KEPERLUAN KEPADA IJTIHAD
Syariat Islam sesuai dilaksanakan pada setiap tempat dan masa. Tetapi bagaimanakah syariah tersebut boleh dilaksanakan sedangkan keadaan sekarang sudah jauh berubah daripada apa yang telah wujud pada zaman lalu termasuk sudut ekonomi, kemasyarakatan, politik dan antarabangsa.
KEMBALI KEPADA IJTIHAD
Untuk mengembalikan Islam kepada sifatnya yang asal iaitu “tetap” dan “anjal” maka pra syarat pertama dan paling penting ialah membuka pintu ijtihad semula bagi yang mampu melakukannya dan kembali kepada apa yang telah dipegang oleh golongan salaf umat ini iaitu membebaskan diri daripada taksub mazhab khususnya yang berkaitan dengan perundangan untuk masyarakat keseluruhannya. Ini disebabkan tidak pernah terdapat dalam nas al-Quran dan al-Sunnah yang mewajibkan kita bertaklid dengan mana-mana mazhab yang telah mereka ijtihadkan dan mengambilnya sebagai agama dan syarak hingga ke hari kiamat.
REALITI YANG SEDANG BERLAKU
Pada zaman moden ini perkara berikut sedang berlaku:
· Kadang-kadang diperlukan mengubahsuaian susunan tubuh seseorang dengan cara mengklonkan organ tubuh haiwan, baik berupa kulit, jantung atau liver daripada anggota tubuh babi demi menyelamatkan nyawa.
· Orang Islam mengikhlaskan organ tubuhnya di saat ia masih hidup untuk menyelamatkan anaknya atau salah satu orang tuanya atau saudaranya.
· Orang Islam berwasiat agar organ tubuhnya disumbangkan kepada orang lain, setelah ia meninggal nanti.
· Orang Islam berwasiat agar organ tubuhnya nanti setelah ia meninggal dipergunakan untuk pendidikan ilmu kedoktoran, misalnya.
· Bolehkah mengklonkan organ orang kafir atau darahnya ke dalam tubuh orang Islam.
Perkara di atas ini adalah beberapa contoh dari satu topik sahja yang dikembangkan dunia kedoktoran moden yang memerlukan ijtihad baru dari pakar fiqh Islam. Dan ini juga menjadi reliti bahawa Islam itu bersifat tetap dan anjal
Oleh itu, dalam masalah ijtihad ini, pandangan yang kita unggulkan adalah membolehkan seorang mujtahid untuk menambahkan pemikiran lain yang telah dipertikaikan oleh ulama terdahulu. Misalnya, kalau dahulu para ulama dalam sesuatu persoalan berbeza pandangan hingga dua, tiga atau empat pendapat, maka mujtahid hari ini boleh memberikan pendapat baru dan tidak harus terpaku kepada pendapat yang telah ada, demi menjaga umat Islam pada keseluruhannya.
BEBERAPA PENYIMPANGAN IJTIHAD
- Mengabaikan nas
- Salah memahami Nas atau Menyimpang dari Konteksnya.
- Kontra terhadap Ijma’ yang dikukuhkan
- Qiyas Tidak pada Kedudukannya
- Kealpaan terhadap realiti semasa/zaman
- Berlebih-lebihan mengungkapkan kepentingan umum walaupun harus mengabaikan Nas.
Menyelaraskan antara nas dengan maslahah
Lapangan ijtihad lama dan baru ialah maslahah fiqh amali yang zanni yang kadang-kadang didapati nas berkaitan dengannya tetapi nas itu adalah nas yang zan (tidak kukuh), sebaliknya dalam masalah asas atau yang telah diijmakkan atau yang mempunyai keterangan yang jelas daripada nas yang qatei tentangnya, bukanlah lapangan untuk melakukan ijtihad, kerana tidak ada ruang untuk melakukan ijtihad dalam pangkuan nas yang qatei.
Apabila berlaku sedikit pertembungan antara nas yang zanni dengan maslahah hakiki, hendaklah kita berpegang dengan pandangan fuqaha’ dan Hanafi yang berpendenjelasan yang terkandung didalamnya atau dari segi thabitnya, sekiranya maslahah yang bertembung dengannya itu adalah maslahah yang diakui oleh nas yang zanni perlu dikhususkan dilalahnya (penjelasan yang terkandung didalamnya) atau dari segi thabitnya, sekiranya maslahah yang bertembung dengannya itu adalah maslahah yang qat’i dan termasuk ke dalam kategori maslahah yang diakui oleh syarak. Ini membawa pengertian, maksud umum al-quran yang zanni perlu dikhususkan dengan maslahah dan khabar Ahad pula perlu ditinggalkan, apabila ia bertentangan dengan maslahah qati’yyah. Aliran ini sebenarnya bukanlah cuba mengatasi nas, sebaliknya pada hakikat yang sebenarnya ia mengutamakan maksud yang terkandung di dalam banyak nas, yang mengambil kira maslahah qati’yyah dan mendahulukan nas-nas majoriti ke atas satu nas. Ia merupakan satu perkara yang boleh diterima dan dikaitkan dengan ijtihad. Perlaksanaan kepada prinsip ini begitu banyak, antaranya ialah:
- Wajib mendahulukan maslahah umum daripada maslahah khusus seperti memberi jaminan ke atas barang-barang yang rosak di tangan pekerja.
