KATEGORI ULAMA MENGIKUT DR MUSTAFA ASSAIBAIE
SEDUTAN DARIPADA KITAB BERTAJUK
Akhlaquna Al-Ijtimaiah halaman 197-213
Oleh: Dr Mustafa Assibaie
Terjemahan: Sidang Penulis Firqah Rabbaniah
SIKAP / PENGLIBATAN MENYELESAIKAN MASALAH MASYARAKAT, PEMBAWAAN DAN PENDEKATAN ULAMAK DULU DAN KINI.
Apabila kita teliti secara mendalam di dalam al-Quran al-Karim perakuan Allah s.w.t. terhadap kemuliaan para ulamak memang amat tinggi darjatnya. Demikian juga baginda Rasululah s.a.w. telah meletakan harapan yang cukup mulia dan murni terhadap para ulamak, seterusnyalah oleh para sahabat dan para tabi’e dan salfusolih.
Ulamak pada sisi Allah s.w.t. ia digolongkan di dalam umat Islam bertaqwa kepada Allah dan merekalah insan yang amat bimbang dirinya terjerumus di dalam dosa dan maksiat.. Mereka menjauhkan dirinya bukan sahaja tidak melakukan perkara yang diharamkan oleh Islam, tetapi menjauhi juga perkara-perkara yang syubhat. Sila lihat firman Allah dalam surah Fatir ayat 28 yang bermaksud:
...................... Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Alim (yang berilmu). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.
Sementara Rasulullah s.a.w. telah meletakan para ulamak sebagai pewaris para nabi-nabi dengan harapan yang tinggi agar mereka menerima pusaka para nabi itu dengan penuh amanah dan bertanggungjawab serta bijaksana, semata-mata kerana kebesaran dan keredhaan Allah s.w.t.
Begitu juga para sahabat Rasulullah s.a.w,, para salafulsolih telah meletakkan para ulamak pada tempat yang istimewa di kalangan manusia sehingga kepada kedudukan yang sama taraf dengan pemimpin dan pemerintah. Harapan dan perakuan yang tinggi ini diungkapkan dalam berbagai ungkapan seperti kata-kata Hassan al-Basri; Ulamak sebagai penjana kebaikan manusia. Imam Hambali, dan imam Syafie mengungkapkan sebagai matahari menyinari dunia dan seperti afiah memberi kebahagiaan kepada tubuh badan manusia. Imam Ahmad Hambali pernah bertanya anaknya yang bernama Abdullah sambil berkata, wahai anakku? Apabila ulamak berfungsi sebagai matahari menyinari dunia dan afiah membina kesejahteraan manusa; maka adakah lagi sesuatu yang lain daripada perkara itu boleh mengatasi kelebihannya?.
Seterusnya para sahabat dan tabi’e mengungkapkan sanjungan kepada ulamak. Dengan kata contoh yang tertinggi dan mulia. Hasan menyebut ulamak seperti bintang di langit, Abu sufian meletakkan darjat ulamak sebagai seorang pakar perubatan. Al Fadhil bin Iyadh menyatakan ulamak sebagai penyenang hati manusia. Banyak lagi ungkapan mulia dan tinggi disebut oleh para sahabat yang diberi kepada ulamak.
Oleh yang demikian perkataan ulamak yang hendak disandarkan kepada seseorang yang berilmu tidaklah semata-mata bersandarkan kepada kecerdikan dan banyak ilmunya sahaja, tetapi hendaklah dilihat dan berpandukan kepada kebijaksanaan, ketaqwaan, ikhlas, amanah, akhlak dan sahsiahnya seperti tariff umum yang dibayangkan di dalam al-Quran dan sunah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat yang tersebut di atas.
SIFAT DAN SAHSIAH ULAMAK
1. Bertaqwa kepada Allah s.w.t. dalam erti kata taqwa melaksanakan segala perintah Allah dengan sesunguh hati dan ikhlas dan bimbang dirinya daripada terjerumus kepada larangan Allah.
