnra: “Mereka menjadikan pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (rahib-rahib) mereka sebagai tuhan (tuan-tuan/pendidik-pendidik) selain daripada Allah dan (juga mereka mempertuhankan) al-Masih putra Maryam. Pada hal mereka tidak disuruh melainkan untuk menyembah Tuhan yang Maha Esa. Tidak ada Tuhan selain Dia. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan” (At-Taubah ayat 31)

Menurut Ibn Kathir, mereka itu disifatkan sebagai bertuhankan para pemimpin mereka kerana mereka mematuhi arahan-arahan para pemimpin itu dengan membelakangi kitab-kitab Allah. (Lihat tafsirnya Jil 21 h. 349)

Ibadah dan Kerja-kerja Sosial

Islam turut mengkategorikan kerja-kerja sosial yang bermanafaat sebagai ibadah dengan syarat ia tidak dilakukan dengan tujuan untuk memancing pujian dan memperolehi sanjungan orang. Malah sesetengah pekerjaan ini pernah disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai lebih mulia daripada berpuasa, bersembahyang, dan bersedekah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang maksudnya: “Mahukah kamu semua aku tunjukkan sesuatu yang lebih bermutu daripada puasa, sembahyang dan bersedekah? Jawab orang ramai: Ya. Sabda baginda: Mendamaikan dua pihak yang bersengketa” (Riwayat Abu Daud dan at-Tarmizi). Dalam suatu hadith lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit, maka seorang penyeru akan memanggil namanya dari langit dengan berkata; bertuah kamu dan bertuah perjalanan kamu. Kamu telah menempah kedudukan dalam syurga”. (Riwayat at-Tarmizi) Dalam suatu hadith yang lain pula, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: Sedang seorang berjalan di jalanraya tiba-tiba dia dapati satu duri. Lalu dia membuang duri itu dan duri itu bersyukur kepada Allah untuknya. Lalu Allah memberi keampunan kepadanya (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Malah terdapat banyak hadith-hadith lain lagi yang mensifatkan kerja-kerja amal sebagai ibadah. Antara perbuatan atau kerja-kerja yang seperti itu ialah; bersedekah, amar makruf dan nahi mungkar, mengajar kemahiran kepada orang lain, membantu orang-orang yang dizalimi, tidak menyakiti orang lain, tidak memaki, menghina, mencaci mana-mana makhluk, memberi salam kepada sesama muslim, membantu orang lain melakukan sesuatu kebaikan, memperkatakan sesuatu yang baik, membuang kekotoran dari masjid, mengukir senyuman kepada orang, membantu orang buta atau orang pekak, memandu orang sesat, membuat baik kepada binatang, semuanya disifatkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai suatu perbuatan ibadah yang menghasilkan pahala, tidak terkecuali walaupun memberi minum kepada anjing yang sedang dahaga.

Ibadah dan Sara Hidup

Islam turut menganggap bekerja mencari sara hidup untuk diri sendiri dan keluarga sebagai satu cara beribadah dan mendekatkan diri kepada Allah. Setiap para petani, pegawai, pekerja, peniaga, kakitangan pentadbiran, ahli-ahli profesional, dan siapa sahaja yang melakukan kerja-kerja untuk mencari sara hidup adalah dianggap beribadah kepada Tuhan dengan kerjayanya itu dengan syarat dia mematuhi syarat-syarat berikut:

1. Bahawa kerja-kerja itu merupakan yang halal pada pandangan Islam.

2. Dilakukan dengan niat yang baik, seperti menyara hidup diri dan keluarganya atau melakukan khidmat kepada masyarakat dan pembangunan negara.

