FIRMAN ALLAH SWT:
Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; lemah lembut dan sopan santun, bukan kasar dan gelojoh; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (Ayat 125 an-Nahl)
Di dalam ayat ini Allah SWT memberi arahan dan panduan kepada Rasulullah s.a.w. supaya menjalankan dakwah kepada agama Allah(untuk orang-orang yang belum menerima Islam supaya menerima Islam sebagai agama anutannya dan juga kepada orang-orang yang sudah menerima Islam dan menjadi penganutnya supaya berpegang teguh kepada ajaran Islam dan menghayati seluruh ajarannya sebagai pedoman hidup seharian mereka) dengan menggunakan AL HIKMAH (yang lumrah diterjemahkan sebagai kebijaksanaan) dan MAU’IZAH HASANAH (lumrah difahami sebagai pengajaran yang baik). Dan jikalau perlu menghadapi perbahasan dan perdebatan dalam mendakwahkan agama ini maka perbahasan dan perbedaan itu boleh juga dilakukan, tetapi dengan cara yang lebih baik.
Seperti biasa diafahmkan bahawa arahan dan panduan yang ditujukan kepada Rasulullah s.a.w. itu dengan sendirinya akan “turun” kepada para petugas yang menggantikan peranan Rasulullah s.a.w. dalam menjalankan dakwah kepada agama Islam baik daripada kalangan orang-orang yang memegang titel atau gelaran sebagai ulama yang dipandang sebagai Warathatul Anbia atau penerima pusaka para nabi atau para pejuang yang menerjunkan diri di bidang dakwah Islamiah pada setiap tempat dan di sepanjang zaman, supaya mengamalkan tiga kaedah yang disebutkan di dalam ayat itu:
Hikmah
Yang lumrah diertikan sebagai KEBIJAKSANAAN, yang juga merangkumi ilmu pengetahuan yang secukupnya bagi melayakkan setiap individu yang berkenaan; menjadi seorang da’i atau juru dakwah.
Tidak syak lagi bahawa tugas berdakwah adalah suatu tugas yang penting dan mulia, yang menjadi tugas para Rasul dan Nabi Allah. Justeru di dalam ayat 125 ini Allah SWT menitahkan Rasul-Nya Muhammad s.a.w. dengan “Ud’u” yang bererti “seru dan ajaklah” wahai Muhammad seluruh umat manusia itu kepada “sabili Rabbika” yang bermasukd “jalan” atau agama Tuhanmu dengan Hikmah dan mau’izah Hasanah”.
Di dalam ayat 33 surah Fussilat Allah SWT berfirman:
Maksudnya: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, (sama ada melalui perkataan, perbuatan dan keadaan hidup sehariannya, dan beramal soleh serta menjadikan Islam sebagai agama dan pegangan hidupnya); serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah SWT)” (Ayat 33 Fussilat)
Ibnu Kathir menyatakan: Ayat ini umum mengenai setiap orang yang yang berdakwah ke arah kebaikan, sedangkan dirinya sendiri beroleh hidayah petunjuk Allah. (Mukhtasar Ibni Kathiir:3/264).
Manakala Az-Zamakhsyari pula menyatakan: Ayat ini umum meliputi setiap orang yang mengumpulkan tiga faktor ini, iaitu: Hendaklah dia menjadi seorang mukmin yang menghayati iktikad Islam, melakukan amal kebajikan, sambil berdakwah ke arah Islam dan kebajikan, maka dia adalah termasuk dalam jumlah para ulama yang bekerja menegakkan kabaikan. ”Al-Ulama al-Amiliin” (Al-Kasysyaf:4/156).
Ayat ini dengan tegas menyatakan bahawa menjalankan tugas dakwah yang disertai dengan amal soleh itu adalah termasuk salah satu tugas dan amal yang paling tinggi dan mulia nilainya di dalam pandangan Allah SWT. Ayat ini juga memberi pengertian bahawa salah satu maksud perkataan Al-Hikmah yang disebutkan di dalam ayat 125 surah an-Nahl ini ialah amal soleh.
