Sunday, August 9, 2009

PEMBENTANGAN KERTAS KERJA MUZAKARAH HUKUM-HUKUM ISLAM DALAM ISU-ISU SEMASA

Kertas Kerja – 9: “AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI (ISA)TIDAK BERCANGGAH DENGAN ISLAM”

Ketua: Ustaz Omar bin Khalid dan Pembantu: Ustaz Zukifli Teow

Bantahan termasuk melakukan rusuhan yang dilancarkan oleh sesetengah pihak terhadap akta ini sama ada atas nama parti Islam atau NGO adalah hasil daripada kegagalan mereka dalam memahami perbezaan dan fungsi antara dua kuasa, iaitu: kuasa eksekutif (al-Sultah al-Tanfiziah) dan kuasa perundangan al-Sultah al-Qadhiah. Kedua-dua bidang ini mempunyai bidang kuasa dan pendekatan yang berbeza dalam menjalankan fungsi masing-masing disebabkan peranan dan tanggungjawab yang berbeza. Para ulama yang membicarakan berkenaan sistem politik Islam atau al-Siasah al-Syariyyah telah menghuraikan peranan serta bidang kuasa ketua negara dalam menjalankan tugasnya.

Al-Imam al-Qarafi menyatakan: Pemerintah adalah orang yang diserahkan kepadanya mentadbir seluruh urusan rakyat, menjaga kepentingan umum dan membanteras segala yang merosakkan, mengekang penjenayah, membunuh penderhaka dan menguruskan penempatan rakyat dalam negara dan perkara-perkara lain yang seumpama dengannya.

Al-Imam al-Juwaini menyatakan bahawa antara tanggungjawab pemerintah ialah: Memelihara akidah dan amalan agama umat Islam sejauh mana yang boleh dilakukan, menghapus kekeliruan yang dibawa oleh penyeleweng agama, membanteras amalan bidaah serta penganjur-penganjurnya.

Daripada dua huraian yang dibuat oleh dua orang ulama ini dapatlah disimpulkan bawawa tanggungjawab pemerintah dalam Islam begitu besar dan luas. Ia merangkumi kepentingan-kepentingan yang berkaitan dengan kehidupan dunia dan agama seperti keamanan negara, keselamatan nyawa dan harta benda penduduk serta kebajikan mereka, keselamatan akidah serta kemudahan menunaikan pemerintah agama.

Bagi melaksanakan tanggungjawab yang besar ini, ketua negara sudah tentu mempunyai bidang kuasa yang diperlukan tanpa diikat oleh prosedur-prosedur ketat seperti dalam bidang kehakiman. Menjelaskan hal ini, Imam al Qarafi menyatakan: Ketua negara mempunyai kuasa kehakiman dan kuasa mengeluarkan fatwa. Ia juga boleh melakukan perkara-perkara yang tidak bersifat fatwa dan kehakiman seperti menghimpunkan tentera, mengisytiharkan peperangan, memungut hasil dan membelanjakannya pada tempat yang sesuai dan betul, melantik pegaawai-pegawai, membunuh penderhaka, iaitu tugas yang banyak dan tidak boleh dilakukan oleh hakim dan juga mufti.

Antara bidang kuasa yang menjadi tanggungjawab ketua negara ialah kuasa hisbah. Ini merangkumi tanggungjawanb mengeluarkan perintah dan peraturan yang bertujuan menjaga kepentingan umum, menguatkuasakan peraturan-peraturan keselamatan negara, ketenteraman awam, ekonomi, pengangkutan, perusahaan dan sebagainya. Menjelaskan kuasa hisbah ini, Ibn al-Qayyim dalam kitabnya al-Thuru al Hukmiyah menyatakan: Bahawa hukum-hukum yang dijalankan di bawah kuasa hisbah merupakan hukum-hukum syarak. Hukum-hukum tersebut mempunyai kaedah-kaedah pelaksanaan di sisi syarak. Kepentingan umat mungkin tidak dapat dijaga dengan sempurna tanpanya. Pelaksanaan seperti ini tidak memerlukan pendakwa dan orang yang didakwa. Jika prosedur sedemikian tidak diikuti, maka kepentingan umat akan musnah dan sistem pemerintahan akan menjadi kucar kacir. Pihak berkuasa boleh menjalankan kuasa ini berasaskan petanda-petanda dan alamat-alamat yang jelas serta hubung kait yang boleh dijadikan keterangan (circumstantial evidence), Maka di bawah kuasa hisbah ini, pemerintah dalam Islam boleh menahan seseorang tanpa dibicara atas sebab-sebab kepentingan umum dan keselamatan negara. Menghuraikan persoalan ini, Dr. Saud bin Said ad-Duraib dalam kitabnya al -Tanzim al-Qadha, Fi al-Mamlakah as-Saudiyyah menyatakan: Sesungguhnya ketua negara dengan kuasa eksekutifnya boleh mengeluarkan perintah membekukan harta atau membelanjakannya.

Ia juga boleh mengasingkan (memenjara atau memencilkan) orang yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap masyarakat seperti yang dilakukan oleh Saidina Umar r.a terhadap Sobiq bin Asal kerana usahanya mengelirukan orang ramai tentang al-Quran. Pemerintah juga boleh menahan dan membuang daerah sesiapa yang pada pandangannya boleh memudaratkan masyarakat.

Para imam mazhab telah membincangkan persoalan ini dalam kitab-kitab mereka seperti yang disebut oleh as-Syatibi dalam kitabnya ”al-I’tisom”: Sesungguhnya para ulama berbeza pendapat tentang keharusan memukul tertuduh dengan tuduhan jenayah. Imam Malik r.a berpendapat harus memenjarakan seseorang yang dituduh melakukan jenayah sekalipun pemenjaraan itu merupakan sejenis penyeksaan, malah sebahagian ulama Maliki berpendapat bahawa pukul(dera) juga harus. Hukum ini pada pandangan ulama Maliki samalah dengan hukum yang menetapkan supaya tukang yang mengambil upah perlu menggantikan bahan yang diserahkan kepadanya oleh pelanggan jika rosak atau hilang, kerana tanpa pukul(dera) dan penjara ketika ada tuduhan yang kuat, tidak mungkin dapat dikembalikan harta daripada tangan pencuri dan perompak. Ini memandangkan bukti keterangan kadang-kadang sukar diadakan. Maka terdapat kepentingan umum untuk mengenakan seksaan terhadap tertuduh sebagai cara mendapatkan kembali harta yang dicuri dengan menunjukkan harta tersebut disembunyikan dan membuat pengakuan.

As-Syatibi seterusnya menolak anggapan bahawa undang-undang seperti ini boleh membuka pintu penyeksaan kepada orang yang tidak bersalah dengan katanya: Jika dikatakan: ini membuka ruang bagi menyeksa orang yang tidak bersalah.” Jawapannya ialah: Tanpa berbuat demikian harta benda tidak dapat dikembalikan kepada pemilikmya. Malah tidak melaksanakan seksaan seperti itu lebih besar mudaratnya. Sebenarnya seseorang itu tidak diseksa dengan wujudnya dakwaan semata-mata, sebaliknya perlu disertai dengan petanda-petanda (qarinah) yang kuat dalam diri hingga menimbulkan sangkaan yang kuat di dalam hati. Jadi seksaan pada lazimnya tidak menimpa orang yang tidak bersalah dan jika pun terkena, ia dimaafkan seperti dimaafkan pada hukum mewajibkan ganti ke atas tukang-tukang yang merosakkan barang pelanggan.

Al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniyah menyatakan bahawa tindakan yang sedemikian hanyalah boleh diambil oleh Amir iaitu kuasa eksekutif. Manakala Qadi atau hakim hanya boleh mengenakan hukuman seksaan setelah disabit tuduhan dalam perbicaraan di mahkamah mengikut prosedur keterangan yang ditetapkan oleh undang-undang sahaja.

Adalah jelas daripada perbincangan para ulama ini, jika penahanan tanpa bicara diharuskan dalam kes harta benda, maka dalam kes-kes yang membabitkan keamanan dan keselamatan negara adalah lebih utama tindakan sedemikian diharuskan. Malah jika pemerintah berpendapat bahawa tanpa penggunaan ISA, keamanan dan keselamatan negara akan terjejas. Maka pada ketika itu menggunaannya adalah wajib. Ini ialah berasaskan satu kaedah usul fiqah yang berbunyi: ”Apa apa perkara yang tidak sempurna perkara yang wajib melainkan dengannya, maka perkara itu adalah wajib".

Mengharuskan penetapan harga kepada pihak kerajaan pada saat perlu mencegah monopoli sesetengah pihak ke atas sesuatu yang boleh memudaratkan manusia seperti makanan, pakaian dan kesemua bahan-bahan keperluan asas yang lain.Semua ini menunjukkan betapa keperluan berpegang dengan maslahah hajiyah. Ia mengkhususkan perkara yang umum dan berdasarkan kepada kaedah dan perbandingan-perbandingan umum.

Thursday, July 30, 2009

ADAB MEMBACA QURAN

FADILAT MEMBACA AL-QURAN

1. “Sebaik-baik kamu adalah yang mempelajari Al-Qur'an dan mengajarnya” (Hadith riwayat Bukhari)

2. “Mereka yang membaca Al-Qur'an dan dia mahir di dalamnya maka ia bersama para malaikat pencatit yang mulia. Mereka yang membaca Al-Qur'an sedangkan ia tidak lancar bacaannya dan payah baginya untuk membaca maka untuknya dua pahala.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

3. “Bacalah Al-Qur'an kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat memberi syafaat kepada pembacanya.” (Hadith riwayat Muslim)

4. “Tiada ada hasad kecuali pada dua perkara: Orang yang Allah berikan kepadanya Al-Qur'an maka dia membacanya siang dan malam. Dan orang yang Allah berikan kepadanya harta maka ia menafkahkannya siang dan malam.” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

5. “Sesiapa membaca sehuruf dari Al-Qur'an maka untuknya satu kebajikan, dan setiap kebajikan digandakan sepuluh kali. Aku tidak berkata Alif-Lam-Mim itu satu huruf, tetapi Alif adalah huruf, Lam adalah huruf dan Mim adalah huruf.” (Hadith riwayat Tarmidzi)

6. “Berkata Allah SWT: Sesiapa yang disibukkan dengan membaca Al-Qur'an dan mengingati Aku daripada meminta sesuatu dari Aku, maka Aku akan memberikannya lebih baik dari apa yang diminta oleh orang lain. Dan kelebihan perkataan Allah (Al-Qur'an) atas perkataan-perkataan lain adalah seperti kelebihan Allah atas makhluknya.” (Hadith riwayat Tarmidzi)

7. “Bacalah Al-Qur'an kerana Allah SWT tidak mengazabkan hati yang menyimpan Al-Qur'an. Dan sesungguhnya Al-Qur'an ini adalah jemputan Allah. Siapa yang mendatanginya maka ia akan merasa keamanan. Dan sesiapa yang cinta akan Al-Qur'an maka bergembiralah.” (Hadith riwayat Ad-Darimy)

ADAB MEMBACA AL-QURAN

1. Ikhlaskan niat.

2. Bersabar.

3. Mulakan bacaan dengan Bismillah.

4. Banyak berdoa kepada Allah SWT

5. Bersih dari hadas kecil dan besar.

6. Sebaiknya menghadap kiblat.

7. Memakai pakaian putih yang bersih dan menutup aurat.

8. Jangan banyak berkata dan ketawa ketika membaca dan menghafal.

9. Memberikan tumpuan sepenuhnya.

10. Jangan membaca ketika mengantuk atau menguap.

11. Berhenti membaca ketika ingin membuang angin.

12. Menghormati Al-Qur'an.

13. Menghormati guru.

14. Solat dua rakaat sebelum memulakan kelas.

1

ULAMAK DAN PERANANNYA

ULAMAK DAN PERANANNYA

Firman Allah dalam surah ghafir ayat 28

Maksudnya : Sebenar insan yang bimbang dan takut melanggar perintah Allah daripada kalangan hamba –hambaku hanyalah orang-orang yang berilmu.

Sabda Rasululah s.a.w

Maksudnya : Para Ulamak (yang berilmu) pewaris nabi-nabi ertinya ulamak pada pandangan Hasan Albasri dengan berpandu kepada sabda Rasulullah s.a.w beliau berkata :

Umpama para ulamak di bumi sama seperti bintang-bintang di langit, apabila timbul bintang-bintang di langit nescaya manusia menemui jalan-yakni apabila para ulamak berada di samping manusia, maka manusia itu akan dapat hidayah dan apabila bintang-bintang itu hilang menyepi maka manusia akan meraba-raba yakni apabila ulamak menyepi diri tidak bersama dalam masyarakat maka orang ramai dalam kesesatan, bengong dan sesat.

ULAMAK PADA : SUFYAN ASSAURI katanya :

Ertinya : Amalan maksiat, buruk, jahat adalah penyakit manakala para ulamak pula adalah sebagai ubat atau penawar maka apabila rosak para ulamak (rosak akhlak, cara berfikir dan bertindak ) maka siapakah yang boleh mengubati penyakit?

