بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ حَمْدًا شَاكِرِيْنَ وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى أَشْرَفِ الْمُرْسَلِيْنَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Demi sesungguhnya segala yang wujud di bumi dan di langit sememangnya memuji dan bertasbih kepada Allah SWT. Bumi dan langit adalah amanah Allah, malah alam seluruhnya adalah tanda kebesaran dan kewujudan Allah Taala dan pembuka fikiran manusia untuk membentuk diri sebagai seorang hamba Allah dan sekaligus menjadi Khalifah yang bertanggungjawab menjaga amanah yang telah dipertanggungjawabkan ke atas bahu kita.
Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad s.a.w., kaum keluarga serta para sahabatnya. Syukur alhamdullilah dengan taufik dan hidayahNya maka FIRQAH RABBANIAH dapat menerbitkan rangkaian laman web berjudul “wa’yul-Islam” (kesedaran Islam) bagi membolehkan kita umat Islam menjalankan tugas dan kerja-kerja dakwah seperti kerja para nabi dan rasul-rasul serta memperluaskan ilmu Islam dalam pelbagai bidang yang amat dititikberatkan oleh Islam.
Ilmu perlu disebarkan melalui pelbagai bidang bagi membolehkan semua lapisan masyarakat sama-sama berfikir dan mengenal serta mendalami perintah (suruhan)dan larangan berhubung kait dengan kehidupan manusia, seperti akidah, syariat, akhlak, dengan segala cabang dan pengertiannya. Dengan laman web ini juga kita dapat bersama membuka minda masyarakat Islam sesuai dengan zaman teknologi dan Negara tanpa sempadan hari ini. Mudah-mudahan halaman ini berguna atau sekurang-kurangnya menambah faedah dan manfaat kepada anak bangsa kita di Malaysia khasnya umat Islam.
Lama web ini lahir atas dasar keinsafana dan cetusan kumpulan kawan-kawan yang ikhlas yang mahu melihat masyarakat Islam sentiasa berada dalam suasana ukhwah Islamiayah yang tulin dalam keadaan sentiasa aman yang dapat dinikmati oleh setiap insan dan sejahtera yang boleh dirasai oleh semua masyarakat Islam khususnya.
Insya-Allah dalam laman web kami ini akan sama-sama dapat perbincangankan pelbagai masalah mengenai ajaran agama termasuk perkara-perkara yang terlibat dengan kehidupan manusia dan isu semasa dalam pelbagai bidang. Dan jika ada sambutan kita akan adakan juga soal-jawab agama berdasarkan ulama yang muktabar yang jauh sekali akan perbincangkan soal-soal khilafiah.
Marilah sama-sama kita berdoa agar laman web ini mendapat sambutan, semoga cita-cita murni Firqah Rabaniah yang mengadakan laman web ini berjaya untuk melihat masyarakat insan sentiasa berada pada jalan benar dan diredai oleh Allah seterusnya mendapat balasan yang baik daripadaNya. Terima kasih.
KESEDERHANAAN DALAM ISLAM
(Oleh: Jaddu Mohd Hakeem)
Umat pertengahan
Firman Allah (Ayat 143 al-Baqarah) Yang Bermaksud:
Sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus. Maka Kami juga telah menjadikan kamu satu umat “pertengahan” dan kamu merupakan umat pilihan lagi adil. Pertengahan dalam segala pembawaannya; tidak melampaui atau keterlaluan dalam menganut kepercayaannya, termasuk akhlak dan amalannya, segala-galanya dalam pertengahan, baik mengenai perkara keduniaan maupun keakhiratan. Oleh yang demikian kamu sememangnya layak menjadi manusia yang akan memberi keterangan kepada seluruh umat manusia di akhirat kelak tentang kebenaran Islam. Manakala Nabi Muhammad saw pula sebagai Rasulullah yang akan menjadi saksi untuk menerangkan kebenaran perbuatan kamu di akhirat nanti. (Ayat 143 al-Baqarah)