Perkataan Al-Hikmah ini mendapat sorotan daripada para pentafsir dan tokoh dakwah, terutama pada zaman kontemporari ini. Di antara tokoh yang memberikan sorotan yang agak menarik mengenai masalah ini ialah Allahyarham DR. Mohd. Natsir, seorang tokoh pejuang Islam terkemuka di dalam buku tulisannya FIQHUD DAKWAH yang sukacita disalin di bawah ini:
“HIKMAH” DALAM ERTI MENGENAL GOLONGAN
Apabila seorang pembawa dakwah sudah menghayunkan langkah, bermacam corak manusia yang akan dijumpainya. Dia akan berhadapan dengan faham-faham dan pegangan-pegangan tradisional yang sudah berurat dan berakar, dengan setengah orang yang priori mahu menolak tiap-tiap apa yang baru; dengan kegigihan orang yang ingin mempertahankan kedudukan gengsinya, dan yang khuatir kalau-kalau apa-apa yang hendak disampaikan itu akan merugikannya; dengan kejahilan orang yang bodoh, yang reaksinya secara bodoh pula; dengan cerdik cendiakawan yang hanya mahu menerima sesuatu atas dasar hujah dan keterangan-keterangan yang nyata; dengan orang-orang yang sangsi, disebabkan oleh bermacam-macam pendengaran atau pengetahuan-pengetahuan yang serba kepalang; dan sebagainya. Masing-masing jenis itu harus di hadapi; masing-masing dengan cara yang sepadan dengan tingkat kecerdasan, sepadan dengan alam fikiran dan perasaan serta tabiat masing-masing.
Ayat al-Quran yang kita cantumkan di atas mengandungi petunjuk-petunjuk pokok bagi Rasul dan para muballighin, cara bagaimana menyampaikan dakwah kepada manusia yang berbagai jenis. Yakni: Serulah kepada jalan Tuhanku dengan hikmah dan nasihat-nasihat yang baik-baik, dan bertukar fikiranlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik. (An-Nahl:125)
Syeikh Muhammad Abduh (Tafsir Al-Manar Jilid III) menyimpulkan daripada ayat al-Quran di atas, bahawasanya dalam garis besarnya, umat yang dihadapi oleh seseorang pembawa dakwah dapat dibahagi atas tiga golongan, yang masing-masing harus di hadapi dengan cara yang berbeza-beza pula:
1) Ada golongan cerdik cendikiawan yang cinta kebenaran, dan dapat berfikir secara kritis, cepat dapat menangkap erti persoalan. Mereka ini harus dipanggil dengan hikmah, yakni dengan alasan-alasan, dengan dalil dan hujah yang dapat diterima oleh kekuatan akal mereka.
2) Ada golongan awam, orang kebanyakan yang belum dapat berfikir secara kritis dan mendalam, belum dapat menangkap pengertian yang tinggi-tinggi. Mereka itu dipanggil dengan mauizatilhasanah, dengan anjuran dan didikan yang baik-baik dengan ajaran-ajaran yang mudah difaham.
3) Ada golongan yang tingkat kecerdasannya di antara kedua golongan tersebut, belum dapat dicapai dengan hikmah, akan tetapi tidak sesuai pula apabila dilayani seperti dengan golongan awam; mereka suka membahas sesuatu, tetapi hanya dalam batas yang tertentu, tidak sanggup mendalam benar.
4) Mereka ini dipanggil dengan mujadalah “billati hiya ahsan”; yakni dengan bertukar fikiran, dengan mendorong supaya berfikir secara sihat, dan satu dengan lainnya dengan cara yang lebih baik.
Demikianlah pendapat Syeikh Muhammad Abduh. Kesemuanya dapat disimpulkan dalam kalimat: “Berbicaralah kepada manusia menurut kadar akal (kecerdasan mereka masing-masing (Hadis Muslim). (Untuk huraian dan fahaman ayng lebih lanjut dan jelas, sila rujuk kepada kitab FIQHUD DA’WAH oleh Dr. Mohd. Natsir).
Di samping itu setiap da’i atau juru dakwah perlu melengkapkan diri dengan berbagai jenis ilmu pengetahuan, baik yang berkaitan dengan masalah yang berkaitan dengan akidah, fiqah, akhlak, dan juga ilmu pengetahuan yang bercorak kemasyarakatan (yang oleh setengah kalangan disebut sebagai ilmu yang “sekular” walaupun kami sendiri tidak percaya bahawa ilmu itu terbahagi kepada yang Islami dan sekular). Dalam hal ini Prof. DR. Yusuf Qardhawi telah menulis sebuah buku khusus mengenai jenis ilmu yang perlu dimiliki oleh setiap orang juru dakwah yang ingin memajukan dirinya dengan maksud menjalankan kewajipan dakwahnya dengan lebih berkesan dan efektif dalam zaman yang serba mencabar ini. Tajuk buku itu ialah THAQAFATU DAIYAH atau BUDAYA ILMU PENDAKWAH. Sila rujuk buku yang berkaitan untuk mendapat penjelasan yang lanjut).
No comments:
Post a Comment