Thursday, July 30, 2009

KEMULIAAN AKHLAK

KEMULIAAN AKHLAK TANGGA KEJAYAAN

Oleh: Muhammad Said al-Makhzumi

Alihbahasa oleh: Firqah Rabbaniah

RUJUKAN: http://www.ebaa.net/wjhat-nadar/13/749.htm

Ramai orang mengenali politik adalah satu medan yang boleh diceburi dan diterokai oleh orang-orang tertentu sahaja atau kumpulan yang mahu memerintah atau oleh yang mahu memegang tampuk kerajaan sesebuah negara atau oleh kumpulan kaum bangsawan yang ingin mengekalkan kekuasaan ke atas sesebuah kumpulan masyarakat dan negara. Dengan pengenalan yang seperti ini, masing-masing bergerak menuju ke tujuan masing-masing mengikut cara masing-masing. Yang penting bagi mereka ialah tujuan dan matlamat agenda peribadinya sampai tanpa memikirkan soal agama, bangsa dan negaranya pada masa akan datang. Manakala cara gerakan dan tindakan untuk mencapai kejayaan tidak perlu dipersoalkan. Lantaran itu ada di kalangan pemimpin politik dan cara mendapatkan kuasa politik sangat amat rakus, ada yang menggunakan kekerasan, paksaan, penindasan, penipuan, melakukan fitnah, menghuru harakan pemikiran dan berlaku bunuh membunuh. Semua itu dilakukan semata-mata untuk mempastikan matlamat dan cita-cita politik masing-masing tercapai. Demikian pandangan umum masyarakat termasuk beberapa pertubuhan poitik negara kita hari ini, sedangkan politik dan pemimpinnya yang sebenar tidak sedemikian.

PEMIMPIN POLITIK SEJATI

Asas perjuangan politik sebenar ialah perjuangan mentadbir, menyusun manusia dan sesebuah masyarakat serta negara dengan tujuan membina keamanan, ketenanggan, ketenteraman, kestabilan masyarakat agar semua lapisan manusia menikmati kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran yang menjadi hasrat setiap manusia. Sepatutnya tugas dan tanggungjawab ini menjadi peranan pemimpin politik dan mereka perlu berfikir serta bekerja keras melahirkan perkara tersebut selepas mendapat kuasa politik daripada mandat rakyat. Ini perlu dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan amanah demi untuk keselesaan dan kesenangan setiap lapisan rakyat termasuk mana-mana makhluk di bawah pemerintahannya.

Matlamat di atas boleh dicapai oleh pemimpin politik dan pemerintah, termasuk ketua-ketua jabatan dan kakitanggannya. Bilamana semangat politik dan semangat bekerja dilakukan dengan ruh dan semangat kasih sayang (mahabbah) berasaskan akhlak dan sahsiah yang luhur.

Kejayaan Rasullulah s.a.w. semasa baginda membina asas negara Islam pertama di Madinah al–Munawarrah, kejayaan itu sekalipun banyak berhadapan dengan situasi pelbagai halangan dan rintangan, namun baginda menghadapinya dengan penuh dedikasi dan berjiwa kental dengan mengasaskan akhlak yang mulia dan tinggi. Lantaran itu Allah SWT telah memuji baginda a.s dengan pujian yang amat baik iaitu puian Allah itu dianggap sebagai medal penghormatan tertinggi daripada Allah SWT kepada seorang Nabi dan belum pernah dikurniakan kepada nabi-nabi lain sebelumnya.

Firman Allah:

Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya engkau wahai Muhammad mempunyai akhlak Yang amat mulia. (Ayat 4 surah al-Qolam)

Seseorang pemimpin yang berjaya membina diri sebagai pemimpin berakhlak dan peribadi mulia pasti ia akan berjaya dalam kepimpinannya. Berpandu kepada sejarah dan perjuangan umah terdahulu, sebagai contoh semua orang mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. telah berjaya membina satu bangsa yang cukup hebat kerana baginda berjaya meletakkan pertahanan politik dan pentadbiran yang cukup mantap dan adil, berhikmah iaitu berasaskan akidah, iman, dan syariah yang cukup tersusun dengan peradaban akhlak yang tinggi serta sistem keperibadian yang mencakupi semua peraturan mengenai kehidupan manusia dan alam sejagat. Sistem itu berpaksikan keluhuran akhlak. Sabda rasulullah s.a.w.

انما بعثت لاتمم مكارم الأخلاق

Maksud hadis: Sesungguhnya aku dibangkit (diutus) sebagai rasul adalah untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.