3. Dilakukan dengan tekun dan menjaga nilai-nilai kualiti.

4. Menghormati batas-batas hukum seperti tidak menindas, menipu, dan seumpamanya.

5. Tidak melalaikannya daripada tugas-tugas keagamaan yang lain.

Dalam suatu hadith ada diriwayatkan bahawa pada suatu hari seorang lelaki telah melintasi Rasulullah s.a.w.. Para sahabat Rasulullah tertarik kepada kecergasan dan ketekunan orang tersebut dan berkata: Wahai Rasulullah, kalaulah orang ini berjihad pada jalan Allah. Rasulullah menjawab: “Kalau dia bekerja untuk anak-anaknya yang masih kecil, dia sebenarnya berjuang pada jalan Allah. Kalau dia bekerja untuk kedua ibu bapanya yang sudah tua, dia sebenarnya berjuang pada jalan Allah. Kalau dia berkerja untuk faedah dirinya sendiri supaya tidak mengharapkan kasihan belas daripada orang lain, maka dia sebenarnya berjuang pada jalan Allah. Tetapi kalau dia bekerja dengan tujuan kebanggaan dan keingkaran, dia sebenarnya berjuang pada jalan syaitan. (Riwayat at-Tabarani). Rasulullah s.a.w. menerangkan juga bahawa kegiatan secara halal juga boleh menghasilkan pahala. Sabda Rasulullah s.a.w. kepada para sahabatnya: “Hubungan seks kamu juga suatu sedekah. Kata para sahabat: Apakah kami beroleh pahala dengan melayani nafsu seks? Jawab baginda: Kalau kamu melakukannya secara haram apakah kamu akan berdosa? Jawab mereka: Ya. Sabda baginda: Begitulah juga kalau ia melakukan secara halal tentu ia boleh mendatangkan pahala” (Riwayat Muslim)

IBADAH MENCAKUPI GERAK-GERI MANUSIA

Lingkaran ibadah itu mencakupi semua kegiatan hidup dan merangkumi semua gerak geri manusia. Seseorang muslim beribadah kepada Tuhannya dengan hati, fikiran dan lidah. Mereka juga beribadah dengan telinga, mata dan pancaindera yang lain. Malah mereka beribadah dengan seluruh tubuh, harta, nyawa dan apa saja. Dengan fikiran, manusia beribadah secara menghening cipta Allah, meneliti diri dan alam serta berfikir tentang segala kejadian langit dan bumi serta segala apa yang ada di dalamnya termasuk keindahan dan rahsia yang tersembunyi di belakang penyusunan yang begitu rapi, tentang sejarah dan realiti masyarakat manusia dengan segala cerita jatuh bangun mereka dan sebagainya. Dalam al-Quran, Allah menganjurkan pemikiran seperti ini dengan firman-Nya:

Yang bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya dari berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi; sesungguhnya (pada semuanya itu) ada tanda-tanda (yang membuktikan keesaan Allah), kekuasaan-Nya, kebijaksanaan-Nya, dan keluasan rahmat-Nya) bagi kaum yang (mahu) menggunakan akal fikiran. (al-Baqarah:164)

Yang bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-oang yang berakal; (Al-Imraan:190)

Yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang berpengetahuan. (Ar-Rum:22)

Yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kemurahan dan kasih sayang-Nya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan pada siang hari, dan usaha kamu mencari rezeki daripada limpah kurnia-Nya (pada kedua-dua waktu itu). Sesungguhnya keadaan yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang yang mahu mendengar (nasihat pengajaran). (Ar-Rum:23)

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: Sesiapa yang menjalani usaha bagi tujuan mencari ilmu pengetahuan Allah akan memudahkan perjalannya ke syurga” (Riwayat Imam Ahmad)

Ibnu Abbas berkata: “Berfikir sejenak lebih baik daripada bersembahyang satu malam” (Riwayat Abu-asy-Syaikh menurut Imam Syafi’i: “Menuntut ilmu lebih baik daripada melakukan sembahyang sunat”. Konsep yang sama juga ditekankan oleh Abu Hanifah. Menurut Wahb, “sewaktu bersama Imam Malik aku meletakkan alat tulisku dan terus bersembahyang. Imam Malik kemudiannya berkata: “Apa yang kamu lakukan itu tidak lebih daripada apa yang kamu tinggalkan kerananya”. (Lihat kitab Madarij as-Salikin: 3)