Huraian:

Apabila dikatakan kepada seseorang dan kumpulan sebagai ulamak apalagi jika mereka dimasyhurkan sebagai ulamak atau orang berilmu maka secara langsung merekalah disebut sebagai golongan yang paling takut kepada Allah dan orang paling arif untuk tidak melanggar perintah Allah dialah orang paling sempurna melaksanakan suruhan Allah dan semua suruhan kerana para ulamak pada Rasulullah s.a.w. ialah golongan insan yang diberi taraf sebagai pewaris para nabi dan bertanggungjawab menerima pusaka nabi-nabi serta menjalankan tugas keseluruhan kerja-kerja yang telah dilakukan oleh nabi-nabi semasa hayat mereka. Di antara tugas dan tanggungjawab para-para ulamak :

1. Menyampaikan Islam kepada manusia dengan tepat penuh amanah, ikhlas dan jujur.

2. Memberi nasihat kepada pemimpin menegur dan membetul kesalahan, kesilapan, memberi tunjuk ajar khususnya urusan keakhiratan.

3. Nasihat dan tunjuk ajar hendaklah disampaikan dengan penuh hikmah dan berakhlak.

4. Semua pendangan dan nasihat tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur peribadi , pangkat, harta puak dan politik.

5. Semua nasihat dan pandangan berlandaskan Nas al-Quran, hadis yang sahih, pendapat ulamak muktabar sebagai rujukan.

Ini merupakan sebahagian ciri-ciri ulamak pewaris nabi yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w berpandukan kepada sabda Rasulullah s.a.w di atas. Sahibulfadilah Hassan al-Basri menyatakan dengan penuh yakin dan tegas, bahawa para ulamak adalah sebagai petunjuk utama selepas Rasulullah dan nabi-nabi merekalah sebagai penghidayah disisi Allah selepas para ambia tanpa para ulamak manusia akan sesat, sementara Sufian Athauri dalam ingatan dan nasihatnya kepada para ulamak dan menyatakan bahawa diibaratkan sebagai ubat atau penawar kepada segala penyakit keburukan yang dihadapi oleh manusia. Keburukan dan penyakit yang dimaksudkan oleh Sufian Athauri ini ialah kemungkaran, kejahatan yang dilakukan oleh manusia maka ubatnya bagi Abu Sufian ialah para ulamak.

Dalam masa yang sama juga Abu Sufian dalam kata-katanya juga mengingatkan para ulamak sentiasa luhur, baik, tidak dicemari oleh tingkah laku dan perbuatan yang bertentangan dengan Islam sebab apabila ulamak digolong ke dalam kumpulan orang yang fasik, jahat dan suka buat maksiat maka sudah tentu tiada siapa lagi yang akan memberi nasihat kepada yang melakukan kejahatan dan yang membuat maksiat. Jika akhlak masyarakat rosak kerana ditimpa berbagai penyakit dan kesusahan sedangkan pada masa yang sama ulamak juga telah rosak akhlak dan peribadinya maka siapakah akan menjadi petunjuk dan penasihat? Sudah tentu tiada. Apabila berlaku keadaan seumpama itu, maka penyakit keburukan, kejahatan akan merebak dan akan berlaku berleluasa. Ringkasnya ulamak tulin berilmu yang dimaksudkan oleh Allah dan Rasul perlu ada dalam masyarakat. Kita perlu minta perlindungan Allah agar jangan ada ulamak yang menjadi perosak atau pembawa penyakit kepada pemikiran dan cara hidup yang terkeluar daripada akhlak atau peradaban Islam yang benar, sahih menurut al-Quran, melalui keterangan hadis-hadis yang sahih berpandukan tauladan kepada amalan para sahabat dan Imam mujtahidin. Bberpandulah kepada mereka insyaallah kita akan selamat.“

SIAPA ULAMAK ?

KATEGORI ULAMA MENGIKUT DR MUSTAFA ASSAIBAIE

SEDUTAN DARIPADA KITAB BERTAJUK

Akhlaquna Al-Ijtimaiah halaman 197-213

Oleh: Dr Mustafa Assibaie

Terjemahan: Sidang Penulis Firqah Rabbaniah

SIKAP / PENGLIBATAN MENYELESAIKAN MASALAH MASYARAKAT, PEMBAWAAN DAN PENDEKATAN ULAMAK DULU DAN KINI.

Apabila kita teliti secara mendalam di dalam al-Quran al-Karim perakuan Allah s.w.t. terhadap kemuliaan para ulamak memang amat tinggi darjatnya. Demikian juga baginda Rasululah s.a.w. telah meletakan harapan yang cukup mulia dan murni terhadap para ulamak, seterusnyalah oleh para sahabat dan para tabi’e dan salfusolih.

Ulamak pada sisi Allah s.w.t. ia digolongkan di dalam umat Islam bertaqwa kepada Allah dan merekalah insan yang amat bimbang dirinya terjerumus di dalam dosa dan maksiat.. Mereka menjauhkan dirinya bukan sahaja tidak melakukan perkara yang diharamkan oleh Islam, tetapi menjauhi juga perkara-perkara yang syubhat. Sila lihat firman Allah dalam surah Fatir ayat 28 yang bermaksud:

...................... Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Alim (yang berilmu). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.

Sementara Rasulullah s.a.w. telah meletakan para ulamak sebagai pewaris para nabi-nabi dengan harapan yang tinggi agar mereka menerima pusaka para nabi itu dengan penuh amanah dan bertanggungjawab serta bijaksana, semata-mata kerana kebesaran dan keredhaan Allah s.w.t.

Begitu juga para sahabat Rasulullah s.a.w,, para salafulsolih telah meletakkan para ulamak pada tempat yang istimewa di kalangan manusia sehingga kepada kedudukan yang sama taraf dengan pemimpin dan pemerintah. Harapan dan perakuan yang tinggi ini diungkapkan dalam berbagai ungkapan seperti kata-kata Hassan al-Basri; Ulamak sebagai penjana kebaikan manusia. Imam Hambali, dan imam Syafie mengungkapkan sebagai matahari menyinari dunia dan seperti afiah memberi kebahagiaan kepada tubuh badan manusia. Imam Ahmad Hambali pernah bertanya anaknya yang bernama Abdullah sambil berkata, wahai anakku? Apabila ulamak berfungsi sebagai matahari menyinari dunia dan afiah membina kesejahteraan manusa; maka adakah lagi sesuatu yang lain daripada perkara itu boleh mengatasi kelebihannya?.

Seterusnya para sahabat dan tabi’e mengungkapkan sanjungan kepada ulamak. Dengan kata contoh yang tertinggi dan mulia. Hasan menyebut ulamak seperti bintang di langit, Abu sufian meletakkan darjat ulamak sebagai seorang pakar perubatan. Al Fadhil bin Iyadh menyatakan ulamak sebagai penyenang hati manusia. Banyak lagi ungkapan mulia dan tinggi disebut oleh para sahabat yang diberi kepada ulamak.

Oleh yang demikian perkataan ulamak yang hendak disandarkan kepada seseorang yang berilmu tidaklah semata-mata bersandarkan kepada kecerdikan dan banyak ilmunya sahaja, tetapi hendaklah dilihat dan berpandukan kepada kebijaksanaan, ketaqwaan, ikhlas, amanah, akhlak dan sahsiahnya seperti tariff umum yang dibayangkan di dalam al-Quran dan sunah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat yang tersebut di atas.

SIFAT DAN SAHSIAH ULAMAK

1. Bertaqwa kepada Allah s.w.t. dalam erti kata taqwa melaksanakan segala perintah Allah dengan sesunguh hati dan ikhlas dan bimbang dirinya daripada terjerumus kepada larangan Allah.

2. Sahsiah dan tindak tanduk dirinya sentiasa diambil sebagai pencetus kepada kebaikan..

3. Tindakan dan tuturkatanya boleh dijadikan penyuluh (hidayah) untuk semua insan dan menjadi pandu arah menuju kebenaran itulah yang dimaksudkan oleh Ahmad bin Hambali.

4. Sahsiah ulamak ialah warak dengan maksud tidak buat perkara haram atau perkara syubhat.

TUGAS DAN PERANAN ULAMAK

Para ulamak biasanya akan sentiasa berhadapan dengan masyarakat. Dalam dua keadaan :-

1. Ketika ulamak berhadapan dengan masyarakat yang jahil tentang agama maka ketika itu ulamak berperanan sebagai jurucakap memberi penerangan menyatakan dengan tegas dan berani bagi menegakkan kebenaran sehingga setiap yang kabur menjadi nyata kebenaran dan lahir kesahihanya seterusnya pandangan dan kenyataan para ulamak tersebut boleh menghapuskan keraguan atau persepsi-persepsi buruk yang berlaku terhadap agama atau terhadap sesuatu yang tidak benar.

2. Apabila para ulamak berhadapan dengan masyarakat yang menentang agama yang sengaja atau tidak sengaja bermusuh dengan agama, maka ketika itu para ulamak mesti bangun bertanggungjawab mengubah permusuhan mereka itu menjadi sahabat dan kawan serta segala pemikiran permusuhan perselisihan faham terhadap Islam itu diperbetulkan dan dikembalikan kepada tempat yang sebenar. Pembetulan-pembetulan yang diusahakan oleh ulamak tersebut hendaklah berterusan sehingga masyarakat kembali menjadi satu masyarakat yang bersatu padu, aman makmur sejahtera. Tindakan yang dilakukan sebagai penyelesaian itu juga hendaklah tidak berlaku kezaliman terhadap sesiapa, tidak ada si fakir yang tidak dibela, tidak ada si jahil dijadikan ketua dan tidak ada mana-mana suku kaum yang tidak dicakna. Malah semua lapisan masyarakat berasa senang dan gembira kerana pandangan dan fatwanya.

Kebijaksanaan dan pandangan ulamak yang menzahirkan buah fikiran, tunjuk ajar tersebut hanya akan dilahirkan oleh ulamak yang berpegang teguh dengan ajaran syariat, berpaksikan kesempurnaan ilmu, taqwa, jujur dan amanah berakhlak mulia dan luhur bukan hawa nafsu, imusional dan berkepentingan.

Ulamak terbahagi kepada lima golongan

Pertama

Ulamak kategori pertama ini sikap dan pendirian mereka dari segi taqwa dan keinginan kepada kesucian jiwa adalah boleh dikatakan tinggi, dan ikhlas. Dari segi ibadah dan ilmunya serta cara hidupnya kepada Allah s.w.t. juga adalah tinggi, kuat dan ikhlas. Mereka tidak ikut campur hal-hal kemasyarakatan dan tidak melibatkan diri dalam hal-hal keduniaan, dengan kata-kata mudah susah payah orang ramai mereka tidak ambil bahagian, tidak ikut campur dan tidak ikut serta bersama orang ramai termasuklah dalam urusan pertahankan agama, bangsa dan tanah air dan politik Negara.

Ringkas kata ulamak ini boleh disebut sebagai ulamak kolot, jumud. Mereka tinggalkan perkara dunia kononnya kerana ingin bertanggungjawab terhadap Allah hanya melalui amalan zikir, wirid dan membaca al-Quran, mereka meninggal kewajipan dunia dan tidak berusaha mengambil peranan sebenar sebagai a’bid dan khalifah Allah di muka bumi. Mereka ini sebenarnya lupa kepada firman Allah dalam surah al-Imran ayat 104 yang bermaksud:- Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala yang baik serta melarang daripada segala perkara yang salah (mungkar) buruk dan keji dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya”

Ulamak seperti ini boleh juga dianggap sebagai “Tok Lebai Kampung” biasanya mereka mengasingkan diri dan tidak ada rasa untuk mendengar apa-apa bicara atau uasaha hal-hal keduniaan, malah sikap mereka kononnya jika seseorang itu mahu selamat dan bertanggungjawab dengan Allah maka ia perlu lupakan segala kesenangan dunia termasuk isi kandungan dunia.

Mereka seperti ini biasanya bersikap suka dan sibuk dengan perkara remeh temeh dan perkara-perkara khilafiah, melakukan ibadat-ibadat sunat, tetapi lupa kepada perkara besar yang melibatkan kesejahteraan umah, keamanan dan perpaduan bangsa dan kemajuan Negara. Sikap seperti ini telah menjadi cara hidup mereka disebabkan kejumudan sifat kekampungan akal mereka dalam memahami nas-nas al-Quran dan Sunah Rasulullah s.a.w. dan kerana terlampau berpegang kepada petua-petua yang didapati daripada kitab lama/pendapat lama dan tidak membaca kitab-kitab tulisan ulamak semasa. Akibat daripada sikap demikian mereka beranggapan bahawa syariat Islam yang diturunkan Allah tidak harus dibahas dan tidak menerima perubahan, sekalipun keadaan semasa telah berubah dan kepentingan umum semasa juga telah berubah.

Kumpulan yang disebut sebagai “ulamak kampung” seperti ini menjadi buruan kesukaan orang-orang yang suka melihat umat Islam kekal dalam kemunduran dan kejahilan untuk memudahkan musuh Islam melakukan sesuatu bagi menghancurkan seluruh kekuatan umat Islam kerana jika kumpulan ini kekal berada dan menguasai dalam masyarakat maka tidak ada lagi ulamak tulin yang mampu menangani kepincangan umat Islam yang sekali gus boleh memerangi sesuatu yang bercanggah dengan syariat Islam sebenar.

Hakikatnya ulamak golongan seperti ini terlewat pandang atau lupa atau jahil dengan al-Quran, Sunah-sunah(perbuatan dan kelakuan) Rasulullah s.a.w. dan hadis riwayat Ahmad dan Atthabarani dan Ibnu Majah yang bermaksud; sebaik-baik perjuangan (jihad) ialah perkataan (pandangan / nasihat ) yang benar kepada pemimpin yang zalim. Mereka tidak peka dengan syariat Islamiah, bahawa mengadakan kegiatan ilmiah memberi pelajaran dan kesedaran serta mengadakan majlis nasihat untuk memperluaskan ilmu Islam di bidang ekonomi, pertahanan dan sebagainya adalah lebih baik daripada ibadah sunat. Jika mereka seperti ini faham dan sedar tentang kaedah Islamiayah yang bermaksud bahawa kemuliaan martabat seseorang muslim ialah perjuangannya di jalan Allah (Berjihad) adalah lebih baik daripada solat sunat tujuh puluh tahun bersama keluarganya tetapi mereka gagal ke arah tersebut kerana kejumudan akal dan ilmu mereka.