Dalam hadis ini baginda diutus bukan kerana ingin menjadi pemimpin atau ingin menjadi pemerintah atau ingin menadi raja atau apa sahaja yang berbentuk keinginan peribadi manusia, tetapi dia menyebut kemuliaan akhlak yang menjadi tugas dan tanggungjawab dan rebutan peribadinya, atau dengan kata-kata lain semua kerja buat manusia hendaklah berpaksi kepada ketinggian sahsiah dan akhlak. Bagi seorang ahli politik misalnya, apabila sahisah mulia sebagai pakaian hidupnya, maka lengkaplah dia sebagai seorang politik tulin dan beriman. Bukannya orang politik talam dua muka(munafik). Seterusnya jika ia seorang guru agama maka ia akan menjadi guru agama yang baik. Jika ia menjadi pemimpin ia akan menjadi pemimpin yang bertamadun bukan menjadi pemimpin nak cari duit atau pemimpin jalanan yang mencetuskan huru-hara dan pemimpin mencelarukan fikiran orang ramai.

Jika ia seorang ahli ekonomi, maka ia akan dinobatkan sebagai bapa pembangunan ekonomi kemakmuran dan kesejahteraan, bukan sebagai pencekik darah, pembolot kekayaan atau dinobatkan sebagai perampas penyamun harta masyarakat.

Jika ia seorang hakim ia tetap kekal sebagai hakim yang adil. Keadilannya dirasai oleh semua lapisan masyarakat. Malah dari segi kemanusiannya dilihat, dinikmati dengan penuh kasih sayang, mesra dan amat bertimbang rasa.

Melihat kepada lipatan sejarah mereka yang kecundang dalam perjuangan politik atau dalam perebutan kuasa yang telah dan sedang berlaku di dunia hari ini. Mereka yang gagal, kecundang, dibunuh, dibakar, dibom, dihina selepas dipuja, dicaci selepas dipuji, dimasukkan ke dalam penjara selepas dikeluarkan dari istana dan dikurung bersama singa dan harimau peliharannya sendiri malah diseksa di penjara. Mereka ini terdiri daripada orang (pemimpin) yang tidak ada akhlak atau akhlaknya buruk semasa memerintah atau semasa mereka berkuasa.

Bagi mempastikan sesebuah parti politik dan pemimpinnya menuju kejayan dan kecemerlangan yang boleh disebut sebagai kecemerlangan hadhari maka perlu wujudkan sifat-sifat atau perasaan kepimpinan dan politik berikut :-

1) Para pemimpin (orang-orang politik) perlu sentiasa berlapang dada dan berjiwa besar kerana lapang dada dan berjiwa besar akan membentuk diri dengan sifat terpuji seperti berikut :-

2) Pemaaf, lemah-lembut, tegas, berani, yakin, rendah diri, kasih sayang, tidak gopoh, bersifat mulia, bersopan santun, berilmu, kasihan belas, suka bergaul, bijaksana dan lain-lain sifat kemuliaan.

Tetapi malangnya apa yang kita perhatikan ada orang menyebut-menyebut kononnya ahli politik yang berjaya (dalam istilah kejayaan yang salah) ia terdiri daripada orang-orang yang hodoh akhlaknya, kotor peribadinya kononnya ahli politik atau pemimpinnya perlu berperangai buruk dan jahat, ganas, kurang ajar, keras, ego, tidak kisah melakukan maksiat, melakukan dosa dan sebagainya. Oleh sebab perangai orang politik seperti itulah menyebablan orang ramai menyebutkan bahawa politik itu kotor, pada hal politik adalah bersih cuma manusia yang menjalankan politik itu tidak bersih menyebabkan politik dilabelkan disebut pada zaman kini ternyata buruk. Sebagai bukti relaiti di hadapan mata; kita sudah ketahui sudah beberapa lama ahli politik di negara kita pemimpin parti politik termasuk pengikut-pengikut mereka tidak mengambil kira tentang halal haram, dosa pahala dalam gerak kerja menjaja parti politik mereka kepada orang ramai. Kadang-kadang parti politik mereka berjenama Islam, mereka meyakinkan orang ramai bahawa itulah parti politik sebenar, sedangkan tindak tanduk parti mereka menyimpang jauh daripada Islam.

NASIHAT

Adalah amat salah jika ada kalangan orang ramai yang berpendapat bahawa keluhuran akhlak hanya perlu dimiliki oleh orang yang bernama ustaz, tok guru, orang zuhud sahaja, dan memang diakui sepatutmya sifat itulah menjadi sifat dan cara hidup mereka. Tetapi ahli politik dan pemimpin adalah lebih wajar memiliki akhlak mulia dan peribadi yang unggul berbanading ustaz-ustaz, dan tok-tok guru kerana pemimpin parti merupakan contoh utama dalam mencorakkan budaya akhlak penduduk sesebuah negara. Apakah pemimpin politik tidak boleh menjadi orang solihin? Apakah kita lupa Saidina Abu Bakar, Umar, Othman, Ali r.a dan lain-lain sahabat baginda s.a.w. mereka juga pemimpin dan ahli politik, ketua pentadbir negara yang mengambil alih tempat Rasulullah s.a.w. Merekalah sepatutnya orang yang harus kita mengambil contoh teladan dan merekalah yang mesti kita ikuti, baik dalam hal-hal keakhiratan ( ibadah) mahupun dalam hal-hal keduniaan sebagai khalifah Allah di muka bumi.

No comments:

Post a Comment