Dengan hatinya seseorang muslim menyembah atau beribadah kepada Tuhannya dengan menggunakan kehalusan rasa dan emosi. Dia boleh menghayati rasa kecintaan kepada Allah dan rasa takut kepada-Nya, rasa mengharapkan nikmat dan gerun terhadap azab-Nya, rasa rela hati dengan takdir-Nya, sabar terhadap bala yang ditimpakan-Nya, bersyukur terhadap nikmat-Nya, merasa malu terhadap-Nya, bertawakal dan ikhlas kepada-Nya dan sebagainya.Dalam al-Quran Allah berfirman:

Maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku. (Ayat 162&163 al-Anaam)

Dengan lidah seseorang muslim boleh beribadah kepadanya dengan cara berzikir, membaca al-Quran, bertasbih, bertahlil, bertakbir, berdoa dan sebagainya. Dalam al-Quran Allah berfirman:

Yang bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah s.a.w. itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (al-Ahzab:21). Pendekkata di dalam al-Quran terlalu banyak ayat-ayat yang menyuruh kita berzikir melalui hati. Sila semak mana-mana kitab Tafsir.

Rasulullah s.a.w. juga bersabda, maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana pada hari kiamat nanti ia akan menjadi pemberi syafaat kepada mereka yang bersahabat dengannya” - (Riwayat Muslim) Kata seorang lelaki kepada Rasulullah s.a.w.: Bagiku syariat Islam begitu banyak sekali.

Bolehkah tuan menyuruh aku dengan satu perkara untukku terus melakukannya. Sabda Rasulullah s.a.w.: “Lidahmu sentiasa basah dengan menyebut Tuhan (Riwayat at-Tarmizi) Dengan tubuhnya, seseorang muslim boleh beribadah kepada Tuhannya secara melakukan kerja-kerja yang baik dan meninggalkan apa sahaja perbuatan yang dilarang. Dengan hartanya seorang muslim boleh bersedekah, membelanjakan hartanya pada jalan Allah dan sebagainya. Dengan nyawanya seseorang muslim boleh beribadah secara berjuang dan berjihad pada jalan Allah dengan mempertaruhkan jiwa raganya.

Susun Lapis Ibadah

Ibnu al-Qaiyim dalam bukunya Madarij as-Salikin telah mengklafikasikan susun lapis ibadah berdasarkan kedudukan anggota badan manusia kepada lima belas tonggak. Beliau berpendapat, sesiapa yang dapat menyempurnakan semuanya sekali bererti dia telah berjaya menyempurnakan segala martabat atau susun lapis ibadah.Berasaskan konsep tersebut peribadahan itu boleh dikategorikan kepada beberapa aspek iaitu:

1- Ibadah hati

2- Ibadah lidah, dan

3- Ibadah anggota-anggota badan yang lain yang tertakluk kepada lima hukum ibadah iaitu: Wajib, Sunat, Makruh, Haram, dan Harus.

Bertanyalah (wahai Muhammad) “Siapakah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan langit dan bumi?” Jawablah: “Allah”. Bertanyalah lagi: “kalau demikian, patutkah kamu menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung dan penolong yang tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat bagi dirinya sendiri dan tidak dapat menolak sesuatu bahaya?” Bertanyalah lagi: Adakah sama, orang yang buta dengan orang yang celik? Atau adakah sama, gelap gelita dengan terang? Atau adakah makhluk-makhluk yang mereka jadikan sekutu bagi Allah itu telah mencipta sesuatu seperti ciptaan-Nya, sehingga ciptaan itu menjadi kesamaran kepada mereka?” Katakanlah: “Allah jualah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dan Dialah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa”

Kepekaan terhadap keEsaan dan Keagungan Allah inilah yang menjadikan seseorang merasa dirinya begitu kerdil dan memerlukan Tuhan Yang Maha Berkuasa. Serentak dengan itu dia akan merasa dirinya jahil sekali di hadapan keilmuan AlLah yang meliputi segala, miskin sekali di hadapan kekayaan-Nya yang begitu melimpah dan sebagainya. Dengan ini akan lahir dalam dirinya rasa kehambaan yang hina dina di hadapan ketuhanan Yang Gah dan Agung. Di samping itu lahir pula rasa ikhlas ingin mengabdikan diri kepada Allah Yang Maha Sempurna.