2. Sahsiah dan tindak tanduk dirinya sentiasa diambil sebagai pencetus kepada kebaikan..
3. Tindakan dan tuturkatanya boleh dijadikan penyuluh (hidayah) untuk semua insan dan menjadi pandu arah menuju kebenaran itulah yang dimaksudkan oleh Ahmad bin Hambali.
4. Sahsiah ulamak ialah warak dengan maksud tidak buat perkara haram atau perkara syubhat.
TUGAS DAN PERANAN ULAMAK
Para ulamak biasanya akan sentiasa berhadapan dengan masyarakat. Dalam dua keadaan :-
1. Ketika ulamak berhadapan dengan masyarakat yang jahil tentang agama maka ketika itu ulamak berperanan sebagai jurucakap memberi penerangan menyatakan dengan tegas dan berani bagi menegakkan kebenaran sehingga setiap yang kabur menjadi nyata kebenaran dan lahir kesahihanya seterusnya pandangan dan kenyataan para ulamak tersebut boleh menghapuskan keraguan atau persepsi-persepsi buruk yang berlaku terhadap agama atau terhadap sesuatu yang tidak benar.
2. Apabila para ulamak berhadapan dengan masyarakat yang menentang agama yang sengaja atau tidak sengaja bermusuh dengan agama, maka ketika itu para ulamak mesti bangun bertanggungjawab mengubah permusuhan mereka itu menjadi sahabat dan kawan serta segala pemikiran permusuhan perselisihan faham terhadap Islam itu diperbetulkan dan dikembalikan kepada tempat yang sebenar. Pembetulan-pembetulan yang diusahakan oleh ulamak tersebut hendaklah berterusan sehingga masyarakat kembali menjadi satu masyarakat yang bersatu padu, aman makmur sejahtera. Tindakan yang dilakukan sebagai penyelesaian itu juga hendaklah tidak berlaku kezaliman terhadap sesiapa, tidak ada si fakir yang tidak dibela, tidak ada si jahil dijadikan ketua dan tidak ada mana-mana suku kaum yang tidak dicakna. Malah semua lapisan masyarakat berasa senang dan gembira kerana pandangan dan fatwanya.
Kebijaksanaan dan pandangan ulamak yang menzahirkan buah fikiran, tunjuk ajar tersebut hanya akan dilahirkan oleh ulamak yang berpegang teguh dengan ajaran syariat, berpaksikan kesempurnaan ilmu, taqwa, jujur dan amanah berakhlak mulia dan luhur bukan hawa nafsu, imusional dan berkepentingan.
Ulamak terbahagi kepada lima golongan
Pertama
Ulamak kategori pertama ini sikap dan pendirian mereka dari segi taqwa dan keinginan kepada kesucian jiwa adalah boleh dikatakan tinggi, dan ikhlas. Dari segi ibadah dan ilmunya serta cara hidupnya kepada Allah s.w.t. juga adalah tinggi, kuat dan ikhlas. Mereka tidak ikut campur hal-hal kemasyarakatan dan tidak melibatkan diri dalam hal-hal keduniaan, dengan kata-kata mudah susah payah orang ramai mereka tidak ambil bahagian, tidak ikut campur dan tidak ikut serta bersama orang ramai termasuklah dalam urusan pertahankan agama, bangsa dan tanah air dan politik Negara.
Ringkas kata ulamak ini boleh disebut sebagai ulamak kolot, jumud. Mereka tinggalkan perkara dunia kononnya kerana ingin bertanggungjawab terhadap Allah hanya melalui amalan zikir, wirid dan membaca al-Quran, mereka meninggal kewajipan dunia dan tidak berusaha mengambil peranan sebenar sebagai a’bid dan khalifah Allah di muka bumi. Mereka ini sebenarnya lupa kepada firman Allah dalam surah al-Imran ayat 104 yang bermaksud:- Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala yang baik serta melarang daripada segala perkara yang salah (mungkar) buruk dan keji dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya”
Ulamak seperti ini boleh juga dianggap sebagai “Tok Lebai Kampung” biasanya mereka mengasingkan diri dan tidak ada rasa untuk mendengar apa-apa bicara atau uasaha hal-hal keduniaan, malah sikap mereka kononnya jika seseorang itu mahu selamat dan bertanggungjawab dengan Allah maka ia perlu lupakan segala kesenangan dunia termasuk isi kandungan dunia.
