Manusia patut kaji khazanah mukjizat al-Quran
Petikan daripada tulisan & ditambah: Nasron Sira Rahim
SAINS bukan suatu yang asing dalam Islam kerana kajian saintifik terhadap al-Quran mendapati kitab wahyu itu mengandungi pelbagai ilmu sains yang disampaikan secara tersurat atau memerlukan kajian mendalam.
Lebih menakjubkan lagi, ilmu itu disampaikan pada abad keenam, iaitu ketika manusia pada ketika itu masih jahil dan terasing dalam bidang sains.
Bagaimanapun, selepas abad ke-19 mengikut kajian yang dilakukan telah mendapati bahawa fakta saintifik yang dalam al-Quran terbukti benar.
Felo Kanan Pusat Sains dan Teknologi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Shaikh Mohd Saifuddeen Shaikh Mohd Salleh, berkata sebagai contoh, ayat pertama hingga kelima daripada surah al-Alaq dikatakan memiliki fakta sains melangkaui tahap pemikiran manusia pada ketika ayat itu diturunkan.
Sila perhatikan terjemahan ayat berikut:
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang mencipta (sekalian makhluk).
(Surah al-`Alaq 96 : 1)
HURAIAN DAN KEFAHAMAN
Inilah perintah Allah S.W.T. yang pertama memerintahkan Nabi Muhammad s.a.w. supaya mengutamakan aspek pembelajaran, khususnya membaca dan menulis ilmu pengetahuan. Ini kerana, pembelajaran merupakan simbol dan lambang Islam itu sendiri.
Ayat pertama ini bermaksud, “Bacalah wahai Muhammad al-Quran ini dengan memohon pertolongan dengan nama Tuhanmu yang telah mencipta sekalian makhluk dan alam semesta ini.
Ia mencipta manusia daripada sebuku darah beku.
(Surah al-`Alaq 96 : 2)
HURAIAN DAN KEFAHAMAN
Pada asalnya, dari segi bahasa; perkataan “AL-‘ALAQ” ini bermaksud suatu benda yang “tergantung”. Pada zaman moden ini, pengkaji-pengkaji hayat dan para Doktor bersependapat tentang kejadian bayi dengan mengatakan bahawa apabila air mani atau sel lelaki itu melekat pada air mani(sel) dalam rahim wanita dalam keadaan tergantung sebelum ia menjadi seketul darah dan sebagainya. Dengan yang demikian, jelaslah bahawa sains mengenai kejadian bayi ini telah lama dijelaskan oleh Allah S.W.T. Ilmu perubatan moden juga telah mengesahkan bahawa air mani yang menjadi unsur utama ciptaan manusia itu mengandungi beberapa unsur hidupan dan sel yang tidak nampak dilihat oleh mata kasar. Sebaliknya, ia hanya dapat dilihat melalui mikroskop. Hidupan dan sel ini mempunyai kepala dan ekor. Allah S.W.T. telah mencipta manusia sebagai makhluk yang paling mulia, iaitu daripada seketul darah beku (sejenis ulat kecil). Maha Besarlah Kuasa dan Keberkatan Allah Tuhan semesta alam. (Sila rujuk buku yang bertajuk, “Ilmu Perubatan sebagai Mihrab Keimanan, Juzuk 2, hlm. 53).
Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah.
(Surah al-`Alaq 96 : 3)
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan.
(Surah al-`Alaq 96 : 4)
Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
(Surah al-`Alaq 96 : 5)
HURAIAN DAN KEFAHAMAN:
Ayat ini mempunyai maksud, “Dialah(Allah) yang mengajar manusia menulis dengan pena dan mengajar mereka beberapa ilmu pengetahuan yang tidak diketahui oleh manusia sebelumnya, lalu keadaan mereka pun berubah daripada diselubungi gelap kejahilan kepada diterangi sinar ilmu pengetahuan. Walaupun Allah S.W.T. mengajar orang lain dengan perantaraan pena, namun Dia jualah yang telah mengajar ilmu pengetahuan yang tidak ternilai banyaknya kepadamu wahai Muhammad tanpa perantaraan, walaupun pada asalnya kamu seorang yang ummi;(buta huruf) kamu tidak pernah belajar membaca dan menulis daripada guru yang tertentu.