Rasa kehambaan terhadap Allah dalam diri seseorang itu akan bertambah sejajar dengan pertambahan kadar pengertiannya terhadap diri sendiri dan pengenalannya terhadap Tuhan. Dengan itu pergantungannya kepada Allah akan menjadi lebih kukuh. Seanadainya seseorang itu kurang maklum tentang nilai dirinya dan juga tentang keagungan Allah, perasaan seperti itu tidak akan subur.

Dalam keadaan seperti itu dia akan meraba-raba mencari Tuhan lain untuk dipatuhi dan untuk mendapat pembelaan, sama ada dengan sedar atau secara tidak sedar.

Begitupun, komitmen tersebut perlu lahir dari lubuk hati yang cintakan Allah. Kecintaan seperti itu berasas kepada hakikat bahawa Allah sahajalah yang mempunyai dan memberi segala kebaikan kepada umat manusia. Dialah sahaja yang Maha kaya, Indah, Pemurah, Pengasih, Pengangkat, Penjatuh dan sebagainya daripada segala sifat kesempurnaan, Allah yang tunggal.

Sebenarnya kecintaan seseorang itu terhadap Allah banyak dipengaruhi oleh kadar pengetahuan dan ma'rifatnya terhadap Allah kerana itulah Rasulullah (s.a.w.) disifatkan sebagai orang yang paling kuat beribadat dan paling cinta kepada Allah kerana Rasulullah ialah orang yang paling mengenali Allah.

Dalam hal ini Allah telah menjadikan dua sikap sebagai tanda kecintaan seseorang itu kepada-Nya. iaitu:

Mematuhi dan mencontohi Rasulullah,

Berjihad pada jalan-Nya

Mengenai ketaatan kepada Rasul, Allah berfirman:

Maksudnya: “Katalah (wahai Muhammad) jika kamu (benar-benar) cintakan Allah, maka ikutilah aku nescaya Allah mengasihi kamu dan mengampuni dosa-dosa kamu “

Sementara mengenai jihad pula, Allah berfirman, antara lain:

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad) “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya Maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi pertunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”

Dalam hadith-hadith Rasulullah juga terdapat huraian-huraian yang sama, antara lain:

1) Sabda Rasulullah (s.a.w.):

Maksudnya: “Sesiapa yang berperang untuk meletakkan kalimah Allah di tempat yang tertinggi maka dia adalah berjuang di jalan Allah” (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abi Musa al-Asy'ari)

2) Sabda Rasulullah (s.a.w.):

Yang bermaksud:

“Ada tiga kalangan yang dapat merasa kemanisan iman, iaitu orang yang menyintai Allah dan Rasul-Nya melebihi segala-galanya, orang yang mengasihi seseorang lain semata-mata kerana Allah dan orang yang benar-benar tidak mahu kembali kepada kekufuran. sama seperti dia benar-benar tidak mahu dicampakkan ke dalam api neraka” - Riwayat al-Bukhari dan Muslim-

Ini bererti bahawa, orang yang mengabdikan diri atau beribadat kepada Allah itu ialah orang yang menyesuaikan dirinya dalam masalah mengasihi dan membenci dengan kehendak Allah. Iaitu, mencintai Allah dan rasul-Nya lebih daripada mencintai apa saja dan mengasihi makhluk semata-mata kerana Allah dan membenci sesuatu juga semata-mata kerana kebencian Allah, bukan kerana lain.

Hadith: Maksudnya: Ia memarahi sesaorang demi kerana Allah dan meredai sesaorang kerana keredaan Allah.