Mereka seperti ini biasanya bersikap suka dan sibuk dengan perkara remeh temeh dan perkara-perkara khilafiah, melakukan ibadat-ibadat sunat, tetapi lupa kepada perkara besar yang melibatkan kesejahteraan umah, keamanan dan perpaduan bangsa dan kemajuan Negara. Sikap seperti ini telah menjadi cara hidup mereka disebabkan kejumudan sifat kekampungan akal mereka dalam memahami nas-nas al-Quran dan Sunah Rasulullah s.a.w. dan kerana terlampau berpegang kepada petua-petua yang didapati daripada kitab lama/pendapat lama dan tidak membaca kitab-kitab tulisan ulamak semasa. Akibat daripada sikap demikian mereka beranggapan bahawa syariat Islam yang diturunkan Allah tidak harus dibahas dan tidak menerima perubahan, sekalipun keadaan semasa telah berubah dan kepentingan umum semasa juga telah berubah.
Kumpulan yang disebut sebagai “ulamak kampung” seperti ini menjadi buruan kesukaan orang-orang yang suka melihat umat Islam kekal dalam kemunduran dan kejahilan untuk memudahkan musuh Islam melakukan sesuatu bagi menghancurkan seluruh kekuatan umat Islam kerana jika kumpulan ini kekal berada dan menguasai dalam masyarakat maka tidak ada lagi ulamak tulin yang mampu menangani kepincangan umat Islam yang sekali gus boleh memerangi sesuatu yang bercanggah dengan syariat Islam sebenar.
Hakikatnya ulamak golongan seperti ini terlewat pandang atau lupa atau jahil dengan al-Quran, Sunah-sunah(perbuatan dan kelakuan) Rasulullah s.a.w. dan hadis riwayat Ahmad dan Atthabarani dan Ibnu Majah yang bermaksud; sebaik-baik perjuangan (jihad) ialah perkataan (pandangan / nasihat ) yang benar kepada pemimpin yang zalim. Mereka tidak peka dengan syariat Islamiah, bahawa mengadakan kegiatan ilmiah memberi pelajaran dan kesedaran serta mengadakan majlis nasihat untuk memperluaskan ilmu Islam di bidang ekonomi, pertahanan dan sebagainya adalah lebih baik daripada ibadah sunat. Jika mereka seperti ini faham dan sedar tentang kaedah Islamiayah yang bermaksud bahawa kemuliaan martabat seseorang muslim ialah perjuangannya di jalan Allah (Berjihad) adalah lebih baik daripada solat sunat tujuh puluh tahun bersama keluarganya tetapi mereka gagal ke arah tersebut kerana kejumudan akal dan ilmu mereka.
Kedua
Ulamak kategori ini; jiwa, hatinya amat baik dan jujur terhadap Islam. Hatinya juga amat sayang kepada agama. Pada masa yang sama mereka seperti ini dianugerahkan pangkat kedudukan dan pakaian keagamaan untuk memudahkan orang ramai menyanjungi mereka dan memuja mereka sebagai si alim yang suci dan keramat. Malah ada orang ramai mengambil berkat dengan mencium tangan mereka dan mendewa-dewakan mereka sebagai ulamak yang suci peribadinya dan tempat ambil berkat.