Al-Qurtubi menyatakan, “Allah S.W.T. menarik perhatian tentang kelebihan memiliki kepandaian atau kebolehan untuk menulis kerana ia dapat memberikan banyak manfaat kepada manusia yang tidak mampu diperoleh oleh mereka tanpa kepandaian ini. Selain itu, tanpa kepandaian atau kebolehan ini, banyak urusan penting agama dan dunia tidak dapat dilaksanakan. (Tafsir al-Qurtubi : 19/120).
Kelima-lima ayat ini merupakan ayat-ayat pertama al-Quran yang paling awal diturunkan. Ini sebagaimana yang dinyatakan dalam kitab-kitab Hadith Sahih bahawa ketika Rasulullah s.a.w. sedang beribadah di Gua Hira’, maka turunlan Malaikat Jibril yang memeluknya dengan erat lalu berkata, “Bacalah.” Baginda menjawab, “Aku tidak tahu membaca,” sebanyak tiga kali berlaku keadaan ini, hinggalah Jibril mengajar Baginda membaca ayat-ayat ini. (Ayat 1 hingga 5).
Ayat ini menjelaskan bahawa pada peringkat permulaan, setiap insan berasal daripada seketul darah dan sebahagian daripada kehormatan yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia ialah mereka diajar oleh-Nya dengan beberapa ilmu yang belum diketahui oleh mereka. Inilah keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada manusia, melebihi malaikat.
Wahyu pertama itu tidak saja sebagai watikah pelantikan Nabi Muhammad saw sebagai Rasulullah, malah mengandungi maklumat sains dalam bidang biologi mengenai proses awal kejadian manusia.
Selain surah berkenaan, antara fakta sains lain yang ditemui dalam al-Quran bahawa adalah semua cakerawala bergerak secara terapung. Sila lihat surah Yasin, ayat 40:
TERJEMAHAN:
(Dengan ketentuan yang demikian iaitu) matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.
(surah Yasin 36:40)
Mengenai bumi bergerak, sila lihat surah an-Naml, ayat 88:
TERJEMAHAN
Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; Sesungguhnya Dia amat mendalam pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan.
(Surah al-Naml 27:88)
Mengenai pokok kayu yang menghijau itu telah menghasilkan bahan bakar. Sila lihat surah Yasin, ayat 80:
TERJEMAHAN
Tuhan yang telah menjadikan api dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon tersebut.
(Surah Yasin 36:80)
Tuhan yang telah menjadikan api boleh didapati daripada pohon-pohon yang menghijau lagi basah pula untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api daripada pohon-pohon itu.
Abu Hayyan menyatakan, Allah S.W.T. mendedahkan sesuatu yang lebih pelik daripada rekaan manusia, iaitu selama ini manusia hanya dapati api itu daripada batu dan besi sahaja. Manusia dapat mengesan api daripada kayu hanya selepas beratus-ratus tahun al-Quran diturunkan, yang lebih menakjubkan lagi ialah pokok kayu yang basah juga boleh mengeluarkan api yang unsurnya berlawanan dengannya. Tidakkah terbukti bahawa air itu dapat memadamkan api yang sedang menyala? Justeru, api itu boleh lahir daripada bahan yang mengandungi air. (Al-Bahr al-Muhit: 7/348)
Fakta-fakta lain termasuk atom iaitu suatu benda terkecil. Sila lihat surah Yunus, ayat 61:
TERJEMAHAN
Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam menjalankan sesuatu urusan, dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu surah atau sesuatu ayat daripada al-Quran, dan tidaklah kamu (Wahai umat manusia) dalam mengerjakan sesuatu amal usaha, melainkan adalah Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap daripada pengetahuan Tuhanmu sesuatu daripada sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil daripada itu dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.
(Surah Yunus ayat 61)
Dan semakin tinggi semakin sukar bernafas. Sila lihat surah al-An'aam, ayat 125:
TERJEMAHAN
Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah kepadanya, nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam. Sementara itu, sesiapa yang Allah mahu menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payah). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak beriman.