Di dalam mentafsirkan ayat di atas. Al-Syahid Syed Qutub mentafsirkan: Bahawa umat Islam perlu mengamalkan sikap kesederhanaan di dalam semua perkara termasuk iktikad(kepercayaan), pemikiran, tasawur(gambaran), tanzim(Penyusunan masyarakat), hubungan dengan Allah, dan juga sesama manusia. Di dalam urusan amal ibadah misalnya seseorang muslim harus mengambilkira kemampuan diri, dan tidak memaksa diri untuk melakukan amal-amal ibadat secara keterlaluan sehingga lupa akan tanggungjawab urusan-urusan keduniaan. Pokoknya; Islam mengajar serta menganjurkan umatnya supaya bersikap sederhana dalam semua aspek kehidupan. (Tafsir Zilal halaman 131)
Keperibadian Islam
Kesederhanaan bermaksud agar umat Islam mempunyai syakhsiah Islam, rumahtangga Islam, berpelajaran Islam, berekonomi Islam, berkira bicara secara Islam dan mempunyai sikap seorang Islam sebagaimana yang dicontohi oleh Nabi Muhammad saw. Tanpa pelaksanaan seperti ini maka tidak akan lahir suatu Umat yang disebut Allah “Umat Muhammad sebagai umat pertengahan”. Juga tanpa ciri-ciri tersebut segala pelaksanan undang-undang Islam tidak ternilai atau akan menjadi kosong, mungkin tidak lebih daripada hanya memebri penyeksaan kepada umat itu sendiri tanpa melalui keimanan dan ketakwaan. Kefahaman tentang Islam kepada umat Islam secara sempurna hendaklah dilakukan secara menyeluruh agar pelaksanaan syariat Islam yang akan dilakukan itu tidak mendapat tentangan serta mendapat keridaan daripada Allah swt.
Kegiatan yang bercanggah dengan ayat di atas.
Di dalam konteks ini ada kalangan umat telah mengelirukan kefahaman ayat al-Quran melalui kefahaman mereka sendiri, mengenai “Perpecahan” umpamanya. Ada orang mentafsiran bahawa: Perpecahan adalah suatu Sunnah Allah yang koti berlaku sehingga hari kiamat walau dengan apa cara pembendungan sekalipun. Mereka mentafsirkan ayat 36 surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan Kami(Allah) berfirman: 'Turunlah kamu (Adam, Hawa dan Syaitan ke dunia). Sebahagian daripada kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain.
Penafsiran yang seperti ini adalah bercanggah dengan kitab-kitab tafsir yang dipakai oleh ahli Sunnah dan Jamaah. Sesungguhnya maksud ayat 36 surah al-Baqarah: Sebahagian daripada kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dalam ayat ini adalah ditujukan kepada perkelahian antara manusia dan syaitan, iaitu manusia dan syaitan akan berseteru selama-lamanya sehinggalah ke hari kiamat. Penafsiran seperti itu adalah tersilap besar, bahkan akan menjurus ke arah perpecahan serta jauh menyimpang daripada kehendak Allah supaya umat Muhammad ini bersifat sederhana.
Sila lihat Firman Allah ayat 4 surah Quraisy yang bermaksud: Tuhan yang menyelamatkan mereka daripada kelaparan, dan mengamankan mereka daripada ketakutan. Di dalam ayat ini; Allah memberitahu secara simbolik bahawa musuh manusia ialah ketakutan, huru-hara, dan kelaparan, dan seandainya kita berada di dalam kategori keamanan dan tidak lapar maka itu suatu nikmat yang perlu dipelihara bersama.
Silap penafsiran Islam atau kejahilan terhadap pengertian Islam yang sebenar, meyebabkan sesetengah golongan tidak dapat membezakan antara hukum manakah yang perlu didahulukan (Aulawiat) atau dikemudiankan, bahkan hukum yang sunat diutamakan daripada yang wajib. Jikalau ini yang menjadi amalan umat Islam Malaysia nescaya umat Islam akan terus ketinggalan di dalam arus kebangkitan ekonomi, politik, sosial dan lain-lain, atau berada dalam perpecahan.
Nabi Muhammad saw telah bersabda yang bermaksud:
Sebaik-baik perkara adalah pertengahan.