Ulamak jenis ini ada di antara mereka tertipu atau terpengaruh dengan perkara baru dalam kehidupan mereka kerana dalam suasana mereka diberi sanjungan sebagai ulamak keramat mereka juga dianugerahkan dengan pangkat dan kedudukan tinggi kadang-kadang kepada peringkat menteri dan bersama-sama dengan pemimpin Negara. Mereka ditonjol dan dinobatkan sebagai ulamak teratas kemudian diberi ruang mengadakan ceramah-ceramah perdana di serata tempat untuk kepentingan tertentu, ada kalanya mereka mengambil tempat imam-imam masjid untuk menyampaikan khutbah Jumaat dipelbagai perhimpunan dan majlis-majlis rasmi. Di tempat-tempat seperti ini, ulamak ini diluahkan dengan pujian yang tinggi keilmuan dan kealiman mereka serta disusuli pula dengan tepuk sorak yang gemuruh oleh para hadirin pada majlis-majlis tersebut. Disebabkan jolokan, sanjungan, pangkat dan upahan yang tinggi dan banyak itu, mereka tidak malu-malu dan tidak segan-segan berceramah di merata tempat sekalipun terpakasa berbohong bernifak dengan kenyataan yang berlaku oleh kerana terpengaruh dengan sogokan dan upahan tersebut sehingga ada di kalangan mereka menghalalkan perkara yang haram melalui telatah perbuatan, mereka seperti ini tidak keterlaluan jika orang ramai mengecap/menyebut mereka sebagai ulamak upahan. Kita minta jauhkan daripada golongan ini. Yang mendukacitakan; Ulamak upahan ini dilabelkan dengan berbagai-bagai label kemuliaan dan kekeramatan oleh golongan yang berkepentingan demi mencari makan dan kepentingan politik masing-masing. Ulamak diperdagangkan kepada orang awam yang selanjutnya ulamak tersebut memperdagangkan agama kerana upahan dan pujian.
Ketiga
Ulamak ini amat sayang kepada agama dan cukup sensitif dengan perkara-perkara yang terlibat dengan hukum agama. Mereka menyuruh dan menyeru mengenai amal maƔruf dan nahi mungkar. Dalam masa yang sama mereka lupa tentang semangat (ruh) syariat dan matlamat syariat di bidang kemasyarakatan dan pengurusannya. Ulamak ini boleh disebut sebagai (ulamak kampung) .Keadaan ini boleh dilihat daripada tindakan aktiviti seharian mereka. Di antaranya sebagai contoh; mereka sangat mengambil berat tentang sembahyang, puasa dan syiar-syiar keagamaan, tetapi langsung tidak berusaha tentang matlamat maqasid syariah tentang solat dan puasa, mereka memandang enting tentang membina sekolah dan memajukan pengajian untuk orang ramai demi mendidik akhlak dan memperbetulkan budaya hidup seperti yang dicadangkan oleh al-Quran iaitu bagaimana melarang orang ramai daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Mereka sudah berpuas hati dengan simbol dan logo-logo keagamaan tanpa mengambil berat tentang pendidikan akhlak serta kemurniaan Islam yang sebenar. Jesteru itu kita dapati sikap mereka sudah berpuas hati dengan beberapa orang bersembahyang jemaah bersamanya di masjid, dan merasa cukup selesa dengan orang bersegera ke masjid apabila bilal melaungkan azan di masjid sedangkan orang berkenaan berkarat dengan perbuatan dosa. Pakaian yang dianggapnya solih itu iaitu hasil daripada riba dan harta haram tidak dikira kerana dalam waktu yang sama mereka menganjur dan membiayai aktiviti maksiat bilamana mereka keluar dari masjid. Ulamak ini gembira dan merasa senang hati apabila melihat seseorang muslim lain berpuasa sunat dan menghormati ulamak sedangkan orang berkenaan penghisap darah dan boleh dianggap perampas darah moden, penyamun global ke atas maruah dan hak-hak masyarakat dan manusia sejagat. Malah solat dan puasa yang dilakukan oleh orang yang dianggap baik oleh ulamak ini semata-mata untuk mengaburi mata masyarakat awam dan tipu helah bagi melindungi jenayah yang dilakukan ke atas orang ramai dan masyarakat.
Ulamak seperti ini pada hakikatnya, mereka telah lupa kepada pesanan hadis Rasulullah s.a.w. yang menerangkan kesudahan seorang wanita yang amat rajin solat sunat pada waktu malam dan berpuasa pada siang hari di sepanjang tahun tetapi perangainya, tingkah lakunya sentiasa menyakiti jirannya, kerana apabila jirannya melakukan sedikit keburukan ia menyebar keburukan itu kepada orang ramai, tetapi apabila jirannya melakukan kebaikkan ia sembunyikan kebaikkan. Kepada wanita yang seperti ini atau mana-mana individu yang berperibadi begitu baginda memberitahu ia adalah di kalangan ahli neraka. Ulamak seperti ini juga lupa kepada hadis yang menceritakan seseorang wanita akan ke neraka disebabkan seekor kucing. Ia mengurung kucing tersebut dan tidak membiarkan kucing tersebut mencari makan sendiri lalu mati.