Niat Dan Ibadat

Niat itu sebagaimana yang diterangkan dalam “Muqaddimah Mestika Hadith” mempunyai dua pengertian

1. Tujuan yang mendorong dan menggerakkan hati seseorang hendak melakukan sesuatu perkara yang tertentu.

2. Perasaan berbangkitnya dan tergeraknya hati hendak melakukan perkara itu.

Pengertian yang pertama menjadi asas untuk menilai baik buruknya perkara yang hendak dilakukan itu.

Pengertian yang kedua pula menjadi asas untuk diiktiraf perkara yang dilakukan itu.

Jelasnya sebelum memulakan sesuatu amal ibadat seseorang itu hendaklah terlebih dahulu memperbaiki niat dan keikhlasannya dan hendaklah mengambil tahu dan memikirkan halnya dengan teliti kerana niat itu menjadi asas segala amal ibadat.; jika baik niat seseorang maka baiklah amalnya dan jika rosak niatnya maka sia-sialah segala amalannya.

Oleh itu, setiap orang janganlah menuturkan sesuatu perkataan, mengerjakan sesuatu perbuatan atau berniat hendak menjalankan sesuatu urusan melainkan niatnya semata-mata untuk bertaqarrub (mendampingkan diri) kepada Allah dan mengharapkan keredaan serta pahala yang ditentukan oleh Allah (s.w.a.) bagi amal ibadat yang diniatkan itu.

Lajnah al-Ta'lif Dar al-Tauhid menta'rifkan niat sebagai qasad (sengaja) atau menfokuskan kehendak yang tegas terhadap sesuatu.14 menurut mereka, terdapat dalam suatu penegasan Imam Ja far al-Sadiq:

Yang bermaksud: Orang yang berniat benar itu ialah orang yang mempunyai hati yang suci sejahtera dan dikaitkan dengan firman Allah:

Maksudnya: “Ingatlah di hari (Qiyamah) yang harta dan anak pinak tidak bisa memberi manfaat. Kecuali orang yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera (beriman dan berikhlas kepada Allah dengan menger~akan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya)16

Dalam ajaran Islam niat memainkan peranan yang penting dalam mengukur nilai peribadi seseorang. Niat Juga berperanan di dalam menilai dan memberi ganjaran terhadap amal ibadat sesaorang. Islam tidak akan menilai kepada sesuatu amal ibadah dan juga terhadap mana-mana orang yang tidak mempunyai niat, kerana tindakan seseorang hamba dalam kacamata Islam itu ialah jalinan yang erat antara usaha manusia dengan niat atau qasad.

lantaran itu setiap pengorbanan harta dan penggambaran akhlak yang baik tetapi lahir dari dorongan riya', sum'ah, 'ujub dan sebagainya adalah sia-sia. Begitu juga sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain yang tidak disertakan dengan niat yang ikhlas kerana Allah, maka ibadah itu adalah batal, rugi, tidak bernilai dan tidak akan diberi pahala.

Rasulullah (s.a.w.) bersabda maksudnya:

“Sesungguhnya segala amal itu diambil kira dengan niat-niat yang tertentul (selaras dengan amal) dan sebenarnya tiap-tiap seorang hanya akan beroleh balasan berdasarkan niatnya ...”(Riwaya Bukhari dan Muslim dri 'Umar Ibn al-Khattab)

Dalam hal ini Allah berfirman:

maksudnya:

“Dan tidak diperintahkan mereka melainkan supaya mereka menyembah (mengabdikan diri kepada) Allah dengan mengikhlaskan agama kerana-Nya, dengan menjauhi kesesatan dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat. Demikian itulah agama kelurusan”

Melalui keterangan ringkas di atas dapatlah ditegaskan bahawa tempat berniat itu ialah dalam hati, dan inilah yang wajib dilakukan dalam setiap ibadat sebagai rukunnya. Jika tidak berniat dalam hati, maka ibadat itu batal dan tidak sah. Contoh lafaz niat dengan mulut seperti katanya:

atau

dan lain-lain, menurut huraian sebahagian besar alim ulamak, adalah sunat, kerana lafaz niat itu dapat menolong hati. Sunat yang dimaksudkan di sini ialah Mustahabb iaitu elok atau ada baiknya dibuat19

Niat terjadi melalu tiga unsur terpenting:

1. Pengetahuan dan ilmu yang cukup terhadap amalan yang hendak dilakukan, begitu juga tujuan, matlamat dan natijah atau akibat sesuatu amal itu. Ini bertujuan supaya seseorang itu mampu memilih dan menentukan cara qasadnya.