Dalam masyarakat Islam di seluruh dunia didapati ada kumpulan umat yang mendakwa kononya diri mereka berjuang Islam, tetapi dalam tindakan dan amalan seharian mereka sering menuduh buruk kepada orang lain, memaki dan menggelarkan orang lain sebagai taghut, syirik dan sebagainya. Di dalam ucapan atau tulisan mereka didapati lebih banyak perbuatan mengeji, menghina, melabel buruk, bermusuhan sesama Islam. Sikap seperti ini menggambarkan bahawa mereka tidak mengikut Islam, apatahlagi bersederhana dalam semua aspek. Bahkan jauh daripada melakukan pendekatan untuk membena masyarakat ke arah yang lebih baik atau berpendidikan Islam. Mereka telah membelakangkan perintah Allah sebagaimana Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 11 & 12 yang bermaksud:
Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak daripada kaum lalaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, kerana mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, kerana mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah daripada kamu menyatakan keaipan setengahnya yang lain; dan jangan pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka amatlah buruknya sebutan nama fasik kepada seseorang sesudah ia beriman. Dan ingatlah, sesiapa yang tidak bertaubat daripada perbuatan fasiknya maka merekalah orang yang zalim. (Surah al-Hujurat ayat 11).
Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaipan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Hujurat ayat 12).
Pendekatan melaui cerca.
Ada juga kadang pengamal Islam sendiri telah mencerca orang yang tidak menyokong puaki mereka, yang mengherankan semakin kuat mereka mencerca orang lain semakin mendapat sanjungan daripada pengikut. Sifat seperti ini adalah menandakan tidak ada kesederhanaan bahkan bercanggah dengan perintah Allah dalam ayat 108 surah al-Anam.
Yang bermaksud: Dan janganlah kamu cerca atau memaki benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. (Ayat 108 surah al-anam)
Menyebar fitnah dan menuduh kafir
Menyebar fitnah berlaku dalam amalan umat Islam kini. Mereka menuduh orang Islam lain sebagai kafir, murtad atau tidak mahukan Islam, zalim, fasiq, dan sebagainya.
Maksud ayat 10 surah al-Burujj dan ayat 191 surah al-Baqarah
Sesungguhnya orang-orang yang memfitnah orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka Jahannam (kerana perbuatan buruk itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).(Ayat 10 surah al-Buruj)
Yang bermaksud: Dan membuat fitnah lebih dahsyat daripada membunuh (Ayat 191 surah al-Baqarah)
Demi mencapai hasrat cita masing-masing mereka sanggup melakukan apa sahaja walaupun bercanggah dengan ajaran Islam. Mereka rela mengeluarkan fatwa mengkafirkan orang-orang yang tidak sealiran dengan mereka (waliyazu-billah) semata-mata untuk mendapat sokongan peribadi atau puak dengan mempergunakan ayat-ayat suci al-Quran seperti terompah buruk mereka. Sebab itulah berlaku sembahyang dua imam, nikah semula, haram makan sembelihan dan sebagainya. Pada hal ayat al-Quran lebih awal lagi menetapkan hukum tidak boleh sewenang-wenang menuduh orang lain sebagai kafir, syirik, murtad dan sebagainya.
Sila lihat maksud ayat-ayat al-Quran di bawah ini:
Dan janganlah kamu terburu-buru mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai dengan memberi Salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat: "Engkau bukan orang yang beriman", dengan tujuan hendak mencari mata benda kehidupan dunia yang tidak kekal. (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia seperti mencari kepentingan politik dan sebagainya melalui mengkafirkan orang yang tidak kafir) (Ayat 94 surah an-Nisa')
Adab sewaktu menyampaikan ucapan
Ada dalam ceramah-ceramah didapati cermahnya tidak beridentiti Islam tulen. Jikalaulah penceramah itu menganggap dirinya sebagai doktor untuk mengubati masyarakat supaya jangan bersyirik kepada Allah, maka melalui ruangan ini kita ingin bertanya mereka. Adakah layak bagi seorang Doktor apabila melihat pesakit yang betisnya berkudis lalu doktor itu melaung-laung dan mengisytiharkan kepada orang ramai bahawa pesakit ini berkudis, sambil berteriak! Datanglah beramai-ramai untuk melihat pesakit yang berkudis ini. Sesungguhnya seorang Doktor yang telen, berwibawa, dan baik sudah tentu ia mengubati pesakit tersebut tanpa menghibahkan kepada orang ramai lebihlebih lagi memberi malu kepada pesakit tersebut.
Lihatlah kepada al-Quran ayat 263 dan 83 surah al-Baqrah
Yang bermaksud: Perkataan yang baik dan memaafkan kesilapan orang adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi dengan perbuatan atau perkataan yang menyakitkan hati. Dan ingatlah, Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.(Ayat 263 surah al-Baqrah)
Yang bermaksud: Dan berbuat baiklah kamu kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta ucapkanlah kata-kata yang baik, merendah diri, dan lembut berbicara kepada sesama manusia, dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat kerana kedua-dua ibadat ini merupakan rukun yang ada kena mengena dengan fizikal seseorang dan kewangan". (Ayat 83 al-Baqarah)
Kesederhanaan yang ditunjuk oleh Rasululah s.a.w.
Di dalam sebuah hadis ada diriwayatkan bahawa; ada orang bertanya kepada sahabat Rasulullah tentang ibadat Rasulullah saw. Apabila dibertahu tentang ibadat Rasulullah mereka merasakan bahawa amal ibadat yang mereka lakukan selama ini terlalu kecil jikalau dibandingkan dengan ibadat Nabi. Salah seorang daripada mereka lanatas berkata, “Aku akan beribadat sepanjang malam dan tidak akan tidur selama-lamanya” seorang sahabat lagi berkata “Aku akan berpuasa dan tidak akan berbuka untuk selama-lamanya,” dan yang ketiga pula berkata “Aku tidak akan berkahwin untuk selama-lamanya”. Nabi yang kebetulan mendengar perbualan tersebut, lalu menyapa dan bersabda: “Aku adalah orang yang paling bertakwa kepada Allah, tetapi aku beribadat dan aku juga tidur, aku berpuasa dan berbuka dan aku mengawini wanita. Barangsiapa membenci sunnahku maka mereka bukan dari umatku. Demikianlah gambaran hidup sederhana yang jelas yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw.
Apabila kita membincangkan tentang kesederhanaan di dalam mengamalkan hukum Islam di dalam masalah aurat misalnya. Bukan aurat itu yang menjadi perbicangan sebagai asas, kerana tidak ada siapa daripada orang Islam yang mempertikai dan mengatakan wanita atau lelaki itu tidak wajib menutup aurat. Cuma apakah jalan terbaik untuk mengelakkan wanita atau lelaki yang tidak menutup aurat supaya menutup aurat? Adakah dengan cara mencerca mereka?. Tidak adakah cara yang lebih hikmat atau kaedah yang lebih berkesan di dalam menangani masalah ini? Sebagai seorang yang merasai dirinya alim dan bijak tentu ada kaedahnya. Sejauh manakah usaha-usaha kita ke arah memberikan kesedaran kepada umat Islam Malaysia ini tentang sesuatu ajaran Islam, kewajipan menutup aurat adakah telah disebar begitu meluas dengan mengadakan poster atau kempen seperti poster portik parti untuk pilihanraya? Jikalau usaha ke arah memberi kesedaran kepada orang ramai masih belum sampai ke tahap yang membanggakan, maka pelaksanaan undang-undang tidak akan memberi kesan yang diharapkan.
Di dalam Islam; hukuman, dan denda tidaklah menjadi asas awal menjamin tertegakknya kewibawaan Islam dan seratus peratus jalan untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Ini terbokti bahawa berdasarkan jumlah ayat di dalam al-Quran yang lebih daripada enam ribu ayat itu, tak sampai sesuku yang berkaitan dengan hukuman penghakiman serta prosidurnya. Hukuman seperti yang terdapat di dalam hukum hudud dan qisas hanya dilaksanakan apabila segala nasihat teguran dan amaran tidak dapat menghalang sesorang itu daripada melakukan sesuatu yang bercanggah dengan hukum Islam.
Membicaran konsep kesederhaan dalam Islam bukanlah bererti mempersoalkan keimanan dan amalan sesorang. Kerana iman itu adalah jelas konsepnya iaitu mengakui kewujudan Allah, kekuasaan dan ketinggian-Nya serta kesempuraan sifat-sifat-Nya. Konsep kesederhanaan ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas sebagaimana yang terungkap dalam firman Allah SWT tadi iaitu bahawa umat ini sebagai umat “Pertengahan” (Umatan Wasatan)
Islam meletakkan kuat-kuasa peraturan dan ajarannya mengikut kemampuan manusia untuk mematuhi dan melaksanakannya. Allah tidak memberatkan sesorang kecuali apa yang terdaya olehnya:
Firman Allah yang bermaksud:
Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdo'a dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada dkami bebanan yang berat sebagaimana yang telah engkau bebankan kepada orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".(Surah al-Baraha ayat 286)
Diriwayatkan bahwa Rasulullah saw ketika diminta memilih di antara dua pendapat, maka baginda sering memilih yang lebih ringan, selama ia tidak ditegah Allah. Baginda telah ditanya tentang kewajipan menunaikan haji, iaitu adakah diwajibkan pada setiap tahun? Sekiranya baginda menjawab ya, maka hal ini tentu menjadi wajib. Baginda juga pernah menegaskan bahawa Allah mengeluarkan perintah kepada kamu supaya melakukan kewajipan maka lakukannlah, jangan disia-siakan Dia. (Allah)telah menentukan sempadan-sempadannya, janganlah kamu melampauinya. Allah melarang kamu daripada mengerjakan sesuatu perbuatan maka janganlah lakukan. Hal ini memboktikan Islam amat bertimbangrasa dan mengambil berat akan kemampuan manusia dalam meletakkan sesuatu peraturan dan undang-undangnya.
