Thursday, July 30, 2009

KONSEP ISLAM

PENDAHULUAN

Islam merupakan agama anutan ummah seluruh dunia. Ia menjadi pegangan serta asas budaya hidup berbagai bangsa. Agama Islam dikenali sebagai agama yang menyusun cara hidup yang meliputi aspek keimanan, ibadah, muamalah, siasah , sosial dan ekonomi. Seluruh kehidupan dan keperluan manusia disusun secara lengkap oleh ajaran Islam. Islam disifatkan sebagai peraturan dan menu terbaik untuk manusia dan alam seluruhnya. Disisi Allah hanya agama Islam yang diterima sebagai anutan dan pegangan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang diredai) disisi Allah hanyalah Islam”. (al Imran.:19).

Risalah pengenalan Islam ini disusun untuk mempermudahkan pembaca dari berbagai peringkat dalam memperkukuhkan pengetahuan terhadap ajaran Islam.


PENGERTIAN ISLAM

Islam dari perkataan arab membawa makna tunduk, taat dan sejahtera. Makna secara umunnya islam merupakan satu perilaku atau tindakan dan amalan taat dan patuh kepada seluruh perintah Allah melalui ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Secara Khususnya nabi Muhammad s.a.w. pernah menjelaskan makna Islam semasa menjawab pertanyaan malaikat Jibril. Sebagaiman maksud hadis tersebut saperti berikut:

Sabda Nabi s.a.w. : Islam ialah mengucap (kalimah sahadah) “Aku bersaksi tiada tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Nabi Muhamad itu Rasululullah., mendirikan solah ,menunaikan zakat, berpuasa Ramadan, dan menunaikan Haji jika berkemampuan


PENGANUT ISLAM

Penganut Islam ialah mereka yang telah menerima akidah Islamiah secara menyeluruh saperti yang termaktub didalam rukun iman dan melaksanakan tuntutan beribadah saperti yang termaktub didalam rukun Islam .

Penganut Islam juga merupakan mereka yang sentiasa merujuk kepada Al Quran dan al hadis dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah dan Rasul terutama dalam hal-hal berkaitan dengan pegangan akidah dan perlaksanan ibadah.

DASAR UTAMA AJARAN ISLAM

Dasar utama ajaran Islam meliputi aspek berikut:

a) Akidah ialah konsep kepercayaan yang akan membentuk iman kepada Allah dan Rasul serta beriman kepada para malaikat, hari akhirat, syurga dan neraka.

b) Ibadah ialah peraturan –peraturan untuk melakukan peribadatan dan ketaatan kepada Allah . Ibadat juga meliputi perilaku melaksanakan ketaatan kepada Allah melalui cara kebaikan kepada manusia dan alam seluruhnya.

c) Muamalah ialah pertaturan perhubungan sesama manusia yang meliputi aspek kemasyarakatan, keadilan, akhlak,siasah, ekonomi dan kewangan.


PERINSIP UTAMA AJARAN ISLAM

Setiap orang Islam wajar memahami kehendak setiap ajaran Islam berasaskan perinsip-perinsip berikut:

1. Islam dan akidah Islam ialah satu agama yang berteraskan akidah atau keyakinan yang luhur kepada Allah yang maha Esa, kepada malaikat,rasul-rasul, kitab-kitab, adanya hari qiamat, dan kepada Qada’ dan Qadar. Hasil dari keyakinan ini membawa kepada lahirnya kesedaran untuk sahadahnya dengan kesanggupan untuk menunaikan segala yang wajib dan menjauhi segala yang dilarang.

2. Islam dan Manusia Islam amat mengutamakan kesejahteraan manusia dan seluruh alam ini. Sebab itu seluruh ajaran Islam amat mempertahan hukum-hukum keadilan, persaudaraan, penjagaan zuriat, perlindungan wanita dan pembangunan bumi.

3. Islam dan Halal haram Islam memperkenalkan hukum halal dan hukum haram sebagai landasan untuk membebaskan manusia dari belenggu kezaliman, penganiyaan, sama ada ke atas diri sendiri dan kepada Orang lain. Sebagai contoh pengharaman arak untuk menyelamatkan akal manusia, pengharaman zina bagi menyelamatkan zuriat manusia, pengharaman pembunuhan bagi menyelamatkan nyawa manusia, pengharaman riba bagi membina ekonomi secara adil, pengharaman merompak dan mencuri bagi menyelamatkan harta dan pemilikannya.

KONSEP FARDU AIN DAN FARDU KIFAYAH


Dalam ajaran Islam terdapat dua konsep kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh setiap orang Islam. Konsep ini dikenali sebagai fardu ain dan fardu kifayah.

a) Fardu Ain bermaksud kewajipan diri, setiap individu bertanggung jawab melaksanakan perintah Allah melalui hukum fardu ain. Kewajipan ini tidak boleh diwakilkan kepada orang lain atau ditanggung oleh orang lain. Contohnya kewajipan bersembahayang lima waktu, kewajipan belajar, kewajipan beriman.

b) Fardu Kifayah juga merupakan kewajipan keatas diri setiap individu, tetapi ia mesti telah dilaksanakan oleh orang lain dalam sasebuah kelompok masyarakat saperti kewajipan berdakwah, kewajipan mendalami sesuatu bidang ilmu, kewajipan membina kemudahan awam, kewajipan membina tempat ibadah, kewajipan memimpin negara dan rakyat, dan kewajipan menguruskan jenazah.

Tanggungjawab Asas Seorang Islam

Semua umat Islam mempunyai tanggungjawab khusus yang mesti dilakukan disepanjang hayatnya. Tanggungjawab tersebut meliputi aspek kewajipan terhadap diri, terhadap keluarga, terhadap masyarakat, ummah dan terhadap negara.. Berikut di rengkaskan sebahagian dari tanggung jawab individu muslim:-

a) Mesti sentiasa beriman dan mempunyai akidah yang kukuh mengikut saperti yang tertera didalam rukun iman.

b) Mesti menunaikan segala yang termaktub didalam rukun Islam

c) Mesti sentiasa berusaha mempertingkatkan rasa taqawa kepada Allah dengan cara memperbanyakkan amalan yang disuruh.

d) Mesti sentiasa meneruskan tradisi belajar ilmu pengetahuan terutama ilmu-ilmu yang membangunkan ummah dalam aspek ibadah dan kesejahteraan ummah.

e) Mesti menghormati kedua ibu bapa, orang tua, jiran tetangga dan sentiasa memperkukuhkan tali persaudaraan dikalangan umat Islam.

f) Mesti menyayangi kedua ibu bapa, suami isteri, anak-anak dan seluruh ahli keluarga.

g) Mesti berusaha mempastikan amalan kemungkaran dan kerosakan dicegah.

h) Mesti berkerja bersungguh-sungguh untuk mencari nafkah untuk diri dan ahli keluarga.

i) Mesti sentiasa mempunyai semangat untuk membantu, tolong menolong dikalangan ahli masyarakat.

Penutup

Islam yang kita anuti wajar dipelajari dan difahami secara mendalam, agar segala kekeliruan dapat dibendung. Islam menghendaki supaya seluruh ummah didunia ini selamat dan sejahtera. Oleh itu marilah kita menghayati dan beramal dengan ajaran Islam.

No comments:

Post a Comment