Kedua

Ulamak kategori ini; jiwa, hatinya amat baik dan jujur terhadap Islam. Hatinya juga amat sayang kepada agama. Pada masa yang sama mereka seperti ini dianugerahkan pangkat kedudukan dan pakaian keagamaan untuk memudahkan orang ramai menyanjungi mereka dan memuja mereka sebagai si alim yang suci dan keramat. Malah ada orang ramai mengambil berkat dengan mencium tangan mereka dan mendewa-dewakan mereka sebagai ulamak yang suci peribadinya dan tempat ambil berkat.

Ulamak jenis ini ada di antara mereka tertipu atau terpengaruh dengan perkara baru dalam kehidupan mereka kerana dalam suasana mereka diberi sanjungan sebagai ulamak keramat mereka juga dianugerahkan dengan pangkat dan kedudukan tinggi kadang-kadang kepada peringkat menteri dan bersama-sama dengan pemimpin Negara. Mereka ditonjol dan dinobatkan sebagai ulamak teratas kemudian diberi ruang mengadakan ceramah-ceramah perdana di serata tempat untuk kepentingan tertentu, ada kalanya mereka mengambil tempat imam-imam masjid untuk menyampaikan khutbah Jumaat dipelbagai perhimpunan dan majlis-majlis rasmi. Di tempat-tempat seperti ini, ulamak ini diluahkan dengan pujian yang tinggi keilmuan dan kealiman mereka serta disusuli pula dengan tepuk sorak yang gemuruh oleh para hadirin pada majlis-majlis tersebut. Disebabkan jolokan, sanjungan, pangkat dan upahan yang tinggi dan banyak itu, mereka tidak malu-malu dan tidak segan-segan berceramah di merata tempat sekalipun terpakasa berbohong bernifak dengan kenyataan yang berlaku oleh kerana terpengaruh dengan sogokan dan upahan tersebut sehingga ada di kalangan mereka menghalalkan perkara yang haram melalui telatah perbuatan, mereka seperti ini tidak keterlaluan jika orang ramai mengecap/menyebut mereka sebagai ulamak upahan. Kita minta jauhkan daripada golongan ini. Yang mendukacitakan; Ulamak upahan ini dilabelkan dengan berbagai-bagai label kemuliaan dan kekeramatan oleh golongan yang berkepentingan demi mencari makan dan kepentingan politik masing-masing. Ulamak diperdagangkan kepada orang awam yang selanjutnya ulamak tersebut memperdagangkan agama kerana upahan dan pujian.

Ketiga

Ulamak ini amat sayang kepada agama dan cukup sensitif dengan perkara-perkara yang terlibat dengan hukum agama. Mereka menyuruh dan menyeru mengenai amal maƔruf dan nahi mungkar. Dalam masa yang sama mereka lupa tentang semangat (ruh) syariat dan matlamat syariat di bidang kemasyarakatan dan pengurusannya. Ulamak ini boleh disebut sebagai (ulamak kampung) .Keadaan ini boleh dilihat daripada tindakan aktiviti seharian mereka. Di antaranya sebagai contoh; mereka sangat mengambil berat tentang sembahyang, puasa dan syiar-syiar keagamaan, tetapi langsung tidak berusaha tentang matlamat maqasid syariah tentang solat dan puasa, mereka memandang enting tentang membina sekolah dan memajukan pengajian untuk orang ramai demi mendidik akhlak dan memperbetulkan budaya hidup seperti yang dicadangkan oleh al-Quran iaitu bagaimana melarang orang ramai daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Mereka sudah berpuas hati dengan simbol dan logo-logo keagamaan tanpa mengambil berat tentang pendidikan akhlak serta kemurniaan Islam yang sebenar. Jesteru itu kita dapati sikap mereka sudah berpuas hati dengan beberapa orang bersembahyang jemaah bersamanya di masjid, dan merasa cukup selesa dengan orang bersegera ke masjid apabila bilal melaungkan azan di masjid sedangkan orang berkenaan berkarat dengan perbuatan dosa. Pakaian yang dianggapnya solih itu iaitu hasil daripada riba dan harta haram tidak dikira kerana dalam waktu yang sama mereka menganjur dan membiayai aktiviti maksiat bilamana mereka keluar dari masjid. Ulamak ini gembira dan merasa senang hati apabila melihat seseorang muslim lain berpuasa sunat dan menghormati ulamak sedangkan orang berkenaan penghisap darah dan boleh dianggap perampas darah moden, penyamun global ke atas maruah dan hak-hak masyarakat dan manusia sejagat. Malah solat dan puasa yang dilakukan oleh orang yang dianggap baik oleh ulamak ini semata-mata untuk mengaburi mata masyarakat awam dan tipu helah bagi melindungi jenayah yang dilakukan ke atas orang ramai dan masyarakat.

Ulamak seperti ini pada hakikatnya, mereka telah lupa kepada pesanan hadis Rasulullah s.a.w. yang menerangkan kesudahan seorang wanita yang amat rajin solat sunat pada waktu malam dan berpuasa pada siang hari di sepanjang tahun tetapi perangainya, tingkah lakunya sentiasa menyakiti jirannya, kerana apabila jirannya melakukan sedikit keburukan ia menyebar keburukan itu kepada orang ramai, tetapi apabila jirannya melakukan kebaikkan ia sembunyikan kebaikkan. Kepada wanita yang seperti ini atau mana-mana individu yang berperibadi begitu baginda memberitahu ia adalah di kalangan ahli neraka. Ulamak seperti ini juga lupa kepada hadis yang menceritakan seseorang wanita akan ke neraka disebabkan seekor kucing. Ia mengurung kucing tersebut dan tidak membiarkan kucing tersebut mencari makan sendiri lalu mati.

Ulamak fanatik atau lebai kampung ini jika dilihat dari sudut lahir cukup sensitif dan amat marah tentang kemungkaran orang perseorangan mengenai perkara-perkara sunah yang kecil seperti pakai jam di tangan kiri, tok haji tak pakai kupiah, ustaz tak pakai baju jubah dan tok guru tidak pakai serban dan membesar-besarkan orang lelaki memakai cincin mas. Memang diakuai benar ianya haram, tetapi oleh kerana kejumudan ilmu akalnya mereka tidak pernah mengambil tahu terhadap orang-orang kaya yang tidak mengeluarakan zakat supaya keluar zakat, tidak pernah memberi tunjuk ajar bagaimana mengatasi gejala sosial yang sedang bermahrajalela dalam masyarakat kini seperti Mat repek, penyalahguna dadah atau memberi sokongan usaha kerajaan membasmi gejala rasuah dan membasmi kemiskinan atau memberi pandangan cara menghapuskan fitnah dan umpat mengumpat di kalangan masyarakat umum.

Ulamak jumud (fanatik) ini kalau kita bertanya kepada mereka mana lebih besar dosa di sisi Allah seorang lelaki yang melakukan maksiat (dosa) kerana memakai cincin emas berbanding seorang yang menipu harta orang atau pengumpul harta melalui rampas hak rakyat, dan dosa pemimpin yang khianat tidak menjalankan tugas dan tanggungjawab dan dosa orang yang berbohong, menipu dan sebagainya. Tentu mereka yang jumud ini tidak menemui jawapan kerana akalnya penuh tepu dengan perkara tersebut. Kalau ia disedarkan, ia akan mengaku secara senyap-senyap terhadap kejumudan akalnya.

Sepatutnya mereka harus sedar bahawa dosa khianat ke atas masyarakat awam dan perkara yang ada hubung kait dengan hak orang ramai (rakyat) adalah lebih besar dosa dan kemungkarannya di sisi Allah daripada dosa ke atas individu, kerana jika berlaku keburukan maka keburukan itu hanya kepada individu seorang sahaja. Tetapi jika maksiat yang melibatkan kerosakan orang ramai akibat daripada perbuatannya atau kecuaiannya adalah lebih besar dosanya daripada dosa yang berlaku ke atas dirinya sahaja.

Realitinya; syariat ulamak jumud ini ialah, mereka lupa atau tidak peka terhadap sunah Rasulullah s.a.w. dan hadis Nabi yang bermaksud. “Sebaik-baik perjuangan (jihad) ialah perkataan benar disampaikan kepada pemimpin yang zalim. (Hadis riwayat Ahmad Dan Atthabrani dan Ibu Majah), mereka juga lupa dengan cara hidup dan peranan ulamak sebenar yang memberi nasihat dan pandangan yang benar dan bangun mempertahankan Islam adalah lebih baik daripada ibadah sunat semata-mata.

KE EMPAT

Ulamak golongan ini ialah ulamak cari makan melalui agama dan menjadikan hukum hakam syariat Islam (halal, haram, sunat, makruh, harus) sebagai alat atau jenama tipu helah untuk mendapat sokongan dan keuntungan mengumpul rezeki atau kekayaan. Mereka ini akan mengunakan nama Islam dalam semua bentuk tindakan mereka.

Hukum halal, haram, sunat, makruh yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah mereka gunakan hanya jika dilihat memberi keuntungan dan pulangan balas yang baik kepada perniagaan dan kepentingan peribadi atau politik parti yang menjadi sumber pendapatan mereka, tetapi jika dilihat hukum hakam, sama ada halal, haram, sunat, atau makruh itu boleh mendatangkan kerugian dan hilang kepentingan diri atau puak mereka, lalu mereka turun padang untuk berceramah di serata tempat membuat penjelasan kepada orang awam bahawa yang halal itu haram, yang haram itu halal, yang sunat itu wajib, yang wajib itu makruh atau harus, yang makruh itu sunat dan sebagainya. Sehingga ada yang mengkafirkan saudaranya yang sedang bertahlil dan berzikir di dalam masjid dan malah laungan azan saudaranya di masjid bukan daripada masjid kroninya tidak dianggap sebagai yang sah azan sekalipun yang menjadi bilal itu bapak saudaranya dan kalimah azan yang dilaungkan itu sama dengan kalimah di masjidnya. Kalimah syahadat ayat al-Quran, sunnah Nabi, hadis-hadis Rasulullah s.a.w. diputar belitkan mengikut selera, suasana dan tuntutan kepentingan untung rugi perniagaan parti dan politiknya atau kumpulan mereka.

Ulamak jenis ini biasa disebut sebagai ulamak suk atau ulamak jahat, tetapi Dr Musstaffa Sibaie menamakan dengan “ulamak Fujar Asyra… (ulamak-pelacur-jahat) nama ini sangat sesuai dengan akhlak mereka kerana selain Islam menjadi alat jualan perdagangan dan perniagaan. Hukum halal haram dijadikan bahan tarikan orang ramai. Namun tidak cukup dengan demikian, tetapi setiap orang jahat dan penipu, pemutar belit, pencuri, penyamun menjadi teman rapat dan sebagi pembatu dan penolong kumpulan mereka.. Kawan-kawan rapat mereka seperti ini akan memberi sokongan kuat dan akan menjadi tulang belakang untuk menjayakan kerja-kerja jahat kerana semata-mata untuk mendapat kekayaan, pangkat dan sanjungan sebagai alim dalam masyarakatnya. Ini di antara malapetaka menimpa Islam melalui Ulamak Pelacur seperti ini.

Dr Mustaffa Sibie dalam bukunya “Hidup Mengajarku” membayangkan dalam tulisannya bahawa manusia jenis seperti ini amat-amat dibenci oleh Allah dan amat hina kepada orang Islam. Penyamun adalah lebih dekat dan lebih dikasihi oleh Allah berbanding menusia seperti ini walaupum hidup mewah tetapi menjual agama. Seorang yang jelas fasik dan jahat melakukan dosa dan maksiat kerana hendak mereka memiliki harta dan kesenangan adalah lebih dekat kepada Allah daripada si alim jahat (pelacur agama) yang berjalan bersama dengan si penyamun dan si zalim demi mengekalkan kedudukan atau ingin memiliki kekayaan dan kesenangan, Mereka berlagak sebagai ulamak dengan memakai berjubah, berkupiah dan serbannya. Sementara pembantu dan orang kuat di belakang mereka menjalankan kerja-kerja mencari makan, mereka ini terdiri daripada kalangan pengkhianat, pencuri, penyamun, dan penipu khazanah rakyat jelata dalam negaranya sendiri.

Ulamak seperti ini masih wujud di beberapa negara Islam, mereka ini sedang melakukan jenayah ke atas umat Islam dan negara Islam baik dulu mahupun hari ini. Umat Islam diseru supaya segera menghapuskan mereka ini dengan sebanyak tenaga. Sila lihat maksud firman Allah dalam surah al-Munafiqun ayat 4: Dan apabila Engkau melihat mereka, Engkau tertarik hati kepada tubuh badan mereka (dan kelalukannya); dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan fasih. Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya tunjang kekuatan yang dikehendaki. Kerana merasai bersalah, mereka sentiasa dalam keadaan cemas sehingga menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka seperti itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa(mematikan) dan menyingkirkan mereka. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya - daripada kebenaran)?