Ulamak fanatik atau lebai kampung ini jika dilihat dari sudut lahir cukup sensitif dan amat marah tentang kemungkaran orang perseorangan mengenai perkara-perkara sunah yang kecil seperti pakai jam di tangan kiri, tok haji tak pakai kupiah, ustaz tak pakai baju jubah dan tok guru tidak pakai serban dan membesar-besarkan orang lelaki memakai cincin mas. Memang diakuai benar ianya haram, tetapi oleh kerana kejumudan ilmu akalnya mereka tidak pernah mengambil tahu terhadap orang-orang kaya yang tidak mengeluarakan zakat supaya keluar zakat, tidak pernah memberi tunjuk ajar bagaimana mengatasi gejala sosial yang sedang bermahrajalela dalam masyarakat kini seperti Mat repek, penyalahguna dadah atau memberi sokongan usaha kerajaan membasmi gejala rasuah dan membasmi kemiskinan atau memberi pandangan cara menghapuskan fitnah dan umpat mengumpat di kalangan masyarakat umum.
Ulamak jumud (fanatik) ini kalau kita bertanya kepada mereka mana lebih besar dosa di sisi Allah seorang lelaki yang melakukan maksiat (dosa) kerana memakai cincin emas berbanding seorang yang menipu harta orang atau pengumpul harta melalui rampas hak rakyat, dan dosa pemimpin yang khianat tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab dan dosa orang yang berbohong, menipu dan sebagainya. Tentu mereka yang jumud ini tidak menemui jawapan kerana akalnya penuh tepu dengan perkara tersebut. Kalau ia disedarkan, ia akan mengaku secara senyap-senyap terhadap kejumudan akalnya.
Sepatutnya mereka harus sedar bahawa dosa khianat ke atas masyarakat awam dan perkara yang ada hubung kait dengan hak orang ramai (rakyat) adalah lebih besar dosa dan kemungkarannya di sisi Allah daripada dosa ke atas individu, kerana jika berlaku keburukan maka keburukan itu hanya kepada individu seorang sahaja. Tetapi jika maksiat yang melibatkan kerosakan orang ramai akibat daripada perbuatannya atau kecuaiannya adalah lebih besar dosanya daripada dosa yang berlaku ke atas dirinya sahaja.
Realitinya; syariat ulamak jumud ini ialah, mereka lupa atau tidak peka terhadap sunah Rasulullah s.a.w. dan hadis Nabi yang bermaksud. “Sebaik-baik perjuangan (jihad) ialah perkataan benar disampaikan kepada pemimpin yang zalim. (Hadis riwayat Ahmad Dan Atthabrani dan Ibu Majah), mereka juga lupa dengan cara hidup dan peranan ulamak sebenar yang memberi nasihat dan pandangan yang benar dan bangun mempertahankan Islam adalah lebih baik daripada ibadah sunat semata-mata.
KE EMPAT
Ulamak golongan ini ialah ulamak cari makan melalui agama dan menjadikan hukum hakam syariat Islam (halal, haram, sunat, makruh, harus) sebagai alat atau jenama tipu helah untuk mendapat sokongan dan keuntungan mengumpul rezeki atau kekayaan. Mereka ini akan mengunakan nama Islam dalam semua bentuk tindakan mereka.