(Surah al-An`am 6:125)
Sesiapa yang Allah mahu memberi hidayah petunjuk kepadanya, nescaya dilapangkan dadanya dan dibuka hatinya untuk menerima Islam. Ibn Abbas berkata: “Allah membuka pintu hatinya untuk menerima tauhid dan keimanan”. Sewaktu Nabi Muhammad s.a.w. ditanya mengenai ayat ini, baginda menjawab: “Sebaik sahaja hati seseorang dimasuki nur hidayah, hatinya akan semakin terbuka lebar dengan keimanan”. Rasulullah s.a.w. ditanya lagi: “Adakah terdapat sebarang tanda untuk mengenal hati yang mendapat hidayah?” Jawab baginda: “Tandanya ialah dia sentiasa mendekatkan diri dengan urusan akhirat, menjauhkan diri daripada kepalsuan dunia dan sentiasa bersiap sedia menghadapi kematian sebelum ia tiba”. (Al-Tabari 12/100) Sementara itu, sesiapa yang Allah mahu menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit dengan susah payah. `Ata’ berkata: “Hati seperti itu tiada mempunyai sebarang ruang untuk kebaikan”. (Ibn Kathir 1/617) Demikianlah Allah melaknat orang yang tidak beriman sama ada di dunia atau akhirat.
Semua makhluk berpasangan (surah adz-Dzaariyaat, ayat 49),
TERJEMAHAN
Dan tiap-tiap jenis Kami ciptakan berpasangan, supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami).
(Surah al-Dhariyat 51:49)
Proses kejadian manusia (surah al-Mu'minuun), dan kegunaan besi (surah al-Hadiid, ayat 25)
TERJEMAHAN
Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan. Dan Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah bagi manusia; (kerana sebahagian besar alat-alat peperangan itu diperbuat daripada besi, seperti kereta perisai, kereta kebal dan sebagainya, dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia dapat menggunakan faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari, seperti jentera pembajak, berbagai jenis pisau dan alat pemotong), dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong rasul-rasul-Nya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa (untuk membalas orang-orang yang memusuhinya, dan tidak perlu kepada sebarang bantuan dan pertolongan sesiapa pun). (Surah al-Hadid 57:25)
HURAIAN DAN KEFAHAMAN
Ibn Kathir menyatakan: Maksud ayat ini ialah, bahawa Allah S.W.T telah menjadikan besi itu sebagai alat untuk menumpas orang-rang yang menentang kebenaran. Justeru, Rasulullah s.a.w. telah menetap di Makkah selama tiga belas tahun sambil menerima wahyu yang diturunkan kepadanya, sambil menyeru kaumnya dengan menggunakan hujah dan bukti. Setelah bukti itu diingkari juga oleh orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, maka Allah memberi perintah kepadanya supaya berjihad dan berperang dengan menggunakan alat senjata sesuai dengan era dan keadaan zamannya.
Langit yang terkawal (surah al-Anbia', ayat 32).
TERJEMAHAN
Dan Kami telah menjadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara dan terkawal, sedang mereka (yang kafir itu) berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda (kekuasaan Kami) yang ada padanya.
(Surah al-Anbiya’ 21:32)
HURAIAN DAN KEFAHAMAN
Ibn ‘`Abbas menyatakan, Allah mengawal langit daripada dicerobohi oleh syaitan melalui bintang-bintang. Manakala al-Qurtubi pula menyatakan bahawa Allah s.w.t mendedahkan bahawa orang kafir musyrik itu menjadi leka dan lupa memberi perhatian kepada ciptaan langit yang mengandungi bulan dan bintang, yang menyebabkan berlakunya peredaran siang dan malam, matahari dan bulan, tempat laluan bintang-bintang dan sebagainya, juga tentang kejadian dan perjalanan angin, yang mengandungi bukti yang jelas akan kekuasaan Allah, yang seandainya mereka memerhatikan semua itu nescaya mereka akan mendapat kesimpulan bahawa seluruh alam ini diciptakan oleh Tuhan Yang Maha Esa dan Berkuasa, yang mustahil ada sebarang rakan kongsi dalam kekuasaan-Nya. (Al-Qurtubi:11/285)
Shaikh Mohd Saifuddeen berkata, bagi umat Islam, penjelasan mengenai proses alam tabii sudah diberi secara tersurat atau tersirat menerusi al-Quran dan manusia hanya perlu mengkaji khazanah mukjizat berkenaan.