KELIMA

Ulamak Kategori jenis yang ke lima ini ialah terdiri daripada kalangan mereka yang benar-benar baik hatinya, tinggi dan mulia akhlaknya, luas ilmu, jauh pandangan, bijaksana dalam tuturkatanya, memiliki sifat terpuji, menjadi contoh tauladan kepada masyarakatnya dan memahami Islam secara mendalam bahawa Islam dan syariat Allah merupakan satu-satunya sistem untuk kemasyarakatan demi kebahagiaan, keamanan, keadilan dan kesejahteraan sejagat manusia dan alam sepenuhnya. Ulamak jenis inilah sebagai (Ulamak Tulin) ulamak Assalihin. Segala kelebihan pada ulamak ini mengatasi keempat-empat ulamak yang disebut terdahulu sebelum ini dan merekalah diberi gelaran sebagai ulamak Wararastul Anmbiyak.

Ulamak peringkat ini biasanya tidak ramai dalam masyarakat hari ini.. Kalaupun ada tetapi mereka telah dan akan berhadapan dengan ramai musuh menentang mereka sama ada daripada kalangan yang jahil dan orang-orang kafir, malah dengan orang Islam yang kononnya bergelar ulama, termasuk mereka yang tidak suka Islam berjalan mengikut yang dikehendaki Allah dan yang lebih menakutkan lagi ialah mereka akan berhadapan dan ditentang oleh empat golongan ulamak yang dinyatakan di atas iaitu:-

1.. Ulamak Kampung ( jumud )

2.. Ulamak Upahan

3.. Ulamak Fanatik

4.. Ulamak Jahat

Tidak ganjil ulamak ini dimusuhi dan ditentang kerana mereka bekerja di jalan yang seperti dilakuakan oleh para nabi terdahulu. Mereka tetap bersikap sebagai pewaris nabi-nabi mereka akan berterus terang secara hikmah dalam apa jua kebenaran tanpa ada kepentingan atau dorongan di luar kebenaran, apalagi dengan dorongan upah, nafsu dan perasaan, sebagai contoh apabila melihat sesuatu kemungkaran dia akan katakan itu adalah mungkara. Ia akan memberi nasihat secara jujur dan ikhlas. Apabila ia berhadapan dengan orang zalim ia akan bangun mencegah kezaliman dan menasihati untuk berlaku adil. Jika ada penyelewengan di mana jua sekalipun ia tetap menegur dan membetulkannya secara jelas dan berterus terang ( dengan hikmah)

Ulamak salihin seperti ini biasanya dipisah oleh masyarakat dan terasing daripada kumpulan mereka yang disebut-sebut sebagai ulamak, malah akan menjadi lebih asing lagi dengan para pemimpin ketua-ketua masyarakat termasuk pemerintah yang memikul tanggungjawab senang susah rakyat dan orang ramai. Mereka hidup di tengah-tengah masyarakat dan memang disegani oleh lapisan masyarakat, tetapi disia-siakan kelebihan dan kebaikannya sehingga tidak diiktiraf sebagi ulamak, berlakunya perkara seperti ini mungkin pemimpin takut kepada kebenaran pendapat dan fatwanya. Jesteru ulamak ini juga kadang-kadang tahap mereka dinilai sama seperti seorang paderi di gereja yang seminggu sekali orang ramai datang ke masjid mendengar khutbah mereka. Sudahlah golongan ini tidak ramai berada dalam masyarakat lalu fungsi dan peranan merteka dikurangkan atau ditiadakan langsung. Sepatutnya ulamak seperti ini merupakan kumpulan yang mampu mengislamkan minda masyarakat bersama-sama bergerak dalam kepimpinan penyusunan umah dan negara bahkan sama-sama berusaha mencari jalan memperkuatkan bagi menghapuskan segala kejahilan yang sedang berlaku dalam masyarakat. Jadikanlah mereka ini sebagai salah satu tunggak kekuatan negara di samping pemerintah yang berkuasa. Ulamak seperti inilah yang diungkapan ileh iman Ahmad Hambali sebagai Ruh atau nyawa kepada tubuh badan manusia, matahari kepada alam semesta dan a’afiah kepada manusia. Mereka seperti ini adalah ulamak Mutaqin Salihin dan insyaallah wujud di kalangan umat Islam di mana jua negara umat Islam. Kita mengharapkan ramai daripada kalangan kaum muslimin yang mendengar nasihat dan tunjuk ajar mereka. Amin!.

1

MEMBERI LALUAN KEPIMPINAN

MEMBERI RUANG KEPADA ORANG LAIN

MAKSUD AYAT 11 SURAH AL-MUJADALAH

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu untuk orang lain, sama ada dalam majlis Rasulullah s.a.w. atau pada majlis-majlis lain, maka lapangkanlah seboleh-bolehnya, supaya Allah melapangkan dalam serba serbinya untuk kamu pula nanti. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan agama daripada kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam Pengtahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan. (KEFAHAMAN AYAT (11) AL-MUJADALAH)

Imam Ar-Razi menyatakan: Yang dimaksudkan dengan ayat “supaya Allah melapangkan kepada kamu” itu merangkumi semua yang memerlukan kelapangan seperti tempat, rezeki, dada, tanah kubur, dan syurga. Ketahuilah bahawa ayat ini memberi pengertian bahawa sesiapa sahaja yang memberikan kelapangan kepada sesama hamba Allah untuk mendapatkan kebajikan dan kerehatan nescaya Allah SWT akan memberi kemudahan kepadanya mendapakan kebaikan dunia dan Akhirat.

Yang dimaksudkan: “Dan apabila diminta kamu bangun, maka bangunlah” ialah apabila diminta bangun dari tempat duduk dalam suatu majlis untuk memberi kemudahan kepada orang lain, maka bangunlah.

Al-Alamah Ibnu Kathiir telah membuat huraian yang panjang mengenai masalah ini dengan membuat tajuk HUKUM BERDIRI MEMBERI TEMPAT KEPADA ORANG YANG BARU TIBA: Dengan menyatakan: “Para fuqaha(ahli feqah) telah berbeza pendapat mengenai hukum boleh tidaknya berdiri dari tempat duduk untuk memberi keselesaan kepada orang yang baru tiba” di dalam beberapa pendapat. Ada pendapat yang menyatakan bahawa perbuatan itu sangat baik bedasarkan Hadis yang maksudnya: “Bangunlah sebagai tanda memberi hormat kepada pemimpin kamu”. Manakala pendapat lain ada yang melarang melakukan perbuatan sedemikian berdasarkan Hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang suka supaya orang memberi penghormatan kepadanya dengan cara bangun berdiri, maka hendaklah dia menempah tempat kediamannya di dalam neraka”. Ada pula para ulama yang memberikan hukum yang berlainan mengenainya dengan mengatakan: Perbuatan berdiri seperti itu boleh dilakukan ketika menyambut tetamu yang baru tiba dari perjalanan jauh dan juga bagi menyambut penguasa dan pemimpin negeri dan kawasannya seperti kisah sambutann yang diberikan kepada Sa’ad bin Mu’az ketika tiba untuk membuat keputusan hukuman ke atas puak Yahudi Bani Quraizah yang Rasulullah s.a.w. sendiri telah bersabda maksudnya: “Berdirilah kamu semua sebagai tanda hormat kepada pemimpin kamu” dengan tujuan supaya hukum dan keputusannya dilaksanakan. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda lagi maksudnya: “Adapun berdiri kerana memberi hormat yang berlebihan kepada pemimpin maka itu adalah salah satu simbol kebesaran orang ‘Ajam bukan Arab. Manakala mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. pula ialah bahawa baginda duduk di hujung majlis, tetapi kemudian baginda di lingkungi oleh orang ramai sehingga baginda menjadi berada di tengah-tengah majlis.

Ibnu Abbas menyatakan: Jika kamu diminta berdiri dan beredhar, maka berdiri dan beredharlah. Manakala disebutkan di dalam kitab Al-Bahr bahawa pada mulanya mereka diminta memberi kelapangan kepada majlis, kemudian diminta mematuhi sebarang arahan. (Al-Bahrul Muhiit:8/237).

Manakala pengertian ayat tentang “Allah meninggikan darjah orang-orang yang beriman dan berilmu di antara kamu beberapa darjat” ialah orang-orang yang beriman yang mematuhi suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya, dan orang-orang yang berilmu itu beberapa murtabat yang tinggi di dalam syurga.

Ibnu Mas’ud menyatakan: Allah SWT memuji orang-orang berilmu di dalam ayat ini dengan mengatakan: Wahai manusia! Fahamilah ayat ini dan cintailah ilmu kerana Allah befirman bahawa Dia akan mengangkat darjat orang yang berilmu itu melebihi orang yang beriman yang kurang berilmu.

Al-Qurtubi pula menyatakan: “Ayat ini menyatakan bahawa ketinggian taraf dan darjat di sisi Allah itu adalah berdasarkan ilmu dan iman, bukan berdasarkan tempat duduk di hadapan di dalam majis-majlis perjumpaan.

Maksud Hadis:

I. Janganlan salah seorang kamu meminta orang lain berdiri dari tempat duduknya dengan tujuan kamu hendak duduk di tempatnya, tetapi hendaklah kamu bersikap saling hormat menghormati dengan meluaskan tempat duduk supaya dapat orang lain duduk sama, nescaya Allah akan memberi kelapangan kepada kamu. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

II. Allah akan sentiasa menolong seseorang hamba-Nya selama hamba-Nya itu selalu suka menolong saudaranya sesama seagama. (Tafsir Ar-Razi:29/269).

III. Kelebihan orang yang berilmu ke atas orang ahli ibadat itu ialah seperti kelebihan bulan purnama mengatasi bintang-bintang lain.

IV. Yang dapat memberi syafaat pada hari Kiamat ialah tiga: Nabi-nabi, para ulama dan para syuhadaa. Maka alangkah besarnya murtabat orang-orang berilmu itu, terapit di antara para nabi dan para syuhada’ dengan pengiktirafan Rasuullah s.a.w. sendiri. (Tafsir al-Qurtubi:17/300.


RASULULLAH PEMIMPIN CONTOH

Rasulullah s.a.w. SEBAGAI PEMIMPIN CONTOH

PENDAHULUAN

Rasulullah s.a.w. telah dibangkitkan oleh Allah untuk memimpin umat manusia di dunia ini ke jalan yang selamat dan bahagia di dunia dan di akhirat. Baginda s.a.w. adalah rahmat daripada Allah S.W.T. yang tidak ternilai harganya kepada alam semesta ini, sebagaimana jelas daripada firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Dan tidaklah kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. (Al-Anbiya’:107)

Sebagai seorang Rasul yang diutuskan,darjat ketinggiannya mengatasi pemimpin-pemimpin yang lain. Baginda bersifat ma’sum iaitu terpelihara daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Maka kerana itu,arah dan tujuan yang di bawanya untuk seluruh umat manusia ini adalah benar dan terjamin. Baginda memimpin umatnya ke jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T. iaitu agama Islam. Kini Baginda s.a.w. sudah tidak ada lagi di dunia ini,tetapi umatnya tetap dijamin tidak akan sesat selama mana mereka berpegang dengan pusaka tinggalannya iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Melalui dua sumber ini umat Islam sentiasa terpimpin dalam menghadapi kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini.

Dalam menyampaikan ajaran dan perintah-perintah daripada Allah, Baginda juga memperlihatkan contoh-contoh teladan untuk diikuti oleh umatnya. Berkenaan hal ini Allah S.W.T. telah berfirman:

Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat,serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Al-Ahzab: 21)

Oleh yang demikian, dalam rencana ini kita akan melihat beberapa pengajaran dan contoh teladan yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. berkenaan kehidupannya untuk kita jadikan panduan serta ikutan dalam mengisi dan mempertingkatkan keimanan kita bagi memperolihi darjat taqwa yang diharap-harapkan. Maka untuk itu, dibentangkan sebahagian daripada bimbingan dan teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. khasnya berkenaan perkara-perkara berikut:

RUMAHTANGGA

Keharmonian hidup berumahtangga adalah salah satu faktor utama dalam membina sesebuah masyarakat yang baik dan terhormat. Rumahtangga yang baik dan harmoni ini sukar diperolihi tanpa adanya kerjasama serta saling hormat menghormati antara suami isteri dan lain-lain anggota keluarga. Suami seharusnya berkelakuan baik dan berakhlak mulia dalam mengendalikan rumahtangganya, di samping itu sentiasa memperlihatkan contoh-contoh yang baik dalam pergaulan supaya ianya mudah diteladani oleh isteri dan anak-anaknya. Di dalam rumahtangga, para suami tidak sewajarnya bertindak sebagai seorang yang keras dan bengis yang tahu mengarahkan itu dan ini dan mahukan semuanya tersedia untuknya tanpa memikirkan suasana rumahtangga yang memerlukan kasih sayang,kerjasama dan saling bantu membantu.

Dalam kehidupan berumahtangga, Rasulullah s.a.w. telah memperlihatkan suatu teladan yang baik yang boleh diikuti oleh seseorang suami dalam mengurus rumahtangganya. Sebagai seorang suami Rasulullah s.a.w. amat bertimbang rasa dan bersedia membantu keluarganya. Banyak kerja yang dilakukan dengan tangannya sendiri, seperti menjahit pakaian, memerah susu kambing dan apabila mahu makan Baginda makan apa-apa makanan yang sedia ada saja. Rasulullah s.a.w. sangat marah kepada suami yang memukul isterinya sebagaimana memukul hamba abdi, sabdanya yang bermaksud:

“Tidakkah seseorang daripada kamu merasa malu untuk memukul isterinya sebagaimana dia memukul hambanya? Di waktu pagi dipukul isterinya kemudian di waktu malam ditidurinya pula”.