- Wajib membendung salah satu daripada dua kemudaratan seperti mengenakan cukai kepada orang-orang kaya sekiranya Baitul-Mal tidak dapat memenuhi keperluan ketenteraan.
- Wajib menjaga nyawa seperti membunuh sekumpulan orang yang bertanggungjawab membunuh seseorang yang tidak berdosa.
- Merampas peralatan penjenayah seperti merampas za’faran yang diperolehi secara penipuan dan menyedekahkannya kepada fakir miskin.
- Tidak mewajibkan kepada wanita yang mempunyai keturunan yang mulia menyusukan anaknya.
- Menerima penyaksian kanak-kanak di dalam kes jenayah.
- Membunuh orang zindiq yang menyembunyikan zindiqnya dan tidak menerima taubatnya.
- Mengharuskan penetapan harga kepada pihak kerajaan pada saat perlu mencegah monopoli sesetengah pihak ke atas sesuatu yang boleh memudaratkan manusia seperti makanan, pakaian dan kesemua bahan-bahan keperluan asas yang lain.
Semua ini menunjukkan betapa keperluan berpegang dengan maslahah hajiah. Ia mengkhususkan perkara yang umum dan berdasarkan kepada kaedah dan perbandingan-perbandingan umum.
Meraikan Keadaan Masa kini
Masa sering berubah dari hari ke hari. Dengan perubahan zaman yang berlaku, maka permasalahan umat juga terus berubah. Keselesaan ijtihad dan kebenaran fatwa adalah bergantung kepada kesesuaiannya dengan ruh tuntutan semasa, suasana persekitaran dan uruf yang diamalkan oleh masyarakat. Ia juga berdasarkan kepada kaedah syarak; hukum-hukum berubah dengan sebab perubahan zaman. Sehubungan dengan itu para ulamak mensyaratkan kepada seseorang yang ingin melakukan ijtihad, agar mengetahui tradisi-tradisi yang diamalkan oleh masyarakat. Ini disebabkan kebanyakan hukum berbeza dengan sebab perbezaan zaman yang berpunca daripada perubahan uruf yang diamalkan oleh penduduknya. Ia juga boleh jadi disebabkan oleh berlakunya sesuatu peristiwa atau rosaknya penduduk zaman itu, yang hukum dikekalkan sebagaimana bentuk yang lalu sudah pasti akan menimbulkan kesukaran dan kepayahan kepada orang ramai.
Walau bagaimanapun perlu diingatkan bahawa hukum-hukum yang boleh menerima perubahan hanyalah hukum-hukum yang berasaskan kepada maslahah sahaja. Sebaliknya hukum-hukum asas atau qatei seperti pengharaman berkahwin dengan mahram,lelaki berkahwin tidak melebihi empat orang isteri sahaja, kewajipan saling reda meredai di dalam kontrak jual beli dan jaminan ke atas kemudaratan yang menimpa pihak lain, hukum-hukum ini tidak boleh berubah.Inilah yang dimaksudkan sebagai syariat islam bersifat tetap.
Keadaan masa kini juga memerlukan diambilkira suasana darurah atau hajat, kerana berdasarkan kepada kaedah fiqh darurah mengharuskan yang haram.
الضرورة تبيح المحظورات
Maksudnya: Darurat mengharuskan yang haram.
Dan darurah ditentukan mengikut kadarnya sahaja. Hajat mengambil tempat darurah, baik berbentuk umum mahupun yang berbentuk khusus. Yang umum ialah yang diperlukan oleh semua orang, manakala yang khusus ialah yang diperlukan oleh sekumpulan orang tertentu sahaja. Bukan seorang individu. Keperluan orang ramai yang tidak melibatkan tahap hajat juga perlu dikecualikan. Walau bagaimana pun keperluan peribadi tertentu tidak sesuai dijadikan bahan pengecualian kepada keadaan darurah ini.
Keadaan-keadaan masa kini memerlukan dunia sampai ke darjat ijtihad, menghormati nas yang qatei, menilai sejauh mana kesesuaian sesuatu maslahah yang timbul dengan maslahah yang diiktiraf oleh syarak, berpegang dengan prinsip keluasan dalam memahami nas al-Quran dan memberikan tumpuan kepada Hadith baik dari segi matan, mahupun dari segi kefahamannya.
