Thursday, July 30, 2009

AKIDAH

Untuk menjadikan seseorang itu benar-benar Muslim maka kebersihan diperlukan, kebersihan boleh dibahagikan kepada kebersihan akidah Islamiah, kebersihan rohani, jiwa atau akal, kebersihan jasmani atau tubuh badan(fizikal).

Akidah ialah suatu pegangan yang kukuh tidak berbelah bahagi yang dihasilkan daripada pemikiran yang benar-benar bersih berdasarkan kebersihan Syaree atau Rabbani yang disalurkan melalui pengucapan dua kalimah syahadah. Seseorang itu tidak boleh dianggap berakidah Islamiah jika dia masih melakukan sesuatu yang boleh dianggap sebagai menyengutukan Allah walaupun sekecil-kecil syirik sekalipun, ia juga tidak boleh melakukan sesuatu perkara yang boleh difahami sebagai melemahkan Zat, Sifat, dan Perbuatan Allah SWT. Sesiapa yang berjaya mempertahankan Akidah ini sehingga ke tahap pengorbanan, maka ianya berhak menerima gelaran “Akidah yang bersih”.

Kebersihan rohani, jiwa atau akal, ialah jiwa seorang insan itu sentiasa tenang menghadapi liku-liku atau pancaroba hidup, sentiasa kekal dengan sifat-sifat Mahmudah(sifat terpuji) demi menyelamatkan ibadat-ibadat yang telah dilakukan dan juga menerima gelaran “Jiwa yang bersih” yang akan melahirkan pula akhlak yang bersih, murni dan mulia.

Kebersihan jasmani atau tubuh badan ialah membersihkan tubuh badan daripada segala jenis najis termasuk makan minum hendaklah berdasarkan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh Islam demi menjamin kebersihan Akidah dan Rohani. Akidah dan Jasmani berkait rapat antara satu sama lain kerana sifat-sifat mahmudah itu tidak mungkin ada tanpa jasmani, demikian juga Rohani tidak akan selamat jika tubuh badannya kotor.

Ketiga-tiga jenis kebersihan ini wajib berada pada setiap diri individu Muslim demi menjamin Islam itu kekal pada tahap yang asli. Kini Orang Islam dikategorikan sebagai bangsa yang tidak maju. Hakikat yang sebenarnya bukanlah kerana Islam itu tidak bersih, tetapi penganutnya sendiri tidak meletakkan Islam itu ke tahap yang bersih mengikut sepatutnya. Oleh itu kesalahannya hendaklah diletakkan kepada penganutnya sendiri.

Erti Iman

Erti Iman pada Bahasa ialah : Kepercayaan

Erti Iman pada Istilah Syara’ : Percaya dan yakin akan apa-apa

yang dianjurkan

oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Iman ada mempunyai enam rukun

1. Percaya kepada Allah

2. Percaya kepada Rasul

3. Percaya kepada Malaikat

4. Percaya kepada Kitab

5. Percaya kepada Qada’ dan Qadar

6. Percaya kepada Hari Akhirat

Islam mempunyai lima rukun

1. Melafazkan dua kalimah syahadah serta pengakuan di dalam hati.

2. Sembahyang lima waktu sehari semalam

3. Puasa pada bulan Ramadan

4. Mengeluarkan Zakat

5. Mengerjakan Haji jika berkuasa

Ihsan mempunyai satu rukun

Melakukan semua ibadat kepada Allah secara ikhlas. Setiap ibadat yang dilakukan hendaklah terasa bahawa Allah sedang menyaksi perbuatan tersebut. Ia merangkumi tiga kelakuan iaitu: Qauli(perkataan) Fi’li(perbuatan) dan Qalbi(hati)

Rumah yang sedang kita diami sekarang ini, ia dianggap berfungsi jikalau mempunyai rukun-rukun rumah yang tertentu seperti tiang, dinding, atap, lantai dan

sebagainya. Sebaliknya jikalau rukun-rukun tersebut dikurangkan, maka rumah itu dikira tidak sempurna, bahkan jikalau semakin dikurangkan rukunnya sudah pasti rumah itu tidak lengkap malah boleh dianggap sebagai tidak rumah lagi. Oleh yang demikian, rukun-rukun yang disebut di atas hendaklah dilaksanakan kesemuanya. Ketahuilah bahawa sesuatu kenyataan yang benar itu boleh dianggap benar apabila dilahirkan dengan perbuatan, bukan sekadar melalui sebutan mulut sahaja. Sebagai contoh; ada orang menyebut dengan lidah: Aku ingin menjadi seorang Doktor tanpa belajar. Maka orang seperti ini tidak akan berjaya selama-lamanya.