Di samping Rasulullah s.a.w. menunjukkan panduan dan contoh tentang hidup tolong menolong serta perasaan kasih sayang kepada isteri, Rasulullah s.a.w. juga menunjukkan suatu teladan yang baik khususnya kepada mereka yang mempunyai isteri yang lebih daripada seorang. Sebagaimana yang diketahui umum bahawa Rasulullah s.a.w. mempunyai beberapa orang isteri yang terdiri daripadapada pelbagai peringkat umur. Ada yang masih muda dan cantik, dan ada yang sudah berumur. Walau bagaimanapun, Rasulullah s.a.w. tidak sekali-kali bersikap pilih kasih dalam layanan kasih sayang antara mereka. Masa dan giliran mereka dibahagikan dengan adil serta cukup rapi sekalipun dalam masa Baginda sakit. Apabila Rasulullah s.a.w. hendak musafir, Baginda menjalankan undi antara isteri-isterinya itu dan hanya yang terkena undi saja yang berhak bersamanya.

JIRAN

Agama Islam sangat memandang berat tentang masalah berjiran di kalangan masyarakat umat Islam khususnya dan umat manusia umumnya. Islam memberikan perhatian yang sungguh berat ke arah menjalin hubungan yang baik dan harmoni di kalangan masyarakat sesuatu tempat. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah memberi panduan dan ajaran kepada umat Islam supaya mengelakkan diri daripada segala sesuatu yang mengelakkan diri daripada segala sesuatu yang boleh mencetuskan rasa kurang baik sesama jiran. Dalam salah satu sabdanya, Rasulullah s.a.w. telah menerangkan:

Maksudnya: “ Tidak akan masuk syurga seseorang yang jirannya tidak merasai selamat daripada kejahatannya”. (Riwayat Muslim)

Dalam hadith lain yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

“ Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya; sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya; dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat. Maka hendaklah dia katakan perkara yang baik atau dia diam”.

Dalam sebuah hadith Rasulullah s.a.w. bersabda:

Maksudnya: “ Tidak beriman dengan aku seseorang yang tidur dalam keadaan kenyang sedangkan dia tahu yang jirannya dalam kelaparan”.

(Al-Bazzar)

Maksud dan tujuan daripada hadith-hadith yang tersebut adalah jelas untuk mengajar umat Islam supaya tidak menjadi manusia yang mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan kebajikan orang lain. Walaupun pengaruh kehidupan zaman moden sekarang, terutama oleh kemajuan sains dan teknologi, menjadikan seseorang merasai dirinya sudah terlepas daripada orang lain, namun tanggungjawabnya sebagai seorang individu muslim tetap kekal dan mesti dilaksanakannya.

Mengikut sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Al-Tabarani bahawa tanggungjawab seseorang terhadap jirannya ada lapan perkara:

i. Melawatnya apabila dia sakit
ii.. Mengiringi jenazah apabila dia meninggal dunia
iii. Membantunya apabila dia memerlukan bantuan
iv. Melindunginya pada masa dia dalam kesusahan dan kepapaan
v. Ucapkan tahniah apabila dia memperolihi nikmat
vi. Ucapkan takziah apabila dia ditimpa kesusahan
vii. Janagan meninggikan binaan rumah melebihi bangunan rumahnya sehingga menyekat udara kepadanya, dan
viii. Janganlah menyakitinya dengan bau enak masakan kecuali diberikan kepadanya.

ADIL

Keadilan merupakan salah satu tonggak yang terpenting bagi menjamin keamanan dalam sesebuah rumahtangga, masyarakat dan seterusnya negara. Pentadbiran yang dijalankan dengan penuh keadilan tanpa pilih kasih dan beza membeza antara anggota-anggotanya akan menjaminkan keamanan dan keselamatan.

Sebaliknya, pentadbiran yang dijalankan tanpa keadilan pasti tidak akan berjaya mewujudkan suatu suasana yang aman dan harmoni, terutamanya kepada golongan yang kurang bernasib baik. Berkenaan hal ini, Rasulullah s.a.w.. telah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sifat keadilan. Adalah diriwayatkan bahawa pada suatu hari Rasulullah s.a.w. telah menegur tindakan salah seorang sahabatnya yang bernama usamah bin Zaid r.a. yang cuba menolong seorang perempuan daripada kalangan bangsawan yang didapati melakukan kesalahan mencuri iaitu supaya hukuman hudud yang dikenakan ke atasnya diringankan. Dengan teguran oleh Rasulullah s.a.w. itu, Usamah insaf dan terus memohon ampun. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya sebab yang membinasakan orang-orang yang terdahulu daripadapada kamu itu ialah kerana apabila orang bangsawan melakukan kesalahan mencuri mereka tidak menghukumkannya tetapi apabila orang yang lemah melakukan kesalahan mencuri, mereka jalankan hukuman had ke atasnya. Demi Allah yang diri Muhammad di dalam kekuasaan-Nya sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri aku pasti akan memotong tangannya”.

Dalam menegakkan keadilan ini, Rasulullah s.a.w. tidak mengecualikan dirinya daripada terlibat sama dengan undang-undang dan peraturan yang ditentukan oleh Allah dan Rasul-Nya. Telah diriwayatkan bahawa pada masa Rasulullah s.a.w. hampir sampai ajalnya, Baginda telah memberitahu orang ramai supaya datang menuntut keadilan daripadanya sama ada berkenaan harta atau tubuh badan. Dalam hal ini, Baginda s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang mendapati bahawa aku telah melakukan sesuatu ke atas hartanya, maka ambillah hartaku ini; dan sesiapa yang telah aku lakukan kekasaran ke atas tubuh badannya, maka aku serahkan diriku ini dan balaskanlah, ketahuilah orang yang lebih utama bagiku daripada kalangan kamu ialah orang yang ada tuntutan tersebut lalu diambilnya atau dihalalkan kepadaku; maka dengan itu aku akan menemui Tuhanku dalam keadaan jiwa yang baik”.

Sebagai seorang pemimpin, Rasulullah s.a.w. memandang manusia ini sama rata tanpa membezakan antara satu sama lain. Manusia pada pandangan Rasulullah s.a.w. adalah sama seumpama samanya gigi-gigi sikat. Dilayani mereka sama saja tanpa memandang sama ada seorang itu kaya atau miskin, mulia atau hina, tuan atau hamba. Berdasarkan pada sebuah hadith daripada Imam al-Bukhari adalah diriwayatkan:

Pada suatu hari Nabi s.a.w teringat kepada seorang hitam lalu bertanyakan apakah khabar beritanya? Orang ramai menjawab bahawa dia telah meninggal dunia. Baginda bertanya lagi: Mengapakah kamu tidak memberitahu kepada ku? Mereka menceritakan kisahnya dan memperkecilkan kedudukan lelaki itu. Lalu Nabi s.a.w meminta mereka tunjukkan di mana kuburnya dan apabila Baginda sampai di kubur itu Baginda pun sembahyang ke atas nya.

JIMAT CERMAT

Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat berhati-hati dan cermat dalam kehidupannya. Dalam perbelanjaan hidupnya, Baginda memperlihatkan bahawa sekalipun Baginda menguasai sebuah kerajaan Islam yang mampu untuknya berada dalam kemewahan, namun yang ternyata Baginda bukanlah orangnya yang mementingkan keduniaan ini. Baginda mengingatkan umatnya supaya sentiasa berjimat cermat khususnya dalam perbelanjaan sehari-sehari.

Sumber kekayaan yang dimiliki hendaklah dipergunakan untuk kepentingan bersama membantu golongan yang memerlukannya, bukannya untuk dihabis dan dibelanjakan begitu saja. Agama Islam menentang tabiat dan perbuatan membazir. Menurut al-Quran, orang-orang yang suka membazir itu adalah saudara syaitan. Oleh hal yang demikian, seseorang Islam hendaklah menggunakan hartanya dengan cara yang sebaik-baiknya, kerana perbelanjaan yang dilakukan pada perkara yang tidak disukai oleh Islam amat besar padahnya di Hari Akhirat nanti. Berkenaan hal ini, Rasulullah s.a.w. ada bersabda:

Maksudnya: “ Tidak berganjak kedua-dua kaki seseorang daripada tempat berdirinya di Mahkamah Tuhan pada hari Qiamat sehingga dia disoal tentang umurnya pada perkara apakah dia habiskan, tentang ilmunya untuk apakah dia gunakan, tentang harta bendanya daripada manakah dia dapati dan ke mana dibelanjakan dan juga tentang tubuh badannya pada perkara apakah dia susutkan kemudian dan kecergasannya”.

(Al-Tirmizi)

Contohnya pada kehidupan Rasulullah s.a.w. sendiri jelas memperlihatkan betapa dirinya tidak dikuasai oleh nafsu dan pengaruh harta benda keduniaan. Baginda memakai pakaian yang sekadarnya untuk melindungi badan daripada bahaya panas dan sejuk, memakan makanan sekadar untuk hidup malah kadang-kadang Baginda tidak makan apa-apa.

Rasulullah s.a.w. tidak suka kepada orang-orang yang hidup hanya untuk menjamu seleranya saja iaitu tidak ada yang difikirkan selain daripada kepentingan perut sendiri. Sifat seumpama ini bukanlah sifat yang layak bagi seseorang muslim. Oleh yang demikian, Baginda selalu mengingatkan sahabat-sahabatnya supaya suka memberi makan kepada orang lain yang dalam kesusahan dan kelaparan. Baginda pernah menyuruh sesiapa yang ada makanan untuk dua orang hendaklah dimakan bertiga dan sesiapa yang ada makanan untuk empat orang hendaklah dimakan berlima. Dalam hubungan ini Saidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. pulang ke rumahnya bersama tiga orang dan Rasulullah s.a.w. pulang dengan sepuluh orang.

RAJIN BEKERJA

Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang rajin dan kuat bekerja. Terdapat hadith-hadith yang menceritakan penglibatan Baginda dalam menjalankan kerja-kerja bersama-sama para sahabatnya, sekalipun Baginda mempunyai kedudukan yang begitu tinggi dan sangat dihormati oleh mereka. Sejarah menceritakan bahawa dengan tangannya yang mulia Rasulullah s.a.w. bersama-sama sahabatnya bertungkus lumus mengangkat batu bata untuk menyiapkan Masjid Madinah dan demikian juga bersama-sama kaum muslimin bergelumang dengan debu dan tanah dalam menjalankan kerja menyiapkan parit untuk menahan serangan tentera musuh dalam Peperangan Khandak atau Peperangan Ahzab yang berlaku dalam tahun kelima hijrah.

Dalam suatu peristiwa yang lain, ada diriwayatkan bahawa pada masa Rasulullah s.a.w. dalam musafir bersama sahabat-sahabat, Baginda menyuruh mereka menyembelih kambing. Mendengar perintah itu salah seorang sahabatnya menawarkan diri untuk menyembelih kambing, seorang lagi sanggup untuk melapahnya, seorang lagi sanggup untuk memasaknya dan Rasulullah s.a.w. sendiri pula sanggup mencari kayu api. Walau bagaimanapun para sahabat itu tidak mahu Rasulullah s.a.w. berbuat demikian, mereka sanggup menjalankan kerja mencari kayu api itu. Namun Rasulullah s.a.w. tidak mahu sahabat-sahabatnya mengambil alih kerjanya itu. Dengan jelas Baginda menegaskan:

“ Saya tahu bahawa kamu menegah saya daripada melakukan pekerjaan itu, tetapi saya tidak suka membezakan diri saya daripada kamu, dan sesungguhnya Allah tidak suka akan hambanya yang memperlihatkannya berbeza daripada sahabat-sahabatnya”.

Di samping Rasulullah s.a.w. sentiasa memperlihatkan sifatnya yang rajin dan selalu bekerjasama dengan sahabat-sahabatnya, Rasulullah s.a.w. tidak suka kepada orang yang malas bekerja dan hanya mahu meminta-minta saja untuk menyara hidup seharian. Diriwayatkan bahawa pada suatu hari ada seorang lelaki daripada golongan Ansar datang meminta sesuatu daripadapada Rasulullah s.a.w.,lalu Baginda bertanya kepadanya sama ada di rumahnya ada sesuatu barang yang boleh dijual. Lelaki itu memberitahu kepadanya bahawa di rumahnya ada sehelai kain dan sebiji mangkuk, maka Rasulullah s.a.w. meminta supaya lelaki itu membawa kepadanya barang-barang tersebut. Apabila barang-barang itu dibawa kepada Baginda Rasulullah s.a.w. menawarkan kepada sesiapa yang mahu membelinya. Seorang lelaki menawarkan barang-barang tersebut dengan harga satu dirham, kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kalau-kalau ada yang mahu menawarkannya dengan harga dua dirham, lalu diberikan kepadanya.

Dengan wang sebanyak dua dirham itu Rasulullah s.a.w. meminta orang tersebut membelanjakan sebanyak satu dirham untuk belanja rumahnya dan satu dirham yang baki lagi untuk membeli sebilah beliung (Kapak). Kemudian Rasulullah s.a.w. menyerahkan beliung tersebut kepada lelaki itu dan menyuruhnya pergi mencari kayu dan kemudian menjualnya. Selepas lima belas hari kemudian apabila lelaki itu bertemu Rasulullah s.a.w. dia sudah mempunyai wang sebanyak sepuluh dirham. Maka dengan wang itu, setengahnya dibelanjakan untuk pakaiannya dan setengahnya lagi untuk makanannya.

MENDENGAR NASIHAT

Walaupun Rasulullah s.a.w. sebagai seorang pemimpin, baik di medan perang mahupun dalam urusan pentadbiran sehari-hari, Baginda bukanlah seorang yang keras kepala yang tidak mendapat pandangan dan buah fikiran daripada orang lain. Sejarah telah membuktikan bahawa walaupun Baginda seorang pemimpin besar, Baginda bersedia menerima pandangan orang lain.