Keadaan masa kini juga memerlukan dua bentuk ijtihad iaitu ijtihad intiqa’iyy atau tarjihiyy dan ijtihadaei atau insya’yy. Ijtihad yang pertama bermaksud memilih salah satu pendapat yang dipindahkan dari warisan fiqh yang terdahulu tanpa rasa taksub mazhab atau cenderung kepada mana-mana pendapat. Ijtihad yang kedua pula berbentuk mengeluarkan hukum kepada beberapa masalah dan imam-imam ijtihad daripada kalangan salaf yang bukan mazhab empat turut diambilkira.
Keadaan masa kini melibatkan juga perubahan sosial dan politik antarabangsa seperti perubahan fenomena masyarakat antarabangsa pada zaman noden yang tegak di atas asas kesederahan dan tradisi hidup kapitalis pemeras. Begitu juga dengan kemunculan kumpulan pekerja yang lemah, kumpulan penganggur, kepadatan penduduk, peningkatan jumlah orang-orang Islam yang menunaikan ibadat haji, melontar jamrah, dan menyembelih binatang korban. Selain daripada itu ia juga melibatkan dasar terbuka kepada kebudayaan moden, pengetahuan dan juga ilmu-ilmu semasa seperti ilmu perubatan, kimia, fizik dan astronomi, kecenderungan untuk mengambil sesuatu yang mudah dan ringan di dalam hukum disebabkan kurang pengetahuan agama, kelemahan semangat dan kehilangan dorongan beragama, kerana ingin beramal dengan prinsip toleransi dan mudah yang diutarakan oleh Islam. Firman Allah SWT dalam surat al-Hajj ayat 78
Maksudnya: Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamaNya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: "Orang-orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik pemberi pertolongan. (Surat al-Hajj ayat 78)
Firman Allah SWT surah al-Baqarah ayat 185
Maksudnya: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa ganti) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Surah al-Baqarah ayat 185)
Rasululah s.a.w. bersabda maksudnya: Permudahkanlah dan jangan memayahkan dan gembirakanlah dan jangan melarikan orang.
Walaupun begitu tidak baik kalau kita menaruh buruk sangka kepada orang orang Islam masa kini. Ini disebabkan kita masih dapati sesetengah orang Islam berusaha bersungguh-sungguh mengembalikan ingatan umat Islam hari ini kepada usaha yang dikorbankan oleh geneasi salafus salih dan jaguh-jaguh awal Islam terdahulu di dalam melakukan jihad dengan nyawa dan harta benda. Kita juga masih dapati orang Islam yang masih sanggup berkorban nyawa kerana Islam, menderma untuk membina kolej-kolej ilmu, masjid dan pertubuhan Islam, menyebarkan dakwah Islamiah dengan buku-buku, risalah-risalah kecil dan menghantar pendakwah ke setiap tempat. Selain itu kita juga masih dapati sesetengah orang Islam yang mencintai Islam dan begitu cemburu kalau hukum hukumnya dicabuli. Mereka masih beriltizam dengan akidah dan syariat Islam bagaikan gunung yang teguh yang tidak pernah bergoyang.
Tidak wajar kepada mujtahid menganggap masyarakat Islam sekarang sebagai sebuah masyarakat jahiliah sebenarnya hanya sesuai kalau dikaitkan dengan sekumpulan manusia yang beriya-iya benar inginkan kekuasaan dan mendapat tempat di dalam masyarakat melalui cara meruntuhkan nilai-nilai agama dan akhlak. Ia juga sesuai untuk golongan yang terdidik di dalam hidangan barat telah tercorak hidup dan tradisi barat. Golongan inilah yang telah menggelupas keluar dari kulit-kulit mereka sendiri dan dari kecintaan kepada agama dan umat mereka.
Masyarakat Jahiliah juga sesuai dikaitkan dengan seniman-seniman dan seniwati-seniwati yang menggunakan segala cara yang ada walaupun dengan sesuatu yang menjatuhkan maruah demi mengumpulkan harta, mendapatkan kemashuran dan melayani was-was syaitan. Selain itu ia juga sesuai untuk dikaitkan dengan sesetengah orang fasik dan ahli maksiat yang mengharuskan segala yang mungkar. Begitu juga ia sesuai dengan mereka yang jahil tentang hukum-hukum agama. Keadaan seperti ini bukannya Ijtihad, bahkan boleh dianggap menyeleweng.
Bagi golongan ini tidak sesuai wujud mujtahid untuk mereka, sebaliknya mujtahid sesuai untuk masyarakat yang mempunyai persediaan untuk melaksnakan Islam di dalam akidah, syariat dan manhaj hidup mereka. Mereka ini berusaha mengetahui perkara halal dan haram dan beriltizam dengan setiap sempadan yang berkaitan dengannya. Apabila didapati unsur ketamakan terhadap kepentingan duniawi, seperti mengambil riba dan lain-lain, kepentingan ini dapat dikawal oleh kekutan agama yang dipunyai oleh salah seorang daripada mereka. Ketamakan ini diibaratkan awan yang akan hilang tidak beberapa lama selepas itu. Kebenaran akan bersinar kembali, manakala keperluan kembali semula kepada Islam dan akan muncul semula dalam masa yang singkat Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment