Thursday, July 30, 2009

ALAM CIPTAAN TUHAN (Susunan: Mohd Zamir bin Bahall)

PENDAHULUAN

Kita sememangnya yakin alam yang luas dan besar ini bukanlah terjadi dengan sendirinya. Mustahil sesuatu itu terjadi dengan sendirinya melainkan ada yang menciptanya. Dan pencipta alam seluruhnya ini ialah ALLAH Tuhan bagi mereka yang bertaqwa.

Kita wajib meyakini bahawa Allah SWT bukan setakat mencipta alam, bahkan mengatur pula perjalanan alam seluruhnya. Allahlah yang memutarkan bumi dan bulan pada paksi dan orbitnya, menjadikan matahari bersinar, bulan bercahaya dan sebagainya. Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 31 yang bermaksud:

“Katakanlah: “Siapakah yang memberi rezeki kepadamu daripada langit dan bumi, atau siapakah yang kuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup daripada yang mati dan mengeluarkan yang mati daripada yang hidup, siapakah yang mengatur segala urusan?” Maka mereka akan menjawab: “Allah”. Maka katakanlah: “Mengapa kamu tidak bertaqwa (kepada-Nya)?” (Yunus : 31)

PERLINDUNGAN ALLAH

Allah SWT bukan sahaja mencipta dan mengatur alam, malah melindunginya juga. Tanpa perlindungan-Nya maka alam tidak mungkin dapat bertahan selama berjuta abad sebagaimana yang kita dapat saksikan pada hari ini. Tanpa perlindungan Allah, tidak mungkin ada kehidupan di atas muka bumi ini. Maka untuk mengetahui betapa hebatnya perlindungan Allah, marilah kita perhatikan perkara berikut:

Putaran Bumi

Kita semua dapat hidup di atas muka bumi ini kerana bumi berputar di atas paksinya dalam tempoh 24 jam sehari. Cuba bayangkan sekiranya bumi ini tidak berputar, mustahil kita dapat hidup dengan aman dan sentosa di permukaan bumi.

Daripada putaran inilah terjadinya siang dan malam. Permukaannya yang menghadap matahari akan mengalami siang manakala permukaan yang membelakangkan matahari akan menjadi malam. Seandainya bumi tidak berputar maka sudah tentu bahagian yang menghadap matahari akan menjadi siang selama-lamanya hingga hari kiamat dan begitulah sebaliknya.

Apakah yang akan terjadi sekiranya siang berlaku terus menerus? Sudah pasti keadaan udara dan hawa daripada saat ke saat, daripada minit ke minit dan daripada jam ke jam akan menjadi bertambah panas. Dalam tempoh 100 jam sahaja udara akan mencapai takat didih 100ºC sehingga lautan, tasik, danau, sungai dan sebagainya akan mendidih dan menggelegak. Cuba anda bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya seluruh sungai, danau dan samudera mendidih airnya? Begitu juga darah yang mengalir di dalam tubuh kita juga turut mendidih. Dalam keadaan sedemikian, tidak ada satu pun makhluk yang dapat hidup. Semuanya akan mati dan musnah menjadi debu-debu yang berterbangan.

Apa pula yang akan terjadi sesudah 100 jam atau 1000 jam berikutnya? Bukan sahaja semua ini akan mendidih, bahkan semua permukaan bumi ini sama ada benda-benda pepejal atau sebagainya, akan menjadi bara api yang tersangat panas. Ketika itu, bukan setakat manusia sahaja akan mati terbakar malahan bumi ini sendiri akan terbakar menjadi debu dalam sekelip mata sahaja.

Kemudian apa pula yang akan terjadi sekiranya waktu malam berlaku terus menerus sehingga hari kiamat? Hawa dan udara daripada saat ke saat dan seterusnya daripada jam ke jam akan terus bertambah dingin sehingga dalam tempoh 100 jam sahaja akan mencapai takat 0ºC sehingga seluruh air dan benda yang cair akan membeku menjadi ais yang pejal dan keras. Mungkin di saat itu, manusia dan binatang-binatang masih dapat hidup seperti keadaan di Kutub Utara dan Selatan. Namun begitu, bagaimana pula keadaannya sesudah 100 jam atau 1000 jam berikutnya? Apabila udara dan suhu menjunam turun ke bawah paras 0ºC maka sudah pasti akan lenyaplah segala kehidupan di muka bumi ini.