Berkenaan perkara ini, diriwayatkan bahawa pada masa tentera Islam bersiap sedia menentang tentera musyrikin Mekah di medan perang Badar dalam tahun kedua hijrah, seorang yang bernama Al-Habab bin Al-Munzir r.a. telah bertanyakan Rasulullah s.a.w. tentang keputusan menempatkan tentera Islam sama ada ianya perintah daripada Allah ataupun suatu taktik perang, lalu diberitahu oleh Rasulullah s.a.w. bahawa penempatan itu adalah suatu taktik perang. Lalu dia menasihatkan Rasulullah s.a.w. supaya mengambil kedudukan lain yang lebih hampir kepada sumber air dan menimbus lain-lain perigi atau mata air setelah menyediakan takungan air yang banyak untuk kegunaan mereka, dan sesudah itu mereka melancarkan serangan.

Nasihat ini telah diterima oleh Rasulullah s.a.w. dan kedudukan tentera yang lebih baik ini merupakan salah satu faktor penting yang membawa kejayaan kepada kaum muslimin dalam peperangan Badar yang bersejarah ini sekalipun bilangan kaum muslimin terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah tentera musuh.

Peristiwa ini menunjukkan betapa pentingnya nasihat dan tunjuk ajar itu perlu diterima walaupun ianya datang daripada kalangan orang biasa asalkan pandangan itu benar-benar munasabah dan sesuai untuk sesuatu tindakan. Sikap mendengar nasihat serta mematuhi peraturan bukanlah semata-mata ditujukan kepada golongan mereka yang memimpin, tetapi juga mereka yang dipimpin mestilah mematuhi peraturan dan perintah supaya kejayaan daripada sesuatu usaha atau tindakan dapat dicapai.

Contohnya orang bawahan yang tidak mematuhi perintah pernah berlaku di masa Rasulullah s.a.w. lagi. Kisah ini berlaku dalam peristiwa peperangan Uhud dalam tahun ketiga hijrah. Dalam masa peperangan tersebut, Rasulullah s.a.w. telah mengarahkan tentera-tentera Islam supaya mempertahankan kedudukan masing-masing sehingga peperangan berakhir,tetapi apabila tentera musuh kelihatan hampir kalah, maka pasukan pemanah tentera Islam telah meninggalkan kedududkan mereka lalu bersegera mengumpul harta-harta rampasan. Disebabkan perbuatan mengengkari perintah inilah maka pihak musuh dapat membuat serangan balas yang begitu hebat sekali, yang meninggalkan kesan yang sungguh pahit dalam sejarah perjuangan umat Islam.

Dalam masalah mematuhi perintah, seseorang muslim dituntut supaya mematuhi dan mengikuti perintah yang dikenakan ke atasnya sekalipun perintah tersebut bertentangan dengan kehendak peribadinya mahupun kumpulannya selagi perintah itu tidak termasuk dalam perkara-perkara yang berupa maksiat atau derhaka kepada Allah. Dan bukannya sifat seorang beragama Islam kalau semata-mata tidak mahu mematuhi atau mentaati, hanyalah disebabkan berlainan pendirian atau fahaman. Diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a. bahawa Rasulullah

s.a.w. telah bersabda maksudnya:

“Wajib ke atas seseorang muslim mematuhi dan mentaati perintah sama ada yang ia suka atau tidak, kecuali dia diperintahkan melakukan perkara yang maksiat. Apabila dia diperintah melakukan maksiat maka tidaklah wajib ke atasnya patuh dan taat lagi”. (Muttafaq’alaih)

MEMAAF

Di samping sifat adil yang perlu ada pada setiap orang, seseorang itu juga perlu mempunyai sifat mulia yang lain iaitu sifat suka memberi maaf atas kesalahan orang lain terhadap dirinya. Dengan adanya sifat ini, hubungan persaudaraan dan persahabatan lebih terjamin dan dapat mengelakkan sifat dendam yang boleh merosakkan dirinya juga.

Contoh sifat pemaaf ini telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang dapat dilihat daripada suatu peristiwa yang menarik. Dalam peristiwa ini Rasulullah s.a.w. telah diancam oleh seorang musuh yang menghunus senjata kepada Baginda sambil bertanya siapakah yang akan menyelamatkannya, lalu dijawab oleh Rasulullah s.a.w. bahawa Allah yang boleh menyelamatkannya. Dengan menyebut nama Allah itu, senjata itupun jatuh ke bumi lalu diambil oleh Rasulullah s.a.w. dan sambil menghunuskan kepada musuhnya itu. Ternyata tiada siapa yang dapat menyelamatkannya lagi, namun begitu Rasulullah s.a.w. telah melepaskannya pergi walaupun dia tidak mahu memeluk Islam, kecuali dia berjanji tidak memerangi Rasulullah s.a.w. dan tidak akan memihak kepada mereka yang memusuhi Baginda.

Sifat pemarah dan suka membalas dendam selalunya menghalang seseorang daripada memaafkan orang lain. Oleh yang demikian, Rasulullah s.a.w. melarang seseorang itu menurut perasaan marahnya, kerana menurut perasaan marah ini boleh mencetuskan permusuhan dan pergaduhan, malah boleh membawa kepada pembunuhan sesama sendiri. Seseorang yang sedang dikuasai oleh perasaan marah hendaklah mencari jalan mengelakkan diri daripada berterusan dalam keadaan sedemikian sama ada dengan berwuduk,duduk atau mengingati Allah.

AMANAH

Salah satu sifat kemuliaan peribadi Rasulullah s.a.w. ialah sifat amanahnya. Sifat yang mulia ini telah menjadi darah dagingnya yang terkenal khususnya di kalangan orang-orang Mekah ialah “Al-Amin” iaitu orang yang beramah atau yang dipercayai.

Umat Islam adalah dituntut oleh agamanya supaya menjadi orang yang beramanah yang dapat memikul tanggungjawab yang diserahkan kepadanya dengan sebaik-baiknya. Rasulullah s.a.w. di samping kehidupannya yang mencerminkan peribadi yang beramanah, Baginda juga mengarahkan umatnya supaya berkeadaan sedemikian. Amanah yang diserahkan kepada seseorang itu amat banyak sekali. Isteri adalah amanah yang diserahkan kepada suami; anak-anak adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada ibu bapa, murid-murid adalah diamanahkan kepada guru, pegawai, kakitangan, buruh dan sebagainya kesemuanya diserahkan tanggungjawab yang merupakan amanah. Malah semua manusia ada amanah yang mesti ditunaikannya. Oleh sebab itu, Allah telah menerangkan bahawa sifat orang yang beriman itu antaranya ialah mereka yang menjaga amanah dan janji-janji mereka.

Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: maksudnya: “Tidak sempurna iman seseorang yang tidak ada amanah, dan tidak sempurna agama seseorang yang tidak ada janji baginya”.
(Riwayat Ahmad Ibn Hanbal)

Setiap amanah mestilah diserahkan kepada mereka yang layak, kerana sesuatu amanah yang diserahkan kepada yang bukan ahlinya akan membawa kerosakan jua.

PENUTUP

Demikian sebahagian daripada ajaran dan bimbingan Rasulullah s.a.w. yang diajar atau dilakukannya untuk dijadikan contoh dan teladan oleh kita semua. Sebagai seorang muslim, kita tidak sepatutnya membesar dan menyanjung individu yang lain sekalipun seorang yang dianggap tokoh, kerana lain-lain individu itu tertakluk kepada kekurangan-kekurangan dan kesilapan-kesilapan yang diakibatkan oleh kelemahan diri masing-masing, Pemujaan tokoh dan pendewaannya tidak seharusnya wujud dalam masyarakat umat Islam, kerana bagi kita sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w. sudah mencukupi untuk dicontohi dan diikuti. Malah kecenderungan memuja dan mengagong-agongkan seseorang tokoh, kadang-kadang telah terpesong sehingga membawa kepada penyelewengan dalam ajaran Islam.

Semoga daripada pengajaran dan contoh teladan Rasulullah s.a.w. yang dibentangkan ini menjadikan kita semakin tunduk dan patuh kepada segala ajaran Allah dan Rasulnya. Maksudnya: “Wahai Tuhan kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut Rasul-Mu; oleh itu masukkanlah kami kedalam golongan orang yang menjadi saksi yang mengakui keesaan-Mu dan kebenaran Rasul-Mu”.

(Ali-Imran:53)

AL-QURAN PEMBINA AKHLAK MULIA

Mohd Nakhaie Hj Ahmad

AKHLAK ialah tingkahlaku yang dipengaruhi oleh nilai-nilai yang diyakini oleh seseorang dan sikap yang menjadi sebahagian daripadapada keperibadiannya. Nilai-nilai dan sikap itu pula terpancar daripadapada konsepsi dan gambarannya terhadap hidup. Dengan perkataan lain, nilai-nilai dan sikap itu terpancar daripadapada aqidahnya iaitu gambaran tentang kehidupan yang dipegang dan diyakininya.

Aqidah yang benar dan gambaran tentang kehidupan yang tepat dan tidak dipengaruhi oleh kepalsuan, khurafat dan falsafah-falsafah serta ajaran yang palsu, akan memancarkan nilai-nilai benar yang murni di dalam hati. Nilai-nilai ini akan mempengaruhi pembentukan sistem akhlak yang mulia. Sebaliknya, jika aqidah yang dianuti dibina di atas kepalsuan dan gambarannya terhadap hidup bercelaru dan dipengaruhi oleh berbagai-bagai fahaman palsu, ia akan memancarkan nilai-nilai buruk di dalam diri dan mempengaruhi pembentukan akhlak yang buruk.

Akhlak yang baik dan akhlak yang buruk, merupakan dua jenis tingkahlaku yang berlawanan dan terpancar daripadapada dua sistem nilai yang berbeza. Kedua-duanya memberi kesan secara langsung kepada kualiti individu dan masyarakat. Individu dan masyarakat yang dikuasai dan dianggotai oleh nilai-nilai dan akhlak yang baik akan melahirkan individu dan masyarakat yang sejahtera. Begitulah sebaliknya jika individu dan masyarakat yang dikuasai oleh nilai-nilai dan tingkahlaku yang buruk, akan porak peranda dan kacau bilau. Masyarakat kacau bilau, tidak mungkin dapat membantu tamadun yang murni dan luhur.

Sejarah membuktikan bahawa sesebuah masyarakat itu yang inginkan kejayaan bermula daripadapada pembinaan sistem nilai yang kukuh yang dipengaruhi oleh unsur-unsur kebaikan yang terpancar daripadapada aqidah yang benar. Masyarakat itu runtuh dan tamadunnya hancur disebabkan keruntuhan nilai-nilai dan akhlak yang terbentuk daripadapadanya. Justeru, akhlak mempunyai peranan yang penting di dalam kehidupan dan dalam memelihara kemuliaan insan serta keluhurannya. Martabat manusia akan menurun setaraf haiwan sekiranya akhlak runtuh dan nilai-nilai murni tidak dihormati dan dihayati. Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus untuk melengkapkan akhlak yang mulia”. (Riwayat al-Baihaqi)

Para sarjana dan ahli fikir turut mengakui pentingnya akhlak di dalam membina keluhuran peribadi dan tamadun manusia. Akhlak yang mulia menjadi penggerak kepada kemajuan dan kesempurnaan hidup. Sebaliknya, akhlak yang buruk menjadi pemusnah yang berkesan dan perosak yang meruntuhkan kemanusiaan serta ketinggian hidup manusia di bumi ini.

Kepentingan akhlak dalam kehidupan dinyatakan dengan jelas dalam Al-Ouran menerusi berbagai-bagai pendekatan yang meletakkan al-Quran sebagai sumber pengetahuan tentang nilai dan akhlak yang paling terang dan jelas. Pendekatan al-Quran dalam menerangkan akhlak yang mulia, bukan pendekatan teoritikal tetapi dalam bentuk konseptual dan penghayatan.. Akhlak yang mulia dan akhlak yang buruk digambarkan dalam perwatakan manusia, dalam sejarah dan dalam realiti kehidupan manusia semasa al-Quran diturunkan.

Al-Quran menggambarkan bagaimana aqidah orang-orang beriman, kelakuan mereka yang mulia dan gambaran kehidupan mereka yang penuh tertib, adil, luhur dan mulia. Berbanding dengan perwatakan orang-orang kafir dan munafiq yang jelek dan merosakkan. Gambaran tentang akhlak mulia dan akhlak keji begitu jelas dalam perilaku manusia sepanjang sejarah. Al-Quran juga menggambarkan bagaimana perjuangan para rasul untuk menegakkan nilai-nilai mulia dan murni di dalam kehidupan dan bagaimana mereka ditentang oleh kefasikan, kekufuran dan kemunafikan yang cuba menggagalkan tertegaknya dengan kukuh akhlak yang mulia sebagai teras kehidupan yang luhur dan murni itu.

Aqidah Mencorakkan Akhlak

Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, nilai-nilai akhlak yang dipegang oleh seseorang dan sesuatu kebudayaan itu adalah hasil daripadapada aqidah dan gambaran tentang kehidupan itu. Pembentukan nilai-nilai akhlak itu bergantung kepada bagaimana manusia memberikan jawapan kepada pertanyaan-pertanyaan yang asasi dalam hidup. Siapakah yang mencipta alam ini dan apakah tujuannya? Apakah tujuan manusia ditempatkan di bumi dan apakah tujuan dan matlamatnya yang sebenar? Jawapan-jawapan kepada persoalan asas berkenaan kehidupan ini akan menentu dan mencorak nilai-nilai akhlak yang dimiliki oleh seseorang atau sesuatu kebudayaan. Oleh kerana terdapat berbagai- bagai jawapan kepada persoalan tersebut, maka terdapat pelbagai sistem nilai di dalam masyarakat manusia yang mencorakkan pelbagai sikap dan tingkahlaku yang membentuk berbagai-bagai kebudayaan.