Dalam mengamalkan kesederhanaan ini, maka Islam bukanlah agama yang membuta- tuli, yang tidak mengambilkira keadaan, yang tidak mengambilkira masalah penganutnya dan umat Islam setempat atau keseluruhan, yang membebankan individu Islam dan umat Islam. Sebaliknya Islam adalah agama Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, yang memberi pertimbangan kepada segala masalah yang dihadapi oleh penganut dan umat, yang tidak menekan dan menyusahkan mereka. Jikalau dalam perkara ibadah ada kelonggaran, apakah dalam perkara perundangan tidak ada kelonggaran? Di dalam pemerintahan Khalifah Omar al-Khattab pun juga ada masa tidak melaksanakan hukum hudud iaitu di kala kemarau yang amat sangat, pada hal dari segi zahirnya kemarau tidak ada sebab penghalang untuk memotong tangan pencuri kerana alat memotong tangan bukannya air.
Allah berfirman dalam al-Quran surah al-Hajj ayat 78:
Yang bermaksud: Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya*1; Dialah memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung suatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama*2, agama bapa kamu Ibrahim*3. Ia menamakan kamu:" orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (Al-Qur'an) ini*4, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dialah sahaja sebaik-baik pelindung dan sabaik-baik Pemberi pertolongan. (Surah al-Hajj ayat 78)
*1
Yakni berjihadlah (berjuanglah) bersungguh-sungguh mengerjakan segala suruhan Allah dengan sempurna, dan dengan ikhlas kepada Allah semata-mata. Jihad atau perjuangan itu pula terbahagi dua. Pertama berjuang menentang pencerobohan musuh, kedua berjuang menentang hasutan Syaitan dan hawa nafsu.
*2
Yakni dalam Islam tidak diwajibkan sesuatu yang menyusahkan; misalnya orang yang uzur, dibolehkan mengerjakan sembahyang dengan duduk atau berbaring; orang yang sakit atau musafir diharuskan berbuka puasa dan setelah itu hendaklah ia mengkadakannya. Demikianlah halnya dalam perkara-perkara yang lain.
*3
Yakni agama Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad (s.a.w.) ialah agama tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim (a.s.). Nabi Ibrahim disifatkan sebagai bapa orang Islam ialah disebabkan pertalian Islam yang berteraskan tauhid itu.
*4
Yakni Allah Ta'ala menamakan kamu "orang-orang Islam" di dalam Kitab-kitab-Nya yang telah lalu dan di dalam Kitab Suci al-Qur'an ini. (Tafsiran Pimpinan al-Rahman)
Untuk itu banyak kelonggaran diberi dalam pengamalan ajaran-ajaran Islam, baik dalam pelaksanaan dan amalan ibadat, dan sudah tentu dalam penguatkuasaan hukum pun juga ada kelonggaran tertebtu. Sebagai contoh amalan rukun Islam yang lima pun diberi kelonggaran. Misalnya bagi bagi orang yang diancam seksaan atau ancaman bunuh tidak payah melafazkan dua kalimah syahadat, sebagaimana berlaku pada zaman “Musailamul-Kazab” kepada mereka yang terancam ini tidak menjadi kesalahan walaupun terpaksa menuturkan kalimah syirik asalkan niat dalam hati tidak rusak.
Untuk solat, keadaan alam sekeliling diambilkira, masa dilonggarkan, bahkan sembahyang boleh didahulukan atau dikemudiankan, dipendek atau dicantumkan dalam masa musafir. Bagi orang yang sakit yang tidak dapat bergerak dengan sempurna, gerak badan semasa bersembahyang tidak diperlukan sepenuhnya. Bahkan penganut Islam boleh sembahyang sambil tidur, sambil duduk atau semasa bergerak dalam kenderaan. Untuk wuduk pun banyak kelonggaran diberi. Islam memberi 'rukhsah' kepada umatnya.
Ibadat puasa dan smbahyang umpamanya diwajibkan dengan sepenuhnya ke atas manusia yang sihat tubuh badan, sihat akal fikiran, dan ada unsur-unsur tertentu yang menghalangnya daripada menunaikan ibadat itu dengan memuaskan. Tetapi sekiranya manusia tidak mampu kerana sebab-sebab kesihatan atau ketika keadaan tertentu maka ada cara-cara tertentu kelonggarannya.
Firman Allah:
Yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar)- kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. Dan jikalau kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun. (Surah An-Nisa ayat 43)
Yang bermaksud: Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jikalau kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jikalau kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang daripada kamu datang dari tempat buang air, sedang kamu tidak mendapat air ( untuk berwudu' dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah-debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu (kepayahan), tetapi Ia berkehendak membersihkankan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan ni'mat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.(Ayat 6 surah al-Maaidah)
Demikian iuga dengan puasa, mengeluar zakat dan ibadat Haji. semuanya bergantung kepada kemampuan tertentu. Tidaklah menjadi kesalahan dan berdosa jikalau tidak melakukannya kerana keadaan tidak mengizinkan, mungkin kerana sakit, kerana miskin atau sebab-sebab lain. Jelas sekali bahawa fardhu ain pun tidak dipaksa ke atas umat dengan begitu keras sehingga menimbul masalah dan menjadi beban kepada mereka. Jelas bahawa semuanya dibenarkan mengikut prinsip-prinsip Islam.
Larangan terhadap orang Islam juga mengambilkira keadaan dan masalah yang dihadapi. Daging babi tidak boleh dimakan. Tetapi oleh kerana Islam menghargai nyawa manusia, terutama nyawa orang Islam, daging babi yang jelas haram pun diharuskan jikalau tidak ada makanan lain untuk menyelamatkan nyawa. Darurah membolehkan yang terlarang.
Di dalam pelaksanaan Hukum Hudud juga boleh ditangguhkan pelaksanaannya jikalau ada sebab-sebab penghalangnya. Sebagai contoh dalam pemerintahan Khalifah Omar bin al-Khattab dan pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik, pelaksanaan hukum hudud telah digantungkan beberapa ketika. Tentu ada justifikasinya yang menyebabkan pemerintahan Islam ketika itu tidak melaksanakan hukuman hudud. Mengutkuasakan hukum hudud sehingga melemahkan orang Islam, sehingga menjadi masyarakat mereka kucar kacir dan ditindas oleh orang lain tidaklah secocok dengan amalan ibadat-ibadat dan ajaran Islam. Demikian juga hukum-hukum yang lain memberi berbagai-bagai kelonggaran supaya tidak menjadikan beban kepada orang Islam. Allah Subhanahu Wa Ta'ala yang disebut berkali-kali sebagai Yang Maha Mengasihani lagi Maha Menyayangi tidak menjadikan Islam sebagai agama yang zalim dan tidak bertimbangrasa. Oleh itu carilah jalan agar jangan menyebabkan Islam menjadi beban, zalim dan penghalang kepada kesejahteraan umat Islam.
Jikalau kelonggaran diberi dalam Islam sehingga ke peringkat ini, apakah dalam pelaksanaan hukum hudud tidak ada sama sekali kelonggaran, tidak ada faktor dan keadaan yang diambilkira. Apakah hukum hudud mesti dilaksanakan juga walau apapun keadaan sehingga mendatangkan mudarat kepada orang Islam dan agama Islam Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum-hukum yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan juga? Apakah orang Islam yang tinggal di negara majoriti bukan Islam terpaksa melaksanakan juga hukum hudud sehingga mereka didakwa di bawah undang-undang negara berkenaan? Bukankah Islam itu luas dan 'flexible' serta mampu 'respond' kepada perubahan yang berlaku pada umat manusia, perubahan masa dan tempat. Inilah yang menyebabkan Islam itu sesuai dengan setiap masa dan tempat. Keadaan yang berlaku tentu diambilkira. Lebih-lebih lagi apabila keadaan umat Islam itu berada dalam keadaan lemah dan kurang kemampuan. Keadaan demikian boleh dianggap sebagai berada dalam keadaan darurat.