Hukum halal, haram, sunat, makruh yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah mereka gunakan hanya jika dilihat memberi keuntungan dan pulangan balas yang baik kepada perniagaan dan kepentingan peribadi atau politik parti yang menjadi sumber pendapatan mereka, tetapi jika dilihat hukum hakam, sama ada halal, haram, sunat, atau makruh itu boleh mendatangkan kerugian dan hilang kepentingan diri atau puak mereka, lalu mereka turun padang untuk berceramah di serata tempat membuat penjelasan kepada orang awam bahawa yang halal itu haram, yang haram itu halal, yang sunat itu wajib, yang wajib itu makruh atau harus, yang makruh itu sunat dan sebagainya. Sehingga ada yang mengkafirkan saudaranya yang sedang bertahlil dan berzikir di dalam masjid dan malah laungan azan saudaranya di masjid bukan daripada masjid kroninya tidak dianggap sebagai yang sah azan sekalipun yang menjadi bilal itu bapak saudaranya dan kalimah azan yang dilaungkan itu sama dengan kalimah di masjidnya. Kalimah syahadat ayat al-Quran, sunnah Nabi, hadis-hadis Rasulullah s.a.w. diputar belitkan mengikut selera, suasana dan tuntutan kepentingan untung rugi perniagaan parti dan politiknya atau kumpulan mereka.
Ulamak jenis ini biasa disebut sebagai ulamak suk atau ulamak jahat, tetapi Dr Musstaffa Sibaie menamakan dengan “ulamak Fujar Asyra… (ulamak-pelacur-jahat) nama ini sangat sesuai dengan akhlak mereka kerana selain Islam menjadi alat jualan perdagangan dan perniagaan. Hukum halal haram dijadikan bahan tarikan orang ramai. Namun tidak cukup dengan demikian, tetapi setiap orang jahat dan penipu, pemutar belit, pencuri, penyamun menjadi teman rapat dan sebagi pembatu dan penolong kumpulan mereka.. Kawan-kawan rapat mereka seperti ini akan memberi sokongan kuat dan akan menjadi tulang belakang untuk menjayakan kerja-kerja jahat kerana semata-mata untuk mendapat kekayaan, pangkat dan sanjungan sebagai alim dalam masyarakatnya. Ini di antara malapetaka menimpa Islam melalui Ulamak Pelacur seperti ini.
Dr Mustaffa Sibie dalam bukunya “Hidup Mengajarku” membayangkan dalam tulisannya bahawa manusia jenis seperti ini amat-amat dibenci oleh Allah dan amat hina kepada orang Islam. Penyamun adalah lebih dekat dan lebih dikasihi oleh Allah berbanding menusia seperti ini walaupum hidup mewah tetapi menjual agama. Seorang yang jelas fasik dan jahat melakukan dosa dan maksiat kerana hendak mereka memiliki harta dan kesenangan adalah lebih dekat kepada Allah daripada si alim jahat (pelacur agama) yang berjalan bersama dengan si penyamun dan si zalim demi mengekalkan kedudukan atau ingin memiliki kekayaan dan kesenangan, Mereka berlagak sebagai ulamak dengan memakai berjubah, berkupiah dan serbannya. Sementara pembantu dan orang kuat di belakang mereka menjalankan kerja-kerja mencari makan, mereka ini terdiri daripada kalangan pengkhianat, pencuri, penyamun, dan penipu khazanah rakyat jelata dalam negaranya sendiri.
Ulamak seperti ini masih wujud di beberapa negara Islam, mereka ini sedang melakukan jenayah ke atas umat Islam dan negara Islam baik dulu mahupun hari ini. Umat Islam diseru supaya segera menghapuskan mereka ini dengan sebanyak tenaga. Sila lihat maksud firman Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 4: Dan apabila Engkau melihat mereka, Engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya tunjang kekuatan yang dikehendaki. Kerana merasai bersalah, mereka sentiasa dalam keadaan cemas sehingga menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka seperti itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa(mematikan) dan menyingkirkan mereka. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya - daripada kebenaran)?