Seseorang yang ingin menjadi seorang “Muslim” ia wajib menyebut pada lidahnya perkataan berikut. Di samping membuat pengakuan di dalam hatinya bahawa:

أشهـد أن لا اله الا الله

AKU BERSAKSI BAHAWA TIADA TUHAN LAIN YANG DISEMBAH DENGAN SEBENAR-BENARNYA MELAINKAN ALLAH.

وأشهــد أن محمــدا رسول الله

DAN AKU BERSAKSI BAHAWA NABI MUHAMMAD S.A.W. ADALAH PESURUH ATAU RASUL ALLAH.

Selepas itu diikutinya pula pelaksanaan dengan anggota sesuai dengan pengucapannya itu. Ia mesti menyebut kalimat dua Syahadah itu dengan makhraj yang betul sekadar yang termampu olehnya.

Selepas seseorang itu membuat pengakuan dengan lidah serta meyakini di dalam hati di sebalik ucapan di mulutnya itu, ia wajib menunaikan tuntutan-tuntutan syahadah tersebut. Kerana seseorang itu tidak boleh dianggap sebagai penunai janji atau orang yang menyaksikan sesuatu tanpa menunaikan tanggungjawab. Selepas ia didaftarkan sebagai seorang Islam serta melaksanakan tuntutan-tuntutannya, maka serentak dengan itu baharulah ia berhak menerima ganjaran-ganjaran yang sepatutnya daripada Allah SWT.

Kepercayaan Kepada Allah

Seorang yang siuman akalnya tidak tergamak mengatakan Tuhan tidak ada, kerana semua benda yang ada di hadapannya yang boleh disentuh seperti meja, kereta, dan sebagainya mustahil tidak ada pembuatnya, demikian juga adanya alam ini sudah pasti ada yang membuatnya. Oleh kerana alam ini sudah ada, kejadiannya pun terlalu unik dan canggih tentulah pembuatnya adalah yang mempunyai kuasa yang luar biasa. Dan itulahIah yang dikatakan Allah SWT.

Untuk menilai sesuatu benda itu sama ada bijak atau tidak pembuatnya tidaklah dimestikan melihat tuannya, memadailah dengan melihat bagaimana benda yang dibuatnya, kerana segala perbuatannya menunjukkan bagaimana sifat pembuatnya, kalau benda yang dibuat itu bermutu tinggi, menandakan bahawa pembuatnya

adalah sangat pandai. Sebagai contoh; setiap pengguna Komputer akan terasa hebat kepada perekanya. Seorang yang melihat kapal terbang yang terbang di udara begitu pantas, maka semua manusia mengakui bahawa pembuatnya adalah seorang yang mempunyai kepandaian yang istimewa, lupakah kita kepada Allah SWT yang telah membuat otak pereka kapal terbang itu tentu lebih bijak daripada perika kapal terbang. Kepandaian yang dilahirkan oleh manusia mempunyai berbagai-bagai peringkat; bermula daripada tidak tahu membuat kapal terbang kepada tahu, meningkat ke arah yang lebih bijak dan seterusnya meningkat kepada yang lebih tinggi lagi, ini menandakan kepandaian manusia itu terbatas, tidak seperti kebijaksanaan Allah SWT. Perbuatan atau sifat-sifat Allah sedikit pun tidak menerima perubahan atau melalui proses peningkatan kebijaksanaan, malah kekal seperti asli iaitu kesempurnaan yang Maha Agung!

Cara Mengenal Allah

Mengenal Allah Taala adalah wajib dengan pegangan yang kuat tanpa ragu-ragu sesuai dengan kehendak Allah dan RasulNya di samping mampu melahirkan dalil-dalilnya, seseorang yang tidak berdaya mengeluarkan dalil mengenai ketuhanan ia dianggap orang yang bertaklid(beriman secara pak turut), orang yang bertaklid tanpa belajar, sedangkan ia mampu belajar, maka orang seperti itu dikira orang mukmin yang menderhaka, itupun kalau pegangannya itu berkebetulan dan tidak bercanggah dengan Islam, tetapi jika ia tidak dapat mengeluarkan dalil-dalil ketuhanan disebabkan kebodohannya setelah dipelajarinya bersungguh-sungguh tetapi tidak juga berjaya, maka imannya dikira sah dan dimaafkan. Seseorang yang bertaklid tanpa pegangan yang kuat yakni pegangannya boleh berubah pada bila-bila masa sahaja terutama apabila orang yang ia ikut(taklid) itu berubah, maka iman orang demikian adalah tidak sah, oleh itu bertaklid di dalam pegangan iman ini adalah sangat-sangat bahaya terutama pada musim sekarang yang krisis keimanan sedang berlaku.