“Sejak azali dulu, manusia sentiasa berusaha memahami alam tabii yang didiami sehingga membawa kepada perkembangan ilmu yang dikenali sebagai sains,” katanya dalam perbincangan kertas kerjanya bertajuk Sumbangan Tamadun Islam Dalam Perkembangan Ilmu yang dibentangkan pada Seminar Islah Hadhari-Pengenalan Semula dan Penguasaan Cabang Ilmu Asas Di Kalangan Umat Islam di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Beliau bagaimanapun berkata, umat Islam kini lebih terpengaruh dengan falsafah sains berasaskan acuan Barat yang meletakkan keagungan kepada sains dan teknologi itu sendiri seolah-olah menafikan wujudnya Tuhan yang mencipta segala-galanya.
Antara pandangan yang berjaya mempengaruhi pemikiran mengenai falsafah sains itu adalah pandangan kumpulan positivisme logikal. Mereka mewujudkan satu idealisme mengagungkan ahli sains sehingga ingin membuktikan keupayaan manusia untuk mengenali dan memahami alam tanpa wahyu.
Bagaimanapun, ada juga di kalangan ahli sains Barat yang menyangkal pendapat berkenaan seperti pakar bedah Perancis tersohor, Maurice Bucaille yang memberikan ulasan bahawa wujud keharmonian antara Islam dan sains, tiada konflik, paradoks atau pertentangan.
Pengarah Pusat Perhubungan Korporat dan Antarabangsa, Kolej Universiti Teknikal Kebangsaan Malaysia (KUTKM), Prof Madya Dr Mohd Ridzuan Nordin, pula berkata pada zaman kegemilangan tamadun Islam, saintis Islam banyak memberi sumbangan terhadap pengembangan ilmu.
Menerusi kertas kerja bertajuk Perkembangan Ilmu Sains Asas Dalam Tamadun Islam, beliau berkata, antara sumbangan saintis Islam yang amat bermakna dalam bidang ilmu sains asas adalah pendekatan membuat pemerhatian, pengukuran dan melakukan uji kaji.
Katanya, antara nama tokoh yang berjasa pada zaman itu ialah Jabir Ibn Haiyan yang terbabit dalam perubatan dan kimia, Muhammad Musa Al-Khawarizmi (matematik, astronomi dan geografi) dan Yaqub Ibn Ishaq Al-Kindi (falsafah, fizik, optik, perubatan, matematik dan metalurgi).
“Pengembangan pesat ilmu sains asas dalam tamadun Islam didorong oleh minat saintis Islam mendalami proses ciptaan alam oleh Allah.
“Pengkaji al-Quran tidak dapat lari daripada memikirkan dan menyelidik mengenai fenomena yang diterangkan al-Quran,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, prestasi umat Islam dalam bidang ilmu sains asas berlaku selepas mereka mula leka dengan kehidupan serta keimanan mula lemah.
Sumbangan tamadun Islam terhadap bidang sains berlaku semasa prakebangkitan Eropah. Sejak itu, sumbangan saintis Islam adalah terhad malah sumbangan saintis Islam dalam kurun ke-20 dan 21 boleh dipersoalkan.
Sehingga kini, hanya dua saintis Islam mendapat Hadiah Nobel iaitu Dr Abdus Salam dari Pakistan dalam bidang fizik pada 1979 dan Dr Ahman Zewail dari Mesir dalam bidang kimia pada 1999.
Bagi mengubah keadaan ini, katanya, umat Islam perlu memahami faktor yang menyebabkan berlakunya kelemahan dalam bidang itu antaranya kurangnya penerapan budaya sains dan teknologi, penguasaan bahasa yang terhad serta kurangnya minat untuk membiayai inisiatif sains dan teknologi.
No comments:
Post a Comment