Orang yang tidak menerima hudud rekaan manusia menjadi murtad.
Ada kalangan umat Islam Malaysia yang mendakwa; sesiapa tidak menerima undang-undang hudud rikaan manusia menjadi murtad amatlah bertentangan dengan ajaran Islam, apatahlagi dalam melaksanakan prinsip “Kesederhanaan”. Undang-undang hudud yang digobal oleh manusia mungkin dicipta melalui kefahaman atau tafsiran sesetengah mazhab dalam Islam sahaja, mungkin mereka memilih mazhab yang sesuai dengan mereka, pada hal kadang-kadang mazhab itu melahirkan pendapat yang sesuai dengan iklim dan suasana negeri masing-masing yang berbeza dengan tempat kita, sebab itu lahir “pendapat baru” dan “pendapat lama” dalam mazhab Syafeei sendiri. Kadang-kadang terdapat dalam ayat-ayat al-Quran yang memberi panduan secara umum, dan juga secara khusus semuanya memerlukan kajian yang terperinci, arahan seperti itu memang perlu kerana manusia tertakluk kepada keadaan yang berbeza-beza.
Oleh kerana terdapat perbezaan tafsiran ajaran Islam dalam al-Quran dan Hadith maka terbentuklah banyak mazhab. Tidak ada satu mazhab pun yang pernah mendabik dada bahawa mazhab akulah yang paling sempurna dan berhak mendakwa bahawa mazhabnya sahaja Islam dan yang lain tidak Islam.
Undang-undang rikaan manusia mungkin hasil daripada kepentingan politik masiang-masing. Ia tidak menjadi sebahagian daripada ajaran Islam yang mesti diterima oleh semua orang Islam. Kita tidak menafikan adanya orang yang boleh menjadi murtad dengan syarat dan perbuatan tertentu yang membolehkan kita mendakwa orang itu murtad, iaitu apabila sesorang itu menolak zat hukum Hudud Islam yang tidak boleh dipertikaikan yang terkenal dalam istilah Islam “Perkara Yang Termaklum Di Sisi Agama Sebagai Satu Keperluan”. Sesungguhnya penolakan undang-undang Hudud rekaan manusia tidak termasuk dalam syarat-syarat ini.
Menzahirkan perpecahan.
Yang bermaksud: Bahawasanya orang yang mencerai-beraikan agama mereka (dengan perselisihan-perselisihan yang berdasarkan hawa nafsu), dan mereka menjadi berpuak-puak, tiadalah engkau terkait sedikitpun dalam (perbuatan) mereka. Sesungguhnya perkara mereka hanya terserah kepada Allah. Kemudian Ia akan menerangkan kepada mereka (pada hari Kiamat kelak), apa yang telah mereka lakukan ( dan membalasnya). (Surah Al-An'am Ayat 159)
Ketahuliah saudara kaum Muslimin! Apabila terlaksana undang-undang Islam maka sebarang kezaliman yang berlaku dalam masyarakat Islam bukanlah kerana ajaran Islam itu tidak baik. Sebarang kezaliman yang berlaku dalam masyarakat Islam dan negara Islam adalah kerana umat Islam atau pemimpin Islam atau Kerajaan Islam itu tidak mengikut ajaran Islam sebenar, atau mereka menyalahtafsirkan ajaran Islam yang sebenar. Dan ini memang kerap berlaku dan menyebabkan masyarakat dan negara Islam menjadi mundur, tidak tertib, kucar-kacir dan lemah.
Sesungguhnya undang-undang rikaan manusia tidak sedikit pun berasaskan kepada “Maqaasid Syariiyah”. Jikalau dilaksanakan juga hudud itu ia akan menyebabkan ketidakadilan yang ketara akan berlaku - dan ketidakadilan yang berlaku seleko pelaksanaan hudud tersebut tidak boleh dianggap sebagai Islam tidak sempurna. Perbezaan hukuman bagi orang Islam yang melakukan kesalahan dan orang bukan Islam adalah menjadi bokti bahawa undang-undang rikaan itu tidak Islamik.
No comments:
Post a Comment