Rasul Utusan Allah

Rasul-rasul adalah utusan Allah yang bertanggungjawab memimpin manusia dari alam dunia hingga ke alam akhirat, rasul-rasul dipilih daripada kalangan manusia bagi memudahkan orang ramai mencontohinya kerana bersamaan sifat. Antara rasul-rasul itu ada yang dipanggil ( اولى العزم )Ulil-Azmi, di beri gelaran demikian kerana mereka mempunyai cita-cita yang lebih dan terlalu tahan menanggung kesabaran. Mereka ialah:

  1. Nabi Muhammad s.a.w. merupakan penghulu segala nabi kerana syariatnya itu memansuhkan segala syariat yang terdahulu, syariat Nabi Muhammad s.a.w. akan kekal sehingga hari kiamat, sekalian umat menjadi umat Nabi Muhammad s.a.w., baginda akan memberi syafaat ketika memberi keputusan di pandang Mahsyar dan bagindalah yang terlalu banyak rintangan yang dilakukan oleh orang-orang kuffar terhadapnya.
  2. Nabi Ibrahim as digelar Ulul-Azmi kerana ia menahan sabar menjalani perintah menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s dan kerana menahan sabar dilontar oleh kaumnya ke dalam api semasa pemerintahan raja Namrud.
  3. Nabi Musa a.s kerana sabar menerima kezaliman Firaun sejak daripada kecil dimasukkan ke dalam tempat bakar roti yang sedang menyala dan terselamat daripada terbakar, baginda juga ditugaskan berdakwah kepada raja Firaun yang zalim lagi ganas yang merupakan juga sebagai bapa angkat Nabi Musa a.s.
  4. Nabi Isa a.s. Kerana banyak bersabar di atas angkara yang disakiti oleh kaum Yahudi sehingga baginda hendak dibunuh tetapi telah diangkat oleh Allah ke langit, yang dibunuh bukannya Nabi Isa a.s tetapi orang lain.
  5. Nabi Noh a.s kerana tahan sabar akan sesuatu yang disakiti oleh kaumnya dan berdakwah selama seribu tahun, namun hanya tidak sampai seratus yang beriman.

Dalil-dalil Lojik Tentang Sifat-sifat Allah SWT

Di bawah ini diperturunkan beberapa dalil logik dan dalil naqli(daripada al-Quran). Dalil-dalil logik bolehlah difikirkan sendiri, asalkan tidak bercanggah dengan kehendak Islam yang dibincangkan.