Al-Quran telah memaparkan pelbagai golongan yang memberi jawapan berbeza kepada persoalan-persoalan asasi kehidupan yang membentuk konsepsi dan aqidah tentang kehidupan ini. Terdapat aqidah orang-orang beriman, aqidah orang-orang kafir, aqidah orang-orang fasik dan aqidah orang-orang munafiqin.

Aqidah orang-orang beriman dinyatakan dalam al-Quran sebagai orang-orang yang beriman kepada Allah S.W.T, kepada Rasul-Nya dan kepada keagungan Allah yang mencipta dan memiliki alam ini. Mereka yakin kepada hari akhirat, yakin bahawa kejadian Allah tidak terbatas kepada alam lahir sahaja dan kejadian Allah itu tidak terbatas dalam lingkungan yang dapat diketahui oleh manusia. Kerana itu mereka percaya kepada kejadian Allah yang ghaib, seperti malaikat, syurga, neraka dan adanya makhluk-makhluk Allah yang lain yang tidak diketahui oleh manusia dan pengetahuan manusia tidak menjadi syarat bagi menentukan sesuatu kejadian Allah harus ada atau tidak ada. Allah S.W..T bebas mengikut kehendak-Nya, untuk mencipta atau tidak mencipta sesuatu yang ada di dalam ilmu-Nya.

Aqidah ini menyebabkan orang-orang beriman sentiasa bergantung harap kepada Allah S.W.T dan tidak bergantung harap kepada yang lain daripadapada-Nya. Tujuan hidup manusia di dunia ini ialah untuk beribadah kepada Allah S.W.T. dan setiap tindak tanduk dan kelakuan serta tindakannya adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. Keredhaan Allah dan beribadat kepada Allah S.W.T. menjadi tumpuan dan pemusatan setiap aspek kegiatannya.

Pergantungan semata-mata kepada Allah memberikan kepada seorang mu'min itu kebebasan dan tidak terikat kepada mana-mana kuasa lain daripadapada Allah S.W.T. Daripadapada perasaan inilah tercetusnya pengakuan seorang muslim bahawa “Tiada Tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya melainkan Allah S.W.T.”

Manusia beriman yang sebenarnya, tidak mungkin menyembah kepada yang lain daripadapada Allah S.W.T., tidak memperjuangkan sesuatu yang dicipta oleh mana-mana kuasa selain daripadapada yang ditentukan di dalam agama Allah S.W.T. Allah S.W.T. bagi mereka adalah Tuhan Yang Maha Sempuma, Maha berkuasa dan kepada Dia-lah tumpuan segala ibadah dan segala yang baik sama ada niat atau amalan. Lihatlah bagaimana pendirian yang bebas, tegas dan berani yang ditunjukkan oleh seorang mu'min yang sejati Rab'i bin Amir ketika berhadapan dengan Panglima Rum, yang bermaksud:

“Allah sesungguhnya mengutus kami untuk membebaskan sesiapa yang dikehendaki-Nya daripadapada menyembah sesama hamba kepada menyembah hanya kepada Allah, daripadapada kesempitan dunia kepada keluasannya dan keluasan akhirat, daripadapada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam.'

Seorang mu'min berjiwa bebas, tetapi bukan sebagai debu berterbangan di udara. Kebebasan seorang mu'min sentiasa mendapat panduan dan bimbingan.. Justeru, ia tidak berkelana dan hidup tanpa tujuan. la sentiasa bergerak bebas dengan memiliki peta yang menunjukkan haluan pergerakan dan perjalanannya. la sentiasa bertindak mengikut petunjuk Allah dan berpandu kepadanya.

Seorang mu'min berperasaan halus dan berhati lembut kerana keyakinannya bahawa ia adalah hamba kepada Allah S.W.T. Segala perbuatannya akan dinilai dan dihitung serta diberikan balasan atau ganjaran dengan adil dan saksama. Wawasannya, tidak semata-mata untuk mendapatkan habuan dan ganjaran di dunia, tetapi juga di akhirat. Tentunya, ganjaran di akhirat adalah lebih baik daripadapada di dunia. Kerana itu, ia sanggup mengorbankan kurniaan Allah di dunia, untuk mendapatkan kurniaan Allah di akhirat.

Aqidah dan pandangan hidup yang asas ini, memancarkan nilai-nilai yang murni dalam jiwa orang-orang beriman. Nilai-nilai ikhlas untuk Allah S.W..T. dan tidak tunduk beribadah melainkan kepada Allah S.W.T adalah merupakan nilai yang agung yang membentuk akhlak yang murni dan jiwa yang luhur dalam kehidupan orang-orang beriman. Ia membentuk akhlak terhadap Allah S.W.T. dan akhlak terhadap sesama manusia.

Hubungan manusia dengan Allah S.W.T dan kelakuannya terhadap Allah S..W.T. ditentukan mengikut nilai-nilai aqidah yang ditetapkan. Begitu juga akhlak terhadap manusia dicorakkan oleh nilai-nilai aqidah seorang muslim, sepertimana yang ditetapkan di dalam al-Quran yang merupakan ajaran dan wahyu daripadapada Allah S.W.T. Pergaulan manusia dengan manusia tidak boleh disamakan dengan perhubungan manusia dengan Allah S.W.T.

Aqidah dan pegangan seorang beriman berbeza dengan aqidah dan pegangan seorang kafir. Justeru, nilai-nilai dan akhlak juga berbeza. Al-Quran memaparkan aqidah dan pegangan orang-orang kafir dalam pelbagai kategori, justeru terdapat pelbagai bentuk kekufuran yang berlaku di kalangan umat manusia. Antara kekufuran yang berlaku disebabkan mereka menolak ajaran yang benar yang dibawa oleh utusan Allah S.W.T. dan mereka menafikan kerasulan utusan itu. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Maka berkata pembesar-pembesar yang kafir itu daripada kalangan bangsanya, ini tidak lain daripadapada manusia seperti kamu. Ia hendak menonjolkan diri supaya lebih daripadapada kamu. Jika Allah hendak turunkan utusan, Dia akan turunkan malaikat . Kita tidak mendengar daripada bapa-bapa kita yang terdahulu mengenai ini (utusan Allah daripada kalangan manusia)”. (al-Mu'minun: 24)

Kekufuran juga berlaku kerana tidak percayakan hari akhirat. Kerana percaya bahawa tidak ada kehidupan selepas mati, mereka hidup berfoya-foya di dunia ini tanpa memikirkan seksaan di akhirat. Bagi mereka seperti yang dinyatakan oleh al-Quran “kehidupan ini cuma di dunia”. Manusia dilahirkan dan kemudian mati, mereka tidak dibangkitkan kembali, seperti kata mereka yang bermaksud:

“Kehidupan kita tidak yang lain daripadapada kehidupan di dunia. Daripadapada tiada kita ada dan hidup. Apabila mati kita tidak dibangkitkan lagi”.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

“Dan berkata pembesar-pembesar daripada bangsanya yang kafir dan mendustakan kehidupan akhirat dan kami jadikan berfoya-foya dalam kehidupan mereka di dunia, orang ini, hanyalah seorang manusia seperti kamu. ia makan daripada apa yang kamu makan dan minum daripada apa yang kamu minum”.
(al-Mu'minun: 33)

Kekufuran juga berlaku disebabkan sifat bongkak dan sombong serta ingkar kepada perintah Allah dan angkuh terhadapnya. Allah berfirman berkenaan kekufuran Iblis yang bermaksud:

“Dan ketika Kami berkata kepada malaikat sujudlah kepada Adam. Mereka pun sujud, kecuali lblis. la ingkar dan takabur dan ia daripadapada orang-orang kafir”. (al-Baqarah: 34)

Aqidah orang-orang kafir yang sombong terhadap Allah S.W.T, yang tidak percaya kepada para rasul yang diutus oleh Allah dan ajaran-ajaran yang mereka bawa, yang tidak percaya kepada hari akhirat dan tidak patuh kepada hukum-hukum Allah dengan ingkar kepada hukum-hukum itu, membentuk nilai-nilai kelakuan dan cara hidup yang menjurus ke arah kehidupan yang tidak berakhlak mulia dan luhur. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka”. (Muhammad: 12)

Mereka tidak mempunyai matlamat yang murni dan abadi dalam kehidupan mereka. Kehidupan ini bagi mereka mencari makan, mencari harta dan berfoya-foya semata-mata untuk di atas dunia ini. ltulah sahaja kehidupan mereka. Selain daripadapada itu, tiada matlamat yang jauh yang hendak dituju. Pandangan dan cara hidup mereka ini, sudah tentu mempengaruhi pembentukan akhlak mereka yang pincang dan bercelaru.

Satu lagi aqidah kekufuran yang berbahaya ialah munafiq yang “pepat di luar rencung di dalam”, “telunjuk lurus kelingking berkait”. Bahaya kekufuran ini sangat dahsyat kerana sikap pemusuhan dan dendam mereka terhadap orang-orang yang beriman. Gambaran tentang aqidah mereka penuh dengan gambaran kepura-puraan. Mereka mengaku beriman, tetapi mereka sebenarnya tidak beriman. Mereka berpura-pura percaya kepada Nabi s.a.w. yang diutus oleh Allah S.W.T. tetapi dalam hati mereka benci dan memusuhi baginda. Mereka memandang rendah kepada ajaran Nabi s.a.w. dan sering
mempertikaikan ajaran itu. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

“Dan di kalangan manusia ada yang berkata: “kami beriman dengan Allah dan Hari akhirat”. Pada hal mereka bukan daripadapada orang-orang beriman”. (al-Baqarah : 8)

Aqidah munafiqin, melahirkan sifat-sifat dan kelakuan-kelakuan keji yang mewakili akhlak yang buruk. Untuk menyembunyikan kekufuran, mereka berdusta, memutar belitkan kebenaran, memungkiri janji dan mengkhianati amanah.. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Tiga perkara yang sesiapa yang mempunyainya di dalam diri maka ia adalah munafiq. Apabila bercakap ia dusta, apabila berjanji tidak dikotakan dan apabila diberi amanah ia khianat”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nilai-Nilai Mutlak Dan Relatif

Selain daripadapada memaparkan konsep dan penghayatan akhlak secara konsepsi dan praktikal dan membezakan antara akhlak orang yang beriman dan orang yang kafir berasaskan kepada perbezaan aqidah mereka, al-Quran menghuraikan pengertian akhlak Islam yang didokong dan dihayati oleh orang beriman. Akhlak Islam dijelaskan berdasarkan kepada model insan kamil yang terdapat dalam diri Rasulullah s.a.w. yang telah merealisasikan pengertian akhlak al-Quran dalam kehidupan yang realistik. Rasulullah s.a.w. dikatakan sebagai al-Quran yang berjalan. Aishah ra. berkata 'Adapun akhlak baginda ialah al-Quran'. Kerana itu nilai-nilai asas yang membentuk akhlak Islam ialah nilai-nilai mutlak. Nilai-nilai asas ini, tidak bersifat relatif atau nisbi. Nilai-nilai asas yang membentuk akhlak Islam, tidak berubah-ubah mengikut zaman dan tempat. la tidak hanya baik pada masa yang lalu dan tidak baik untuk masa sekarang. Apa yang diperakukan oleh al-Quran dan al-Sunnah sebagai baik, maka ia adalah baik untuk sepanjang zaman dan tempat. Apa yang dianggap tidak baik, maka ia adalah tidak baik untuk selama-lamanya. Apa yang baik adalah halal dan yang buruk dan tidak baik itu adalah haram. Perkara halal dan yang haram diterangkan dengan jelas.

Nilai-nilai yang baik dan buruk diprogramkan ke dalam hukum-hukum yang menentukan sama ada sesuatu perkara itu boleh dilakukan atau tidak boleh dilakukan, yang mesti dilakukan atau tidak mesti dilakukan, atau mesti ditinggalkan atau dijauhkan . Hukum-hukum itu ialah wajib, sunat, haram dan makruh. Perkara-perkara yang telah diprogramkan ke dalam hukum-hukum ini adalah mutlak sifatnya. Akan tetapi perkara-perkara yang termasuk dalam perkara harus adalah relatif sifatnya.

Nilai-nilai akhlak Islam, berbeza dengan nilai-nilai tamadun Barat yang semata-mata bergantung kepada akal dalam menentukan nilai-nilai baik dan tidak baik. Kerana itu, kebanyakan nilai-nilai dalam tamadun barat bersifat relatif. Pada hari ini ia difikirkan sebagai baik dan di masa yang lain ia ditolak sebagai baik. Begitu juga yang dipandang buruk pada hari ini, tidak lagi dianggap demikian pada masa yang lain. Homoseksual dan Lesbian, dahulu dianggap haram dan tidak baik. Sebaliknya hari ini perbuatan itu dihalalkan dan dibenarkan sebagai legal serta mendapat hak-hak dan perlindungan perundangan. Kenisbian nilai-nilai akhlak ini, menimbulkan huru hara nilai yang mengakibatkan kepincangan akhlak.