KELIMA
Ulamak Kategori jenis yang ke lima ini ialah terdiri daripada kalangan mereka yang benar-benar baik hatinya, tinggi dan mulia akhlaknya, luas ilmu, jauh pandangan, bijaksana dalam tuturkatanya, memiliki sifat terpuji, menjadi contoh tauladan kepada masyarakatnya dan memahami Islam secara mendalam bahawa Islam dan syariat Allah merupakan satu-satunya sistem untuk kemasyarakatan demi kebahagiaan, keamanan, keadilan dan kesejahteraan sejagat manusia dan alam sepenuhnya. Ulamak jenis inilah sebagai (Ulamak Tulin) ulamak Assalihin. Segala kelebihan pada ulamak ini mengatasi keempat-empat ulamak yang disebut terdahulu sebelum ini dan merekalah diberi gelaran sebagai ulamak Wararastul Anmbiyak.
Ulamak peringkat ini biasanya tidak ramai dalam masyarakat hari ini.. Kalaupun ada tetapi mereka telah dan akan berhadapan dengan ramai musuh menentang mereka sama ada daripada kalangan yang jahil dan orang-orang kafir, malah dengan orang Islam yang kononnya bergelar ulama, termasuk mereka yang tidak suka Islam berjalan mengikut yang dikehendaki Allah dan yang lebih menakutkan lagi ialah mereka akan berhadapan dan ditentang oleh empat golongan ulamak yang dinyatakan di atas iaitu:-
1.. Ulamak Kampung ( jumud )
2.. Ulamak Upahan
3.. Ulamak Fanatik
4.. Ulamak Jahat
Tidak ganjil ulamak ini dimusuhi dan ditentang kerana mereka bekerja di jalan yang seperti dilakuakan oleh para nabi terdahulu. Mereka tetap bersikap sebagai pewaris nabi-nabi mereka akan berterus terang secara hikmah dalam apa jua kebenaran tanpa ada kepentingan atau dorongan di luar kebenaran, apalagi dengan dorongan upah, nafsu dan perasaan, sebagai contoh apabila melihat sesuatu kemungkaran dia akan katakan itu adalah mungkara. Ia akan memberi nasihat secara jujur dan ikhlas. Apabila ia berhadapan dengan orang zalim ia akan bangun mencegah kezaliman dan menasihati untuk berlaku adil. Jika ada penyelewengan di mana jua sekalipun ia tetap menegur dan membetulkannya secara jelas dan berterus terang ( dengan hikmah)
Ulamak salihin seperti ini biasanya dipisah oleh masyarakat dan terasing daripada kumpulan mereka yang disebut-sebut sebagai ulamak, malah akan menjadi lebih asing lagi dengan para pemimpin ketua-ketua masyarakat termasuk pemerintah yang memikul tanggungjawab senang susah rakyat dan orang ramai. Mereka hidup di tengah-tengah masyarakat dan memang disegani oleh lapisan masyarakat, tetapi disia-siakan kelebihan dan kebaikannya sehingga tidak diiktiraf sebagi ulamak, berlakunya perkara seperti ini mungkin pemimpin takut kepada kebenaran pendapat dan fatwanya. Jesteru ulamak ini juga kadang-kadang tahap mereka dinilai sama seperti seorang paderi di gereja yang seminggu sekali orang ramai datang ke masjid mendengar khutbah mereka. Sudahlah golongan ini tidak ramai berada dalam masyarakat lalu fungsi dan peranan merteka dikurangkan atau ditiadakan langsung. Sepatutnya ulamak seperti ini merupakan kumpulan yang mampu mengislamkan minda masyarakat bersama-sama bergerak dalam kepimpinan penyusunan umah dan negara bahkan sama-sama berusaha mencari jalan memperkuatkan bagi menghapuskan segala kejahilan yang sedang berlaku dalam masyarakat. Jadikanlah mereka ini sebagai salah satu tunggak kekuatan negara di samping pemerintah yang berkuasa. Ulamak seperti inilah yang diungkapan ileh iman Ahmad Hambali sebagai Ruh atau nyawa kepada tubuh badan manusia, matahari kepada alam semesta dan a’afiah kepada manusia. Mereka seperti ini adalah ulamak Mutaqin Salihin dan insyaallah wujud di kalangan umat Islam di mana jua negara umat Islam. Kita mengharapkan ramai daripada kalangan kaum muslimin yang mendengar nasihat dan tunjuk ajar mereka. Amin!.
No comments:
Post a Comment