Kedua-dua contoh ini harus kita fikirkan sedalam-dalamnya untuk melihat betapa hebatnya kekuasaan Allah dan juga perlindungan-Nya yang diberikan untuk kehidupan setiap makhluk khasnya kita sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran yang sempurna. Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 72 &73 yang bermaksud:

“Katakan pula, bagaimanakah pendapat kamu sekiranya Allah menjadikan siang terus menerus sampai hari kiamat? Siapakah selain Allah yang akan mendatang malam kepadamu yang kamu dapat beristirehat padanya? Maka apakah kamu tidak memperhatikannya? Dan kerana Rahmatnya-Nya, Dia jadikan untuk kamu malam dan siang supaya kamu beritirehat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian daripada kurniaan-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya.” (Al-Qasas: 72-73)

Dengan adanya putaran bumi siang dan malam maka keadaan hawa di permukaan bumi ini menjadi seimbang dan sederhana iaitu tidak terlalu panas dan tidak terlalu dingin. Sehingga manusia, haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan dapat hidup dengan selesa di permukaan bumi ini.

Ya... sememangnya kita harus renungkan siapakah lagi selain Allah yang dapat memutarkan bumi sebesar ini? Iaitu planet yang berukur lilit 40,003 km dan beratnya beribu-ibu juta tan itu. Perkara ini sepatutnya kita fikirkan sedalam-dalamnya. Seterusnya hendaklah kita selalu mengingati dan berterima kasih kepada Allah SWT Janganlah kita sekali-kali menjadi orang-orang yang seakan-akan tidak mendengar dan melihatnya sedangkan kita mempunyai telinga, mata dan akal untuk bersyukur memuji-Nya.

Peredaran Bumi Mengelilingi Matahari

Selain daripada berputar atas paksinya, bumi juga berputar mengelilingi matahari dalam lingkaran orbitnya yang amat luas. Ingatlah bahawa jarak antara bumi dengan matahari adalah 149,000,000 km dan putarannya mengambil masa selama 365¼ hari iaitu setahun mengikut perkiraan kita.

Semasa beredar mengelilingi matahari, bumi akan berputar di atas paksinya dalam berkeadaan condong. Maka sesetengah negara yang terletak jauh daripada garisan khatulistiwa akan lebih terdedah kepada cahaya matahari lalu jadilah musim panas ataupun kurang menerima cahaya matahari lalu terjadilah musim sejuk. Sebagai akibat daripada pergantian musim ini terjadilah pelbagai jenis tumbuhan dan buah-buahan di permukaan bumi ini yang menjadi nikmat dan hikmah yang amat besar kepada seluruh kehidupan di muka bumi.

Begitulah keadaannya daripada semasa ke semasa dan silih berganti tanpa henti-henti sehingga hari kiamat... akibat peredaran bumi di sekeliling matahari. Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 5 yang bermaksud:

“... Dan engkau lihat bumi ini kering tetapi setelah kami turunkan air (hujan) padanya, ia menjadi lembut dan subur dan menumbuhkan pelbagai macam tumbuhan dan buah-buahan yang cantik dan lazat.”
(Al-Hajj: 5)

Firman-Nya lagi dalam surah Qaaf ayat 7 yang bermaksud:

“Dan Kami hamparkan bumi itu dan kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh dan kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata.” (Qaaf: 7)

Jarak Di Antara Bumi Dengan Planet-Planet Lain

Kita sudah pun mengetahui jarak di antara bumi dengan matahari dan semamangnya telah dapat dibuktikan menerusi sains dan nas-nas al-Quran bahawa jika jarak itu berubah sedikit sahaja maka terjadilah kerosakan yang amat dahsyat di bumi.