  • Sebelum kewujudan alam ini keadaannya adalah normal, di antara wujud dan tidak wujud. Selepas tercipta, maka tanda kewujudannya terbukti, dan setiap kejadian pasti ada penciptanya. Di sanalah kekuasaan Allah dapat dikesan, hasil daripada penelitian kejadian ciptaanNya.
  • Menurut kajian Sains moden, alam ini terbukti baru kerana kejadian alam ini dapat dijangka masanya melalui kajian saintifik penampilan hasil kajian sains itu terbukti benar dan tidak dapat ditolak. Oleh itu pencipta alam (Allah) jika dikatakan baru adalah tidak boleh diterima akal, kerana sehingga sekarang ini belum ada seorang pun yang mendakwa dan boleh membuktikan bilakah permulaan kejadian-kejadian Allah ini. Di sini jelaslah Allah itu ada tanpa ada permulaan. Amatlah tidak munasabah benda yang baru dapat menghasilkan yang baru pula lalu menjadi kekal selepasnya.
  • Jika Allah tidak bersifat kekal, ditakdirkan begitulah sifat Allah maka tidak boleh diterima akal bahawa tukang yang menjadikan alam ini bersifat musnah, kerana kuasa manakah lagi yang akan mentadbirkan alam yang begitu tersusun rapi seperti yang ada sekarang ini sedangkan Allah telah musnah. Secara logiknya, tidak mungkin berlaku satu susunan yang begini rapi terurus secara bersendirian(natural). Dengan hujah ini tertolaklah teori yang mengatakan Allah itu tidak kekal(musnah).
  • Jika Allah itu serupa dengan makhluk bermakna Allah juga menerima perubahan seperti makhluk lain. Apabila Allah menerima perubahan seperti makhluk lain ia akan musnah, kerana semua yang wujud dalam alam ini semuanya berubah mengikut cara masing-masing yang akhirnya membawa kepada kemusnahan belaka, sedangkan telah terbukti mengikut kupasan di atas Allah itu kekal.
  • Selain daripada Allah, memang ada benda yang kekal tidak akan hancur selamanya, benda-benda tersebut dipanggil kekal ‘Aradhi kerana adanya benda tersebut melalui permulaan wujudnya, tidak seperti Allah dipanggil kekal hakiki. Benda-benda tersebut ialah: Syurga, Neraka, Loh, Arasy, Qolam, Kursi, Benih manusia, Roh, Jisim nabi-nabi atau rasul-rasul dan Jisim orang yang mati syahid kerana mempertahankan Islam.
  • Jika Allah berhajat kepada sesuatu(perlu kepada bantuan). Perlu difahami bahawa Allah adalah satu Zat yang berlainan sama sekali dengan semua makhluk, jika Allah itu berhajat kepada bantuan orang lain, bererti Allah itu benda yang berjisim atau berjirim. Maha Suci Allah daripada bersifat seperti itu. Allah mempunyai Zat yang sesuai bagiNya yang tiada sesuatu apa pun serupa denganNya, kerana langsung tidak boleh diterima akal bahawa Allah yang Maha sempurna segala-galanya itu perlu kepada bantuan makhluk yang maha kurang ini.
  • Jika Allah itu berbilang-bilang (lebih daripada satu) maka akan wujud banyak pentadbiran. Ditakdirkan Allah itu ramai apa akan jadi jika: Tuhan A mahu jadikan malam, Tuhan B pula mahu jadikan siang pada waktu yang sama, mana boleh berlaku siang dan malam terjadi serentak dalam satu masa dan satu tempat, contoh tersebut jika tuhan itu 2 apa kata jika tuhan itu lebih daripada itu akan bertambah huru-haralah jika lebih daripada dua.
  • Bila Tuhan ramai, masing-masing dengan kuasa tersendiri, dan jika keadaan ini berlaku maka boleh dikatakan bahawa Tuhan yang seperti itu dikira tidak maha kuasa lagi kerana kuasa Tuhan dapat ditandingi oleh Tuhan-tuhan lain, bila berlaku tanding menanding tentu ada salah satu yang lemah dan jika lemah tetap tidak boleh dianggap Tuhan lagi, begitu juga tidak pernah berlaku satu buah kereta ada dua orang pemandu atau satu buah negeri ada dua orang raja yang memerintah.
  • Jika Allah itu lemah, kehendaknya tentu terbatas, bodoh atau mati, maka dengan mudah akal dapat menolak pendapat itu kerana seseorang yang ingin menjadi ketua pun mesti orang cerdik, apa lagi jika ingin menjadi Tuhan yang akan mentadbir alam dan dapat melakukan perkara-perkara luar biasa yang sesetengahnya tidak terdaya oleh akal manusia untuk membuatnya.
  • Demikian juga jika ditakdirkan Allah itu tuli, buta atau bisu, di hadapan mata kita sendiri kita boleh lihat betapa nasib orang cacat, mereka tidak diberikan kuasa untuk memerintah atau ketua negara, oleh itu dengan mudah sahaja akal yang sihat dapat menolak hujah yang Tuhan itu cacat.

Sifat-sifat Kesempurnan Allah

Allah SWT mempunyai sifat-sifat kesempurnaan. Antaranya ialah:

DALAM BAHASA MALAYSIA

DALAM BAHASA ARAB

Ada

الوجــود

Sedia-kala

القدم

Kekal selama-lamanya

البقـــآء

Allah tidak serupa dengan semua makhluk

مخالفته تعالى للحوادث

Allah Bersendirian, tidak berhajat kepada sesuatu.

قيامـــه تعالى بنفســه

Allah Esa

الواحدانيــة

Allah Berkuasa penuh

القدرة

Allah berkemahuan sendiri, tiada sesiapa yang boleh memaksaNya

الارادة

Allah Mengetahui

العـــلم

Allah Hidup

الحياة

Allah Mendengar

السمع

Allah Melihat

البصر

Allah berkata-kata

الكــلام

Apa sahaja sifat yang dianggap cacat atau tidak sempurna itu mustahil pada Allah SWT. Iaitu sifat-sifat yang berlawanan dengan sifat-sifat yang sempurna seperti:

DALAM BAHASA MALAYSIA

DALAM BAHASA ARAB

Tiada

العدم

Baharu

الحدوث

Binasa

الفنآء

Serupa dengan yang baharu

مماثلته تعالى للحوادث

Berhajat kepada yang lain

الاحتياج الى الغير

Berbilang-bilang

التعدد

Lemah

العجز

Terpaksa

الــكراهـــة

Tidak mengetahui

الجــهل

Mati

الموت

Buta

العمى

Tuli

الصمم

Bisu

البكم

Kita wajib percaya dan meyakini juga bahawa Allah SWT itu harus bagiNya melakukan sesuatu yang dikehendakiNya atau meninggalkan daripada melakukan sesuatu yang dikehendakiNya.

No comments:

Post a Comment