2. Ada kecenderongan kejiwaan yang secocok dan seiring antara tindakan amal itu dengan matlamat rohaninya yang didorong oleh rasa sayang dan gemar untuk melakukannya.

3. Mengambil keputusan hendak melakukan sesuatu beserta gerak geri dengan kekuatan jasad, jiwa dan fikiran. Ketika seseorang melakukan ibadah untuk mencapai matlamat sendiri dan dengan amalan itu ia berhak mendapat balasan, kerana sikap inilah yang menggambarkan tindakan lahiriah yang tercetus dari dalam dirinya sendiri.

Allah berfirman:

Maksudnya: “Katakanlah: Tiap-tiap orang beramal menurut tabiatnya, tetapi Tuhan kamu lebih mengetahui siapa yang lebih terpimpin perjalanannya.

Nabi Muhammad (s.a.w.) bersabda maksudnya:

“Apabila seseorang kamu mencantikkan Islamnya, maka setiap kebaikan yang dilakukan, nescaya ditulis untuknya kebajikan yang banyak antara sepuluh sehingga tujuh ratus kali ganda, dan setiap keburukan yang dilakukannya, nescaya ditulis balasan sebandingannya'' 21

Dan dalam hadith yang lain pula bermaksud:

“Ikhlaskanlah niat engkau, nescaya amal yang sedikitpun mencukupimu”

Sabda Rasulullah (s.'a.w.) lagi: maksudnya:

“Berapa banyak amalan yang berbentuk dunia bertukar menjadi amalan akhirat dengan sebab niat yang baik dan berapa banyak pula kerja-kerja akhirat bertukar menjadi kerja dunia dengan sebab jahat atau buruk niatnya”

Di sini dapatlah kita melihat dengan yaqin betapa besarnya perhatian syariat Islam terhadap masalah niat, sama ada bernilai atau tidaknya ibadah seseorang bergantung kepada niat yang ikhlas kerana Allah atau selain-Nya.

Kerana itulah akibat dan ganjaran pahala tidak diperolehi seseorang melainkan atas kadaikhlas niat ditumpukan kepada amalannya di samping keselarasan pula dengan kehendak syari'ah Allah.

Huraian mengenai persoalan niat, muqaranah dan peringkat-peringkatnya,

Kamaliyyah, 'Urfiyyah dan Tauzi'iyyah ada dibincangkan secara panjang lebar dalam kitab-kitab fiqah. Selain daripada kitab-kitab Arab, perbincangan tersebut dapat dibaca di dalam kitab-kitab jawi yang disusun oleh alim ulama' rahimahumullah, antaranya ialah:

1. Muniyyah al-Musalli, h. 7

2. Matla' al-Badrain, h. 30

3. Sabil al-Muhtadin, J. 1, h. 194

4. Dan secara khusus dalam “Risalah Muqaranah Sembahyang” ditepi kitab Minhaj al-Salam, h. 29.

5. Kedudukan Niat Dan Ikhlas Dalam Islam oleh Abdullah al-Qari Hj. Salleh, Pustaka ASA, Kenali, Kelantan, 1981

6. Ruang Lingkup Ibadat

Misi utama manusia di bumi ini ialah untuk beribadat atau memperhambakan diri kepada Allah. Dalam al-Quran Allah berfirman maksudnya:

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka berabdi kepada-Ku, Aku tidak menghendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak meghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku”

Bagaimanapun ibadat itu bukanlah sesuatu yang sempit ruang lingkupnya, malah ia adalah suatu hakikat yang mempunyai ruang lingkup yang luas sekali sehingga merangkumi seluruh aspek keagamaan dan kehidupan yang meliputi zahir dan batin.

1

No comments:

Post a Comment