Sekiranya bumi mendekati matahari dengan kadar lebih atau kurang daripada jarak yang sedia ada sekarang maka sudah pasti akan berlaku mala petaka dan bencana-bencana alam yang tidak terkira dahsyatnya. Begitulah juga bulan dan planet-planet lain, sekiranya terkeluar sedikit daripada orbitnya sama ada terlebih atau terkurang nescaya akan berlaku perlanggaran antara satu sama lain.

Jarak tertentu yang ditetapkan oleh Allah SWT bagi bumi di tengah-tengah angkasa raya dan cakerawala-cakerawala ini merupakan perlindungan-Nya yang sangat besar faedah dan manfaatnya kepada seluruh kehidupan di muka bumi. Lebih-lebih lagi untuk kehidupan dan kesejahteraan hidup manusia. Semuanya ini harus kita renungkan. Jangan sekali-kali kita gunakan akal dan fikiran semata-mata untuk perkara-perkara yang kecil dan remeh sahaja seperti soal makan, pakaian, perhiasan dan sebagainya. Mengapa kita tidak gunakan keupayaan sebenar akal yang dikurniakan Tuhan iaitu untuk merenung alam ciptaan-Nya seterusnya mendatangkan kesedaran, keyakinan dan kegerunan kepada kebesaran Allah SWT. Ini selanjutnya dapat membina sikap dan akhlak yang sentiasa bertunjangkan ajaran Islam dan syariatnya. Menggunakan akal sedemikian barulah memberi faedah yang sebenar-benarnya kepada manusia yang membawa kepada kebahagiaan hidup dan jauh daripada amalan atau perbuatan yang merosakkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hadid ayat 20 yang bermaksud:

“Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak... Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu.” (Al-Hadid : 20)

Jika kita renungkan sedalam-dalamnya bahawa setiap bintang dan palnet itu bebas bergerak di angkasa raya, bergerak dan berputar daripada abad ke abad, masing-masing tetap pada jaraknya yang tertentu maka sedarilah betapa hebatnya kukuasaan Allah SWT dalam mengatur segalanya sehingga saling tidak berlanggaran. Firman Allah SWT dalam surah Yassin ayat 38 hingga ayat 40 yang bermaksud:

“Matahari berjalan di tempat yang ditetapkan baginya. Demikianlah Allah Yang Maha Gagah Lagi Maha Mengetahui. Sedangkan bulan kami tentukan baginya tempat yang tertentu sehingga ia kembali berbentuk seperti pelepah kurma yang kering (bulan sabit). Tiadalah matahari mendekati bulan dan tidak pula malam mendahului siang sedang semuanya beredar pada garis edarannya (orbit).”
(Yassin : 38-40)

Air Laut Yang Masin

Hampir ¾ bumi ini diliputi air. Iaitu 97% daripadanya merupakan samudera yang luas dipenuhi air dengan rasanya yang masin. Pada waktu siang dan malam, berjuta-juta tan bahan buangan dan kotoran dibuang dan dilemparkan ke dalam laut. Jika sekiranya air laut itu tidak masin, sudah tentu kotoran itu akan mengeluarkan bau yang amat busuk sehingga dalam beberapa waktu sahaja air laut akan menjadi tersangat busuk. Bagaimanakah keadaan ketika itu? Kita tidak mampu menggambarkan apa yang bakal terjadi, hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui. Sekurang-kurangnya tertentu ia akan merosakkan kesihatan penghuni bumi ini.

Terciptanya air yang masin ini akan menjadi bukti betapa Allah SWT melindungi segala kehidupan di permukaan bumi ini. Firman Allah SWT dalam surah al-Furqan ayat 53 yang bermaksud:

“Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan), laut yang tawar lagi segar dan laut yang masin lagi pahit. Dan Dia jadikan diantara kedua-duanya dinding dan batas yang menghalangi.” (Al-Furqan : 53)

Laut (air) tawar yang dinyatakan di dalam ayat di atas adalah terdiri daripada sungai, danau, tasik dan sebagainya yang sekalipun berdekatan dengan laut namun ia tetap tidak bercampur dengan air masin. Firman Allah SWT dalam surah al-Waqi’ah ayat 68 hingga ayat 70 yang bermaksud:

“Maka terangkanlah kepada-Ku tentang air yang kamu minum. Kamukah yang menurunkannya daripada awan ataukah Kami yang menurunkan? Kalau kami kehendaki nescaya Kami jadikannya masin, maka mengapakah kamu tidak bersyukur?” (Al-Waqi’ah: 68-70)

Andainya perlindungan Allah SWT kepada makhluk-Nya kita selidiki, mengkaji, mengulas dan membahas, maka sudah pasti ianya tidak akan tamat malahan jika ditulis ia akan menjadi jilidan buku yang tebalnya melebihi tinggi langit dan bumi. Manusia yang celik mata hatinya dan peka pancainderanya akan mengakui bahawa walau secerdik mana manusia dan setinggi mana ilmu pengetahuannya, mereka tetap tidak mampu menlindungi diri mereka sendiri tanpa bantuan dan perlindungan Allah, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan bencana alam seperti letupan gunung berapi, taufan, ombak besar (tsunami), gempa bumi dan banyak lagi. Maha Suci Allah betapa kerdilnya manusia dan betapa perkasanya Engkau.

KETERBATASAN ILMU MANUSIA

Bagaimana hebatnya ilmu pengetahuan yang telah dicapai dan yang akan dicapai oleh manusia, namun ianya masih sedikit sekali jika dibandingkan dengan besar dan luasnya alam semesta yang masih belum banyak diketahui dan diterokai oleh manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 85 yang bermaksud:

“Dan tidaklah kamu diberi ilmu pengetahuan kecuali sedikit.” (Al-Isra’ :85)

Tidak perlu kita perhatikan terlalu jauh, cukup melihat dalam diri kita sendiri. Ada sesetengah pihak yang mengkaji tentang nyawa tetapi sehingga sekarang masih belum juga ditemui apakah hakikat nyawa itu. Bagaimana bentuk dan rupanya? Adakah ia seperti air, udara atau... hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui. Sedangkan tentang diri sendiri pun banyak lagi yang kita tidak ketahui, inikan pula tentang bumi, planet-planet dan ruang angkasa, sekalipun ilmu pengetahuan manusia pada zaman teknologi maklumat ini lebih maju dan terkehadapan berbanding ilmu pengetahuan di zaman silam.

Apabila kita melihat langit, kita dapati ia kelihatan begitu dekat seolah-olah beberapa kilometer sahaja. Akan tetapi setelah ada manusia naik ke bulan maka didapatinya langit itu masih juga jauh. Sehinggakan planet yang terjatuh dari kelompok matahari iaitu Pluto, di sana juga masih terdapat langit. Ya... betapa luasnya alam maya ciptaan Tuhan.

Sejauhmana tinggi sekalipun ilmu pengetahuan seseorang, namun ia tidak mampu menerangkan atau akalnya tidak memahami bagaimana sebenarnya rahsia perkembangan sebuah sel yang begitu halus yang bercantum sehingga menjadi makhluk berbentuk manusia, binatang atau tumbuhan. Ilmu yang dikurniakan Allah kepada manusia adalah sangat sedikit diibaratkan jika kita ambil sebatang jarum lalu kita celupkan ke dalam laut lantas diangkat semula maka air yang terlekat di jarum itulah umpamanya pengetahuan manusia, sedangkan air laut yang masih tinggal di samudera luas adalah umpama luasnya pengetahuan Allah.

Bagi mengelakkan hati kita daripada ‘mati’, mata daripada ‘buta’ dan telinga daripada ‘tuli’ maka marilah kita menyelami alam semesta ciptaan Tuhan supaya kita tergolong ke dalam golongan yang disebut oleh Allah melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 7 yang bermaksud:

“Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka (daripada petunjuk dan nasihat), dan penglihatan mereka ditutup (daripadapada mendapat pengajaran daripada al-Quran dan alam semesta). Dan bagi mereka seksa yang amat berat.”
(Al-Baqarah : 7)

Seluruh alam yang dapat kita lihat dengan mata kasar adalah terdiri daripada kelompok matahari kerana mataharilah yang menjadi induk dan terpenting. Marilah kita renungkan saban hari apabila sang suria memancarkan sinarnya, alam semesta akan menjadi terang benderang. Apabila sang suria beradu di ufuk barat, pada mulanya cahaya kelihatan samar-samar kemudian seluruh alam gelap gelita. Apabila malam terus merangkak, sang bulan pula muncul dan bercahaya dengan dihiasi bintang-bintang yang berkelipan, namun ia tetap tidak dapat menyamai siang yang terangnya diberikan oleh matahari.