Rasulullah s.a.w. adalah contoh seorang hamba Allah yang bersyukur iaitu contoh berakhlak mulia dan tinggi dalam hubungan dengan Allah S.W.T. lni berasaskan kepada peribadahan yang dilakukannya dengan penuh ikhlas mengikut sistem peribadahan yang ditentukan oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Mereka tidak diperintahkan melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan ikhlas serta mempunyai sistem agama”. (al-Bayyinah: 5)

Orang-orang kafir musyrik yang beribadah kepada yang lain daripadapada Allah S.W.T. adalah manusia yang tidak berakhlak dan berlaku biadab terhadap Allah S.W.T. Abu Lahab, Firaun, Namrud dan lain-lain adalah contoh manusia yang tidak berakhlak dan biadab terhadap Allah S.W.T. Mereka takbur, bongkak dan sombong. Mereka melakukan kemungkaran, kezaliman dan kerosakan di bumi akibat daripadapada kesyirikan mereka terhadap Allah. Nilai-nilai syirik menjadikan mereka manusia yang tidak bermoral dan makhluk perosak yang meluas seperti di kalangan generasi baru masyarakat barat.

Model Akhlak Al-Quran

Akhlak Rasulullah s.a.w. adalah model akhlak-akhlak mulia yang dihurai dan dijelaskan dalam al-Quran. Keterangan jelas berkenaan konsep akhlak mulia dalam al-Quran, bukan sahaja untuk difahami, tetapi untuk dilaksanakan. Contoh kepada penghayatan dan kaedah penghayatan itu ialah kehidupan Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w. seorang mu'min yang terulung. Seorang yang telah diasuh dan dipelihara akhlaknya oleh Allah S.W.T. untuk dijadikan seorang rasul dan contoh insan kamil yang menjadi ikutan dan teladan sepanjang zaman. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya engkau memiliki akhlak yang sungguh agung”. (al-Qalam: 4)

Juga firman-Nya yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik”. (al-Ahzaab: 21)

Rasulullah s.a.w. dan para sahabat yang beriman dengannya, adalah para hamba Allah S.W.T. yang tekun mengerjakan ibadat dan tunduk khusyu' merendah diri kepada Allah S.W.T. takut dan mengharap kepada-Nya, bertawakal serta bersyukur kepada-Nya. Wajah mereka berbekas kesan daripadapada sujud. Pada waktu siang mereka menjadi pahlawan gagah membela agama Allah S.W.T. Sedangkan pada waktu malam air mata mereka berlinang kerana insaf dan memohon keampunan daripadapada Allah S.W.T. Al-Quran menggambarkan pengabdian mereka kepada Allah S.W.T. dengan firman-Nya yang bermaksud:

“ Nabi Muhammad (s.a.w.) ialah Rasulullah dan mereka yang bersama dengannya tegas terhadap orang kafir, dan sebaliknya bersikap kasih sayang dan belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Kamu melihat mereka ruku' dan sujud dengan mengharapkan limpah kumia (pahala) daripada Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang saleh) terdapat pada muka mereka daripada kesan sujud”.
(al-Fath: 29)

Rasulullah s.a.w. paling banyak beribadah dan paling bertaqwa, tanpa melupakan tanggungjawab terhadap kewajipan manusia yang lain. Isteri baginda ‘Aishah hairan kerana baginda begitu tekun beribadah kepada Allah S.W.T. Pada suatu ketika ‘Aishah bertanya, mengapa baginda begitu tekun dan kuat beribadah, pada hal Allah S.W.T. sedia mengampuni dosa baginda yang terdahulu dan terkemudian. Rasulullah s.a.w. menjawab, yang bermaksud:

“Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bersyukur adalah akhlak yang tinggi dan mulia dalam hubungan dengan Allah S.W.T. Bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T, kemuncak daripadapada tujuan beribadah. Membentuk diri menjadi hamba Allah yang bersyukur, mercu kejayaan dalam usaha membentuk insan kamil yang meredhai Allah dan diredhai Allah. Kesyukuran itu, menambahkan lagi kesayangan Allah dan sentiasa mendapat tambahan nikmat-nikmat Allah S.W.T. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras”. (Ibrahim: 7)

Rasulullah s.a.w. adalah contoh manusia yang bersyukur kepada Allah S.W.T. dan kesyukurannya itu dilafazkan menerusi amalan ibadahnya kepada Allah S.W.T. lni ditambahi pula dengan ingatan yang tidak putus-putus terhadap Allah dan menjadikan seluruh kehidupannya dalam suasana beribadah kepada Allah S.W.T. semata-mata. Beribadah dalam pengertian bersolat, berzikir, berpuasa dan amalan-amalan kerohanian yang lain dilakukan tanpa mengurangkan tanggungjawab dalam hubungan antara sesama manusia, seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T menekankan hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia seperti yang dinyatakan-Nya dalam al-Quran
yang bermaksud:

“Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada kecuali dengan adanya sebab daripada Allah dan adanya sebab daripada manusia”. (ali Imran: 112)

Justeru, al-Quran menggariskan prinsip-prinsip bagi mewujudkan sistem yang mengatur hubungan dengan Allah S.W.T. menerusi ibadah dan taqwa serta sistem yang mengatur hubungan antara manusia dengan manusia. Sistem ini menjamin jalinan hubungan yang berasaskan akhlak yang dapat membebaskan manusia daripada kehinaan dan dapat meningkatkan martabat mereka menuju kemuliaan dan kehormatan.

Pada suatu ketika Rasulullah s.a.w. mendengar perbualan beberapa orang sahabat tentang ibadat mereka. Seorang berkata, ia akan bersembahyang sepanjang malam. Sahabat yang lain pula berkata ia akan berpuasa setiap hari sementara seorang lagi berkata ia akan tidak berkahwin untuk menumpukan kepada ibadat. Rasulullah s.a.w. mendengar perbualan mereka lantas berkata, “Kamukah yang berkata demikian, demikian. Akulah orang yang paling bertaqwa daripada kalangan kamu. Akan tetapi aku sembahyang dan aku tidur, aku berpuasa dan aku berbuka puasa malah aku mengahwini wanita-wanita”.

Tumpuan kepada ibadah khusus dalam menguatkan hubungan dengan Allah tidak seharusnya mengabaikan tanggungjawab dalam hubungan dengan manusia yang juga merupakan ibadah apabila dilakukan untuk keredhaan Allah serta melaksanakan perintah dan arahan-Nya.

Akhlak Terhadap Sesama Islam

Al-Quran dan al-Sunnah yang menterjemahkan ajaran al-Quran ke dalam realiti kehidupan, menggariskan akhlak-akhlak mulia dalam hubungan antara sesama orang-orang beriman, secara terperinci.

Hubungan antara sesama orang beriman itu diasaskan kepada persaudaraan. Persaudaraan yang sentiasa digerak dan dihidupkan, diperbaiki dan diperkukuhkan. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu”. (al-Hujuraat : 10)

Persaudaraan itu diikat dengan kasih sayang dan cinta mencintai antara satu sama lain. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Perumpamaan orang-orang yang beriman itu daripada segi saling berkasih sayang dan berkasihan belas, adalah seperti jasad apabila satu anggota mengadu sakit, membawa seluruh jasad turut berjaga malam dan demam”. (Riwayat Ahmad)

Perasaan kasih sayang terhadap sesama umat Islam adalah komponen yang membentuk iman. Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya mestilah mengandungi perasaan kasih kepada kedua-duanya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Tidak beriman seseorang kamu sehingga Allah dan Rasul-Nya lebih dikasihinya daripadapada yang lain daripada kedua-duanya”. (Riwayat Ahmad)

Dalam hubungan ini, kasih kepada orang beriman telah dikaitkan dengan kesempurnaan iman. lni menunjukkan bagaimana pentingnya nilai kasih sayang itu dalam kehidupan dan pergaulan sesama orang-orang beriman. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya”. (Riwayat Ahmad, at-Tirmizi dan Hakim)

Nilai kasih sayang yang disemai dalam diri para mu'min sebagai menyambut arahan Allah dalam al-Quran dan ajaran Rasulullah dalam sunnahnya. la bertujuan untuk membina dan membentuk akhlak murni di kalangan orang-orang beriman dalam pergaulan antara sesama mereka. Pertemuan dan perjumpaan antara sesama Islam hendaklah dalam keadaan wajah yang berseri-seri dan manis, yang dijelmakan dalam senyuman. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Melemparkan senyuman kepada wajah saudaramu adalah sedekah.” (Riwayat at-Tirmizi)

lni diikuti dengan mengucap selamat serta memberi salam untuk memulakan hubungan dan pertemuan. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“...Sebarkanlah salam di kalangan kamu”. (Riwayat Muslim)

Seterusnya, Rasulullah s.a.w. menggariskan peraturan-peraturan memberi salam secara terperinci yang boleh dirujukkan kepada kitab-kitab hadith.

Bagi memupuk perasaan kasih sayang serta memperkukuhkan keimanan, Allah S.W.T dan Rasul-Nya melarang tindakan-tindakan sama ada dengan perbuatan atau perkataan yang boleh membawa kepada terputusnya hubungan persaudaraan dan silaturrahim di kalangan orang beriman. Begitu juga perlakuan yang buruk yang menjatuhkan martabat dan ketinggian orang beriman.

Allah S.W.T. melarang penyebaran maklumat yang berkaitan dengan keburukan yang dilakukan dalam masyarakat. Walau bagaimanapun, Islam memberi kebenaran melakukan pendedahan keburukan yang berkaitan dengan perlakuan zalim apabila dibuat di mahkamah semata-mata untuk menegakkan keadilan. Begitu juga saksi dan orang yang teraniaya boleh mendedahkan kezaliman yang dilakukan oleh seseorang untuk menegakkan keadilan. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus terang melainkan mereka yang dizalimi”. (al-Nisaa' : 148)

Keburukan yang dilakukan oleh seseorang mu'min hendaklah disembunyikan. Jika keburukan itu berkaitan dengan pencabulan terhadap keadilan, ia hendaklah diadili di mahkamah dan dihukum jika disabit kesalahan. Walau bagaimanapun, berita berkenaan kesalahan dan hukuman yang dikenakan tidak boleh didedah dan disebarkan untuk dijadikan bahan perbualan orang ramai. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Islam, Allah menutup keaibannya di dunia dan di akhirat”. (Riwayat Muslim, Ahmad dan Abu Daud)

Seterusnya orang-orang yang beriman dilarang berperangai suka menyebarkan berita tanpa dipastikan kebenarannya, suka mencela dan mengkritik, suka melaknat dan mengeluarkan kata-kata buruk daripada mulutnya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Memadai seseorang itu berdusta apabila ia berbicara tentang apa sahaja yang didengarnya”. (Riwayat Muslim)

Berkenaan budaya suka mengecam, mengherdik dan melaknat, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Bukanlah seorang beriman itu seorang yang suka mengecam, suka melaknat, suka mengeluarkan kata buruk dan kesat”. (Riwayat Bukhari dan Ahmad)

Orang-orang Islam dilarang menghina sesama orang-orang Islam. Sebaliknya mereka hendaklah saling hormat menghormati. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

“Cukup seseorang itu menjadi jahat dengan ia menghina saudara muslimnya”.
(RiwayatAt-Tirmizi)

Kewajipan orang Islam terhadap saudara muslimnya yang melakukan kesilapan dan kesalahan ialah memberikan nasihat dan menghukum dengan hukum Allah S.W.T. setelah dibicarakan dan disabitkan kesalahannya. Rasulullah s.a.w.. bersabda yang bermaksud:

“Agama itu ialah nasihat”.Ada yang berkata “Untuk siapa ya Rasulullah?”. Sabdanya “Untuk Allah, untuk Rasul-Nya, untuk pemimpin orang Islam dan orang ramai di kalangan mereka”. (Riwayat Bukhari)

Al-Quran Sumber Akhlak Mulia

Al-Quran sumber bagi hukum-hukum dan peraturan-peraturan yang menyusun tingkahlaku dan akhlak manusia. Al-Quran menentukan sesuatu yang halal dan haram, apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan. Al-Quran menentukan bagaimana sepatutnya kelakuan manusia. Al-Quran juga menentukan perkara yang baik dan tidak baik. Justeru, al-Quran menjadi sumber yang menentukan akhlak dan nilai-nilai kehidupan ini.

Al-Quran mengharamkan yang buruk dan keji serta melarang manusia melakukannya. Al-Quran melarang manusia minum arak, memakan riba, bersikap angkuh dan sombong terhadap Allah, satu-satu kaum menghina kaum yang lain. Al-Quran melarang pencerobohan, fitnah dan berbunuhan. Al-Quran melarang menyebarkan maklumat tentang perkara-perkara keji.

Al-Quran mengajak manusia supaya mentauhidkan Allah S.W.T., bertaqwa kepada-Nya dan mempunyai sangkaan baik terhadap-Nya. Al-Quran juga mengajak manusia berfikir, cinta kepada kebenaran dan bersedia menerima kebenaran. Malah mengajak manusia supaya berilmu dan berbudaya ilmu.

Al-Quran juga mengajak manusia supaya berhati lembut, berjiwa mulia, sabar, tekun, berjihad, menegakkan kebenaran dan kebaikan. Al-Quran mengajak manusia supaya bersatupadu, berkeluarga dan mengukuhkan hubungan silaturrahim. Jelaslah bahawa al-Quran menjadi sumber nilai-nilai dan akhlak mulia.. Penampilan akhlak mulia dalam al-Quran, tidak bersifat teoritikal semata-mata, tetapi secara praktikal berdasarkan realiti dalam sejarah manusia sepanjang zaman. Al-Quran adalah sumber yang kaya dan berkesan untuk manusia memahami akhlak mulia dan menghayatinya.