Apabila kita pada suatu malam berkunjung ke tepi pantai dengan langit yang cerah dan melihat ke lautan yang luas, kita akan dapat menyaksikan sendiri betapa hebat dan luasnya alam semesta raya ini. Lautan terdampar luas di hadapan kita dengan riak dan gelombangnya yang tidak pernah membosankan, sedang di angkasa raya bertaburan berjuta-juta bintang kecil dan besar dengan sinarnya yang berkedip-kedipan sampai ke mata kita. Ketika dan saat itu, kita dapat rasakan betapa tenangnya jiwa dan perasaan kita tambahan pula diiringi oleh hembusan bayu malam yang dingin. Tiada seorang pun yang tidak merasai kagum dan terpesona melihat keindahan alam di waktu malam yang indah dan permai itu.

Apabila kita melihat ke angkasa dengan kasar, kita hanya dapat menyaksikan sebahagian kecil sahaja alam semesta kerana keupayaan mata kita terbatas. Apabila kita memandang ke angkasa raya dengan menggunakan teleskop(alat pembesar) maka kita akan menjadi lebih kagum. Angkasa raya terbukti seribu kali lebih hebat daripada apa yang dapat kita saksikan dengan mata kasar.

Sememangnya kita sebagai manusia haruslah memikirkan kejadian dan keadaan alam cakerawala yang sangat luas ini. Sudah pasti manusia yang merasa kagum terhadap kehebatan dan keluasan alam semesta ini, akan merasai lebih kagum lagi tentang kebesaran Allah yang menciptakannya. Jika masih ada lagi manusia yang kagum dengan alam semesta tetapi tidak kagum langsung terhadap penciptanya maka itulah manusia yang disifatkan Allah lebih hina daripada haiwan lantaran mensia-siakan akal fikiran kurniaan Tuhan.

Ini baru setakat perbicaraan tentang luas dan jarak planet di antara planet-planet yang lain, belum lagi membicarakan susunan dan peredaran bintang-bintang di angkasa raya. Sekiranya kita benar-benar mengkaji dan menyelidik kemudian mencatatkan segalanya tanpa tertinggal walau satu pun nescaya tidak akan cukup samudera yang luas pada pandangan kita ini sebagai dakwat dan tidak cukup seluruh ranting dan dahan kayu untuk dijadikan pena. Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 109 yang bermaksud:

“Katakanlah: “Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat (ilmu) Tuhanku, maka akan habislah lautan ini sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).”
(Al-Kahfi: 109)

Jika di bandingkan dengan alam cakerawala yang sangat luas ini, bumi adalah ibarat debu yang halus sahaja. Jika bumi merupakan debu, maka air laut yang ada di muka bumi ini hanyalah berupa ¾ debu, tentu sahaja tidak cukup untuk mencatat alam semesta yang luas dan banyak itu. Inilah kekaguman terhadap kehebatan dan luasnya alam semesta ciptaan Tuhan yang tidak dapat dinafikan oleh setiap manusia yang mempunyai akal walaupun dia bukan muslim.

Manusia yang merupakan satu unit daripadapada alam semesta ini tidak kurang juga keajaibannya tersendiri. Jika kita mengkaji sel-sel dalam tubuh badan manusia seperti kromosom maka kita akan dapati bahawa di dalam kromosom terdapat pula ‘gen’ yang tersangat halus yang akan membawa perwarisan sesuatu keturunan kepada generasi yang akan datang. Untuk melihat sel ini kita perlu menggunakan mikroskop atau mikroskop elektron. Cuba anda bayangkan betapa telitinya Allah s.w.t. mengatur segala kejadian di alam ini. Kesemuanya ini menimbulkan kehairanan dan pertanyaan kepada setiap sarjana-sarjana sains. Apakah yang sebenarnya ada di sebalik keanehan dan keajaiban itu? Mungkinkah keanehan itu sendiri yang melahirkan keanehan tersebut? Walau apa sekalipun, pasti ada pencipta segala keanehan itu. Ya... sudah pasti. Firman Allah SWT dalam surah az-Zariyat ayat 20 & 21 yang bermaksud:

“Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?”
(Az-Zariyat: 20-21)

Cuba kita perhatikan bakteria pula. Bukan sahaja ia merupakan makhluk yang sangat halus, malahan mempunyai pelbagai bentuk pula. Ada yang berbentuk bulat (coccus), ada yang leper (becillus), ada yang panjang (spirillium) dan bermacam-macam lagi, hanya orang-orang yang mengkaji sahaja yang mengetahui. Rasanya jika ahli-ahli sains itu insaf terhadap kejadian-kejadian seumpama ini, maka tentunya mereka akan beriman dan iman mereka pasti lebih kukuh terhadap Allah SWT berbanding orang lain.

KEJADIAN MANUSIA ADALAH NIKMAT

Lazimnya, sesudah memikirkan segala kejadian alam semesta dan keagungan Allah yang menciptakannya, akhirnya kita akan kembali memikirkan kejadian diri kita sendiri. Kita tercipta daripada ibu bapa kita dan sekiranya ibu bapa tiada atau salah seorangnya tiada, tentu sahaja kita tidak mungkin dilahirkan ke dunia ini.

Cuba kita renung dan fikirkan, bagaimana kiranya kita tidak ada, tidak pernah ada, tidak tertulis di Loh Mahfuz atau tidak pernah dilahirkan ke dunia. Jika tidak mencipta kita sudah pasti kita tidak ada. Jika kita tidak ada, sudah tentu kita tidak mengetahui adanya alam semesta yang luas ini. Tentu kita tidak kenal matahari dan bulan, tidak kenal manisnya gula, lazatnya makanan dan hidangan. Kita juga tentunya tidak dapat merasakan indahnya rasa kasih sayang, cinta dan tentunya saat-saat bahagia tidak mungkin kita rasai. Syukur, alhamdulillah, kini kita telah ada dan wujud. Kita sudah dapat menyaksikan keindahan alam maya, dapat melihat pelbagai warna dan pemandangan, melihat sang suria, bulan dan bintang-bintang yang menghiasai segala ruang angkasa. Kita sudah dapat menikmati pelbagai makanan dan hidangan yang lazat dan enak. Kita juga telah dapat merasai betapa indahnya belaian kasih sayang, cinta dan saat-saat kebahagiaan. Seterusnya kita dapat mengenali siapa pencipta kepada semuanya ini termasuk alam yang sangat luas ini. Lalu kita dapat menikmati kasih dan sayang-Nya serta bernaung di bawah lindungan dan rahmat-Nya. Inilah sebenarnya nikmat terbesar yang telah Allah kurniakan kepada kita. Kita seharusnya menggandakan rasa kesyukuran dan berterima kasih kepada Allah kerana bukan sahaja telah menjadikan kita, bahkan telah memilih kita menjadi umat-nya yang beriman dan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya. Sehingga kita dapat mengenali siapakah Pencipta kepada alam semesta ini yang begitu indah, canggih dan teliti sekali.


KESIMPULAN

Oleh itu, kita sebagai insan yang telah diberi panduan hidup iaitu ajaran Islam yang berasaskan al-Quran dan sunnah, wajib memikirkan dengan sedalam-dalamnya di dalam hati dan sanubari kita tentang kekuasaan Allah dan sifat Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang-Nya yang amat luas ini. Kita hendaklah selalu mengingati dan berterima kasih kepada-Nya. Firman Allah SWT dalam surah Ad-Dhuha ayat 11) yang bermaksud:

“Dan terhadap nikmat Tuhanmu maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur).” (Ad-Dhuha:11)

Janganlah kita termasuk di dalam golongan mereka yang lalai dan langsung tidak bersyukur kepada Penciptanya yang Maha Agung. Segala pujian hanya bagi Allah Tuhan semesta alam. Daripada Allah kita datang dan kepada-Nya jua kita kembali.

No comments:

Post a Comment